Susu segar merupakan antara minuman kegemaran utama penulis, walaupun ramai juga yang penulis kenali tidak dapat menerima rasanya.
Dijual melalui pelbagai kaedah sama ada melalui cara komersial ataupun jualan ladang secara terus, susu lembu merupakan satu sektor ekonomi yang cukup besar bagi memenuhi permintaan serta menampung bekalan peminat susu di seluruh dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Satu negara yang sering disebut apabila kita berbicara berkenaan susu lembu, adalah New Zealand. Apa kaitannya susu lembu dengan New Zealand?
Sumber ekonomi penting New Zealand
New Zealand hanyalah sebuah negara kepulauan yang kecil, mempunyai populasi sekitar 4.8 orang penduduk, jauh lebih kecil berbanding rakyat negara kita.
Jika dibandingkan dengan negara penaung mereka United Kingdom yang mempunyai keluasan lebih kecil berbanding mereka sekitar 10%, populasi UK pula mencecah lebih 65 juta orang. Kekangan seperti ini memerlukan warga New Zealand menjadi lebih kreatif dalam menjana ekonomi negara mereka.
Berbeza dengan majoriti negara yang menjana pendapatan dengan sumber galian bumi atau produk-produk elektronik, New Zealand atau NZ meletakkan bahan-bahan semulajadi sebagai eksport utama negara mereka.
Hasil tenusu, madu dan telur membentuk 23.5% daripada keseluruhan nilai eksport utama negara mereka, dengan daging mentah, papan, buah-buahan dan kekacang serta minuman beralkohol merangkumi empat lagi tempat produk eksport NZ.
Hasil tenusu New Zealand pula bukan saja merangkumi susu segar, bahkan bahan seperti mentega dan keju. Sinonimnya NZ dengan produk tenusu, sehinggakan jumlah populasi lembu di NZ sahaja dua kali ganda berbanding manusia.
Pada tahun 1998, jumlah populasi lembu dan manusia di NZ hanya berada pada tahap 1:1! Jangan terkejut kalau lembu-lembu di sana mula cuba merampas kerajaan NZ satu hari nanti.
Peranan paderi mubaligh Kristian memulakan industri tenusu NZ
Lahir pada tahun 1765, Samuel Marsden adalah anak kelahiran Australia dipilih oleh Church Missionary Society untuk menyebarkan ajaran Kristian ke New Zealand.
Dia membawa misi untuk berdakwah kepada masyarakat Maori di sana, berjaya menjalankan ceramah pertama pada tahun 1814, di sebuah tempat bernama Teluk Rangihoua. Kawasan itu akhirnya menjadi pusat utama gerakan penyebaran Kristian di NZ mengangkat nama Marsden sebagai individu yang pertama memperkenalkan Kristian di sana.
Selain itu Marsden juga bertanggungjawab membawa masuk beberapa ekor kumpulan lembu pertama dari baka Shorthorns, di tempatkan di pusat dakwahnya bagi membolehkan bekalan susu kepada semua penduduk dibekalkan setiap hari.
Berikutan kemampuan lembu itu untuk membekalkan susu segar dan daging mentah yang konsisten serta berkualiti, lama-kelamaan penduduk-penduduk setempat mula menternak lembu dari baka sama mengambil masa lebih dua dekad sebelum cukup untuk menampung keperluan masyarakat setempat.
Lama kelamaan semakin ramai penduduk New Zealand memiliki lembu sendiri, yang membekalkan mereka susu, mentega dan keju setiap hari. Walaupun begitu, hanya mentega menjadi bahan jualan aktif ketika itu.
Lebihan mentega yang dihasilkan sendiri oleh keluarga penternak lembu mula ditukarkan di kedai barangan runcit, untuk penduduk mendapatkan barangan keperluan lain. Mentega itu pula kemudiannya akan dijual semula oleh pekedai bagi memaksimakan keuntungan.
Pengenalan peti sejuk mengubah situasi
Pada penghujung abad ke 19, kilang-kilang pemprosesan produk tenusu mula dibuka ekoran kebolehan kilang-kilang itu untuk menyimpan susu yang dibeli dari penduduk dalam peti sejuk; membolehkan produk sedia ada dieksport ke luar.
Prasarana bagi memudahkan pengeksportan produk tenusu setempat ke luar, mula dibina dengan kerajsama syarikat-syarikat persendirian dan penduduk setempat.
Kemudahan jalan keretapi serta pengangkut yang mampu menyimpan produk pada suhu sejuk mula diperkenalkan dan kilang-kilang tenusu mula rancak dibina di sepanjang laluan-laluan ini.
Ekoran pembukaan terlalu banyak kilang yang cuba merebut peluang menjana keuntungan, kualiti produk yang dihasilkan juga berbeza-beza.
Bagi memastikan kesemua produk tenusu yang datang dari New Zealand menepati piawaian kualiti, kerajaan NZ memperkenalkan Akta Industri Tenusu pada tahun 1894 bagi mewujudkan gred kualiti dan harga pada semua produk tenusu tempatan - berdasarkan kepada pemeriksaan manual yang dijalankan ke atas produk serta kilang yang beroperasi.
Peranan kerajaan New Zealand melindungi industri tenusu mereka
Dalam tempoh 30 tahun selepas pengenalan dasar kerajaan itu, jumlah kilang produk tenusu di New Zealand meningkat sehingga mencecah 600 buah kilang.
Selepas tempoh beberapa dekad, kesemua syarikat dan pengusaha itu mula disatukan ke dalam badan-badan korporat bagi memudahkan pengurusannya - selain memastikan kualiti produk tenusu yang menjadi identiti negara mereka dapat dipelihara.
Tahun 2001, dua buah syarikat tenusu terbesar di New Zealand iaitu New Zealand Dairy Group dan Kiwi Cooperative Dairies serta badan bertindak New Zealand Dairy Board, disatukan di bawah nama baru Fonterra; merangkumi 96% daripada keseluruhan industri tenusu di New Zealand serta lebih 30% hasil eksport di seluruh dunia.
Fonttera sehingga kini bertanggungjawab menjalankan majoriti aktiviti industri tenusu di NZ, membangunkan jenama-jenama untuk pasaran tempatan serta pasaran antarabangsa. Kita pun dah biasa dengan jenama seperti mentega Anchor (bukan yang minuman beralkohol tu ya!), Anlene dan Anmum. Kesemua itu adalah produk keluaran Fonterra.
Sehingga kini kualiti produk tenusu daripada New Zealand kekal diyakini orang ramai, percaya kualiti sesuatu produk seandainya ada tertera 'hasil tenusu New Zealand' tercetak pada labelnya.
Untuk sampai ke tahap itu bukanlah sesuatu mudah - kerana semuanya berlaku dengan perancangan yang teliti serta kerjasama yang terjalin antara penternak, pengilang, kerajaan dan juga orang ramai yang berbangga negara mereka lebih 'ramai' lembu berbanding manusia.