tingkat hirarki angels

Sebagai seorang peminat permainan video, penulis tidak dapat lari daripada dihujani dengan elemen-elemen kepercayaan Kristian yang digunakan dalam pembangunan konsep-konsep yang digunakan dalam penceritaan.

Permainan video terkenal seperti 'Diablo' misalnya menggunakan watak-watak berupa 'angels' atau 'malaikat-malaikat' yang mempunyai bentuk fizikal serta membantu manusia melawan pengaruh kejahatan. Istilah-istilah yang digunakan juga amat unik serta menunjukkan betapa besarnya pengaruh agama Kristian, walaupun dalam perkara berbentuk hiburan sekalipun.

Penulis selalu tertanya-tanya dari mana datangnya asal-usul istilah-istilah yang disebutkan, kerana amat jelas berbeza pemahamannya dengan Islam dan apa yang orang Muslim percayai, jadi hari ini mari kita melihat serba sedikit berkenaan kepercayaan 'malaikat' menerusi perspektif agama Kristian. Kami pasti anda sudah biasa mendengar istilah-istilah ini disebutkan dalam filem, media dan pelbagai lagi saluran lain - sama ada anda sedar atau tidak.

Memahami 'Sphere' dan 'Choir'

angels menurut kepercayaan kristian

Kepercayaan orang Kristian berkenaan kumpulan-kumpulan 'angels' ini banyak dipengaruhi oleh hasil tulisan seorang pakar teologi Kristian sekitar abad ke 5 atau 6, bernama Pseudo Dionysius. Buku tulisannya 'De Coelesti Hierarchia' dijadikan rujukan asas oleh pengamal ajaran Kristian dalam menterjemahkan berkenaan kumpulan-kumpulan 'angels.'

Menurut hasil tulisan beliau, semua 'angels' terletak dalam tiga hirarki yang dinamakan sebagai 'sphere' dengan setiap satu 'sphere' mempunyai tiga 'choir'. Ditulis berdasarkan catatan-catatan dalam 'New Testament', hasil tulisan Pseudo Dionysius ini menimbulkan perbincangan hangat berkenaan isi kandungannya kerana apa yang terkandung di dalamnya tidak mendapat pengesahan pihak-pihak berilmu pengetahuan.

Identiti sebenar penulisnya juga diragui sehingga kini, dengan gelaran 'Pseudo-Dionysius' yang digunakan menjadi pertikaian. Walau bagaimanapun banyak pihak bangkit mempertahankan karya ini, membolehkan kandungannya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sekitar abad ke 8 dan seterusnya menjadi bahan rujukan masyarakat Kristian, khasnya teknik ajaran 'scholasticism' yang diamalkan gereja sekitar tahun 1100 ke 1700 di Eropah.

Sphere pertama: Seraph, Cherub dan Thrones

thrones makhluk ghaib

Dalam hirarki pertama, Seraph atau Seraphim terletak pada kedudukan paling tinggi. Dipercayai sebagai makhluk yang mempunyai enam kepak, dengan dua menutupi wajah, dua menutupi kakinya dengan dua lagi digunakan untuk terbang dan berkeadaan sentiasa diliputi api. Seraph dikatakan makhluk yang paling dekat dengan Tuhan, sangat berkuasa dan kerap kali dipaparkan dalam media berikutan popularitinya. Seraphim bermakna 'pembawa api'.

Cherub atau Cherubim pula makhluk yang dipercayai mempunyai empat wajah - manusia, lembu, singa dan helang dengan empat sayap. Ditugaskan untuk melindungi takhta Tuhan dan pokok kehidupan, Cherub bermakna 'makhluk yang berilmu' ditugaskan untuk menyimpan rekod-rekod yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Thrones pula adalah makhluk yang menjadi simbol kepada keadilan dan penguasaan, berupa seperti dua tayar pedati yang disambungkan. Ajaran 'Nation of Islam' yang berpusat di Amerika Syarikat turut sama mempercayai fahaman ini, mengaitkan Thrones sebagai penyebab utama kemunculan objek-objek seperti piring terbang yang dikatakan dapat dilihat di langit.

Sphere kedua : Dominion, Virtues dan Powers

archangel raphael

Kelompok makhluk yang berada dalam 'sphere' kedua juga turut sama terbahagi kepada tiga choir. Choir pertama adalah Dominion yang ditugaskan menjaga dan mengawal 'angels' lain yang bekerja. Dominion digambarkan sebagai makhluk berupa seperti manusia yang mempunyai sayap berbulu pelepah.

Virtues adalah choir kedua dalam sphere kedua. Digelarkan sebagai 'The Shining Ones', tanggungjawab Virtues adalah untuk memberanikan keberanian kepada mana-mana manusia yang merasakan dirinya bertanggungjawab melawan kejahatan.

Powers adalah choir terakhir dalam sphere kedua, bertugas untuk mengawasi kuasa kejahatan dalam memastikan alam ini berkeadaan seimbang. Memainkan peranan sebagai pahlawan, Powers dipercayai adalah makhluk yang ditugaskan memenjarakan mana-mana semangat jahat.

Sphere ketiga; Principalities, archangel dan angels

angels tenang haiwan ganas

'Angels' dalam sphere ketiga adalah mereka yang memberi panduan, melindungi dan memberikan petunjuk kepada manusia. 'Choir' pertama mewakili makhluk angels yang mengawal prinsip, digelarkan sebagai 'Principalities' yang diawasi oleh Dominion.

'Choir' kedua dalam kumpulan ini digelarkan sebagai 'archangel', bertanggungjawab menjadi pengantara di antara Tuhan dan manusia serta bertindak sebagai tentera dalam pertempuran di antara Syurga dan Neraka.

'Choir' terakhir dalam tingkat hirarki kepercayaan masyarakat Kristian berkenaan 'angels' ini adalah 'angels' sendiri yang ditugaskan untuk berada paling dekat dengan manusia, memenuhi keperluan serta memperkuatkan hati mereka semasa menghadapi dugaan.


Begitulah serba sedikit tentang fahaman 'angels' yang difahami oleh masyarakat Kristian, agak berbeza berbanding ajaran Islam yang tidak meletakkan sebarang kumpulan tertentu ke atas malaikat. Kepercayaan malaikat menurut Islam juga membezakan tanggungjawab setiap satu malaikat dengan satu tugasan masing-masing secara spesifik, tidak bercampur antara satu sama lain.

Walaupun begitu, wujud persamaan berkenaan ciri-ciri malaikat di antara ajaran Islam dan Kristian; malaikat mempunyai sayap, malaikat sentiasa bersama kita dan malaikat mempunyai kemampuan untuk bergerak di antara langit dan bumi secara mudah.

Rujukan

AL-KAFI #634

De Coelesti Hierarchia



Hakcipta iluminasi.com (2017)