Oleh pada 10 Jan 2019 kategori

Pihak berkuasa tempatan di daerah tengah Ghana telah melarang mana-mana gadis atau wanita daripada menyeberangi sungai semasa didatangi haid. Ini kerana mengikut kepercayaan penduduk di sana, 'tuhan sungai' tidak suka jika gadis atau wanita yang tidak suci daripada melakukan hal sedemikian.

Berikutan perkara itu, gadis-gadis yang masih bersekolah mendakwa mereka telah terlepas sebanyak 20 hingga 60 hari persekolahan setahun akibat larangan itu. Menurut statistik, kepercayaan agama di sub-Sahara Afrika telah menyebabkan 1 daripada 10 orang gadis tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Memetik laporan The Independent, para pemimpin tradisional agama di sana juga telah mengharamkan gadis-gadis daripada menyeberangi sungai pada setiap hari Selasa. Mereka mendakwa larangan itu adalah 'perintah' daripada tuhan sungai.

shamima muslim alhassan

Shamima Muslim Alhassan

Shamima Muslim Alhassan iaitu Duta Kebersihan Kitaran Haid daripada Unisef, memberitahu BBC bahawa kerajaan setempat perlu mengkaji semula pelbagai dakwaan yang tidak berasas ini.

Hanya disebabkan perintah yang dikeluarkan oleh 'tuhan atau dewa' ini, ramai gadis-gadis telah dihalang daripada menerima pendidikan yang sepatutnya. Ini merupakan salah satu bentuk diskriminasi agama terhadap feminisme yang sedang berlaku di Afrika.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menganggarkan bahawa 10 peratus dari gadis-gadis di sub-Sahara Afrika tidak pergi ke sekolah semasa didatangi haid. Ia bersamaan dengan 20 peratus keseluruhan masa persekolahan untuk sepanjang tahun.

Menstruasi dalam budaya kuno

lukisan purba mengenai dua wanita haid di australia

Lukisan purba mengenai dua wanita haid dijumpai di Australia

Dalam beberapa budaya tradisional lain pula, wanita yang didatangi haid ini dianggap suci dan berkuasa. Malah, mereka dipercayai cukup berkuasa untuk menyembuhkan orang yang sakit. Menurut kaum Cherokee, darah haid adalah sumber kekuatan feminisme dan mempunyai kuasa untuk memusnahkan pihak musuh.

Dalam kepercayaan Rom purba seperti yang ditulis oleh Pliny the Elder, sekiranya seorang wanita yang didatangi haid tidak menutupi tubuhnya maka perkara itu boleh menghalau hujan lebat, puting beliung dan juga kilat. Sekiranya wanita dalam haid itu berbogel dan berjalan di sekitar ladang, segala ulat, cacing dan kumbang akan jatuh daripada tumbuh-tumbuhan.

wanita haid dipercayai boleh merosakkan tanaman

Walau bagaimanapun, haid dan kepercayaan mengenainya adalah salah satu sebab terbesar mengapa gadis-gadis malang di Ghana dan banyak lagi tempat lain lagi tidak hadir ke sekolah. Selain itu, pengurusan haid yang lemah juga merupakan penyebab utama jangkitan pada wanita di seluruh dunia.

Menurut laporan Femme International, sebuah kajian yang dibuat pada tahun 2014 di Lembah Mathare di Nairobi mendapati bahawa lebih daripada 75 peratus kanak-kanak perempuan tidak tahu apakah itu haid. Mereka hanya mengetahuinya setelah pertama kali mengalami kedatangan haid, menyebabkan mereka berasa takut, malu dan keliru.

Apabila persepsi mengenai haid menyebabkan kematian

rumah kecil chhaupadi

Malangnya, terdapat beberapa kes melibatkan persepsi dan amalan yang ketinggalan zaman berkaitan haid sehingga membawa kepada kematian. Sebagai contoh, seorang wanita telah mati di sebuah kampung terpencil di Nepal kerana tradisi yang mereka jalankan. Ketika datang haid, wanita di kampung itu akan dihalau dari rumah dan terpaksa tinggal di dalam pondok kecil sehingga haid mereka tamat.

Seorang wanita berusia 21 tahun telah kehilangan nyawa, apabila terhidu asap daripada api yang dinyalakannya dalam pondok kecil itu untuk memanaskan badannya ketika suhu kampung di kawasan pergunungan itu begitu sejuk. 

Tradisi yang digelar "Chhaupadi" ini masih diamalkan walaupun kerajaan mengeluarkan larangan terhadap amalam itu dan undang-undang telah diperkenalkan untuk menghukum mereka yang berbuat demikian.

gadis nepal ketika datang haid

Amalan tradisi Chhaupadi itu mengharamkan wanita Hindu di kawasan pendalaman Nepal untuk mengambil bahagian dalam aktiviti keluarga seperti biasa kerana dianggap "tidak suci". Mereka dipaksa untuk tinggal di kandang lembu atau pondok sementara, biasanya selama empat atau tujuh hari dalam sebulan.

Wanita haid di sana juga tidak dibenarkan untuk menyentuh lelaki. Selain itu, mereka dilarang makan susu, yogurt, mentega, daging atau makanan berkhasiat yang lain. Mereka biasanya makan makanan kering dengan garam dan beras.

chhaupadi

Para wanita ini juga tidak boleh menggunakan selimut tebal, hanya permaidani kecil sahaja yang dibenarkan. Ada di antara mereka yang dilarang untuk pergi ke sekolah semasa didatangi haid malah dilarang melakukan aktiviti harian lain seperti mandi.

Seorang pegawai kerajaan Nepal iaitu En. Kawcha telah memberitahu The Independent bahawa sejak Ogos 2017, sesiapa yang didapati masih mengamalkan amalan ini akan didakwa. Sekiranya didapati bersalah, mereka akan dipenjara sehingga 3 bulan atau didenda sebanyak 3,000 rupee Nepal. 

Rujukan:

Independent

BBC

Femme International




Hakcipta iluminasi.com (2017)