Kemungkinan besar ramai di antara kita yang tidak pernah mendengar tentang "BlackRock", syarikat kewangan paling berpengaruh dan pelabur terbesar di atas muka Bumi dengan aset bernilai sekitar RM39.5 trilion sehingga Jun 2021.

Untuk lebih memahami betapa besar jumlah tersebut, nilai RM39.5 trilion ini adalah lebih daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setiap negara di dunia, kecuali Amerika Syarikat dan China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain itu, BlackRock juga mengendalikan Aladdin, platform teknologi gergasi yang menyelia aset sekurang-kurangnya RM89.86 trilion.

Aladdin adalah sebuah rangkaian 5,000 komputer yang BlackRock gunakan untuk memantau berjuta-juta perniagaan dan menganalisis portfolio pelanggannya 24 jam sehari bagi melakukan analisis risiko.

Ia juga bertindak sebagai "sistem saraf pusat" bagi kebanyakan pemain besar dalam industri pengurusan pelaburan.

BlackRock menjadi tajuk utama pada September 2021 lalu selepas syarikat itu membelanjakan hampir RM25 bilion untuk membeli rumah keluarga tunggal (direka bentuk untuk digunakan sebagai unit kediaman tunggal, dengan satu pemilik, tiada dinding kongsi dan tanahnya sendiri) di Amerika Syarikat dan mengubahnya menjadi hartanah sewa, menurut laporan dari The Wall Street Journal.

blackrock membeli rumah keluarga tunggal

Dalam kebanyakan kes, BlackRock sendiri membayar jumlah wang yang lebih tinggi daripada yang diminta oleh penjual, sekaligus membunuh impian pemilikan rumah untuk golongan kelas pertengahan.

Dalam hanya 33 tahun, BlackRock telah berkembang daripada syarikat kecil menjadi pengurus aset terbesar dan paling dipercayai di dunia serta syarikat yang dikatakan "menakluki dunia".

Firma itu juga telah menjadi entiti yang semakin berpengaruh di Wall Street serta "pintu masuk" antara kewangan dan politik.

Hari ini, sekurang-kurangnya tiga pemimpin BlackRock kini sedang memegang peranan penting dalam kabinet Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.

Memandangkan syarikat ini mempunyai tabiat membentuk kabinet bayangan menjelang peralihan presiden dan penglibatannya dalam program rizab Persekutuan baharu Amerika Syarikat, Bloomberg menggelarkan BlackRock sebagai "cawangan kerajaan keempat" Amerika Syarikat.

larry fink pengasas blackrock

BlackRock diasaskan pada tahun 1988 oleh seorang bilionaire berpengaruh bernama Larry Fink dan firma itu beroperasi secara global dengan memiliki 70 pejabat di 30 negara serta pelanggan di 100 buah negara.

Semasa krisis kewangan tahun 2008 apabila kerajaan AS menyelamatkan syarikat gergasi Wall Street seperti Bear Stearns, AIG, Fannie Mae, Freddie Mac, BlackRock adalah syarikat yang diupah oleh kerajaan AS untuk melakukan analisis bedah siasat dan menyelesaikan segala kekacauan yang berlaku.

Firma ini telah dianugerahkan kontrak utama kerajaan AS untuk membantu mengatasi krisis tanpa pembidaan kompetitif sambil diselubungi dengan rahsia.

Dalam erti kata lain, Larry Fink telah diupah untuk menjadi pengurus penyelamat Washington di Wall Street, walaupun BlackRock adalah salah satu pemegang saham terbesar dalam bank yang sama dibantu mereka untuk diselamatkan.

Pada tahun 2020, pencetak wang AS iaitu Federal Reserve System mengupah BlackRock untuk menguruskan skim mereka untuk membeli bon korporat.

federal reserve system

Dalam hal ini, sekali lagi, syarikat yang dibantu dan diselamatkan oleh BlackRock adalah syarikat yang sama di mana BlackRock memiliki kepentingan terbesar.

Salah satu sumber dari Tech Startups mengulas tentang pengasas BlackRock:

"Di sebalik semua kuasa yang sangat hebat dimiliknya, orang awam masih tidak mengenali nama Larry Fink. Walaupun BlackRock hampir-hampir tidak disedari oleh masyarakat ketika dakwaan terbaharu tentang mereka membeli rumah-rumah keluarga tunggal. Ini kerana Larry sangat pintar, dia sengaja melakukan sedemikian. Dia menghabiskan 33 tahun membina BlackRock menjadi pengurus aset terbesar di dunia, hampir RM40 trilion di bawah pengurusan mereka.”

Hari ini, antara pelanggan BlackRock termasuklah akaun-akaun persaraan orang biasa dalam bentuk dana pencen, dana kekayaan negara sebagai pelanggan mereka, bank-bank pusat lain, wakaf kolej, "Syarikat Fortune 500" dan juga berjuta-juta pelabur individu.

BlackRock juga merupakan salah satu pemegang saham tertinggi bagi sebahagian besar saham teknologi gergasi termasuk Apple, Microsoft, Facebook, dan juga bank-bank utama lain seperti Wells Fargo dan Chase.

Pada tahun 2019, orang ramai melakukan petisyen terhadap BlackRock kerana menjadi antara pemegang saham utama pengeluaran minyak dan arang batu serta industri pencemaran berat.

Walau bagaimanapun, hal ini berubah pada tahun 2020 apabila firma itu berusaha untuk melabur dalam Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Rujukan:

1. Vox

2. CNBC

3. Tech Startups

4. Investopedia




Hakcipta iluminasi.com (2017)