Setiap pagi penulis pasti akan memulakan hari dengan meminum segelas susu lembu yang sangat menyegarkan. Kalau ada rezeki lebih sikit, dapatlah juga merasa susu kambing namun harganya yang jauh lebih tinggi membuatkan nikmat meminum susu kambing jarang diperolehi.

Selain daripada dua haiwan peliharaan itu, ada juga beberapa haiwan yang menghasilkan susu dan digunakan manusia; seperti kerbau, kambing biri-biri, unta, rusa dan seladang. Tetapi pernah tak anda dengar tentang susu yang dihasilkan oleh burung? Pasti jarang kedengaran kan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Betulkah burung menghasilkan susu, tanya anda? Benar. Ada burung yang menghasilkan susu tetapi di seluruh dunia setakat ini hanya ada 3 ekor saja burung yang direkodkan mampu menghasilkan susu. Burung apa tu? Jom kita belajar.

Adakah burung menyusukan anak?

pigeon merpati crop milk

Walaupun ketiga-tiga burung yang akan kami sebutkan sebentar lagi mampu menghasilkan susu, cara mereka menyusukan anak mereka juga berbeza berbanding haiwan mamalia lain. Kita sentuh kaedah yang digunakan kemudian!

Dalam kajian sains, susu yang dihasilkan oleh burung digelarkan sebagai 'crop milk' atau dalam bahasa Melayunya digelarkan sebagai 'susu tembolok.' Kami kurang pasti terjemahan itu benar atau tidak namun tembolok adalah bahagian kantung dalam leher haiwan seperti ayam dan burung yang mampu menyimpan makanan.

Tembolok atau 'crop' itu jugalah organ haiwan di mana susu burung itu akan terhasil sebelum disuapkan pada anak-anak haiwan tersebut dengan cara yang unik. Dalam kajian yang dijalankan terhadap susu tembolok, didapati bahawa kandungannya mempunyai khasiat yang diperlukan sama seperti susu haiwan mamalia, di mana mengandungi anti-oksidan serta protein yang membantu perkembangan anak-anak burung.

Cecair yang terhasil di bahagian leher burung mengandungi protein, mineral, antibodi dan lemak yang diperlukan anak burung, tetapi buat masa sekarang penyelidik masih belum memahami bagaimana susu itu terhasil. Burung manakah mampu menghasilkan susu? Ada 3 saja dalam dunia yang ditemui setakat ini - dua yang pertama adalah burung merpati dan burung flamingo.

Merpati dan flamingo

flamingo memberi anak makan

Kedua-dua jenis burung ini akan 'menyusukan' anak mereka dengan susu tembolok pada usia awal anak-anak mereka dilahirkan, kebiasaannya pada hari pertama selepas anak-anak burung itu keluar dari cangkerang telurnya.

Berbeza dengan susu mamalia yang datang dalam keadaan cecair, susu tembolok kedua-dua burung ini berbentuk lebih likat - memerlukan si ibu menyuapkan anaknya dengan menggunakan paruhnya sendiri. Susu tembolok inilah yang akan menjadi satu-satunya sumber makanan utama anak burung selama beberapa hari awalnya.

Kedua-dua ibu merpati dan flamingo akan mengalami proses laktasi sama seperti haiwan mamalia, beberapa hari sebelum telurnya bakal menetas. Proses itu akan menghasilkan bahan susu yang akan disimpan di dalam tembolok, menggantikan makanan yang kebiasaannya disimpan di situ.

Apa yang lebih mengejutkan, dalam kajian terhadap merpati pada tahun 2011 - didapati kedua-dua jenis merpati sama ada jantan atau betina mampu melakukan proses serupa memproses bahan makanan mereka untuk disimpan bagi penghasilan susu.

Kedua-dua merpati dan flamingo menyusukan anak mereka dengan menyambungkan paruh, sebelum 'memuntahkan' susu tembolok ke dalam saluran permakanan anak mereka bagi membolehkan anak-anak mereka membesar sebagai seorang johan. Berbeza dengan merpati yang menyusukan anak mereka paling lama pun seminggu, flamingo menyusukan anak mereka selama 2 bulan.

Penguin Maharaja

penguin maharaja menjaga anak

Di antara semua spesis haiwan, penguin maharaja jantan merupakan haiwan paling banyak memainkan peranan dalam membesarkan anak-anak mereka, berbanding haiwan lain. Ini kerana aturan hidup penguin maharaja memerlukan penguin betina keluar meninggalkan kawasan tempat tinggal mereka, selepas mengeluarkan telur.

Telur itu pula akan dieramkan oleh penguin maharaja jantan bagi memastikannya panas, diletakkan ditengah-tengah kakinya untuk memastikan haba terperangkap membantu tumbesaran anaknya. Ini yang menarik mengenai spesis ini - sekiranya telur tersebut menetas sebelum kepulangan ibunya, ayahnya akan memainkan peranan membesarkan anaknya; termasuklah bertanggungjawab menyusukannya.

Sama seperti merpati dan flamingo, susu yang akan dihasilkan penguin jantan turut sama dikategorikan dalam kategori 'susu tembolok,' sangat kaya dengan protein yang terhasil daripada lapisan esofagus ayahnya.

Setelah kepulangan pasangannya yang kembali dengan perut penuh makanan, si jantan tadi akan berhenti menjaga anaknya yang pecah awal masuk ke laut mencari makan buat kali pertama selepas menjaga anaknya lebih 65 hari. Penguin jantan dan betina akan bergilir-gilir menjaga anak mereka yang telah menetas selama lebih 50 hari sebelum dibenarkan mula menjalani hidup sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)