Syurga. Mendengar namanya saja cukup untuk menenangkan jiwa.
Bagi penganut-penganut agama, syurga merupakan anugerah tertinggi yang boleh diperolehi oleh mereka dan kebiasaannya akan dinilai berdasarkan perbuatan mereka, semasa masih hidup di dunia.
Setiap agama mempunyai kepercayaan tentang syurga yang berbeza-beza, jadi mari kita belajar tentang syurga dalam konsep kepercayaan agama lain, yang sangat jarang untuk kita pelajari.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Gan Eden (Yahudi)
Masyarakat Yahudi percaya setiap perbuatan mereka di dunia akan berdepan dengan balasan, sama ada baik ataupun buruk. Bagi mereka yang bernasib baik, mereka akan dibenarkan untuk masuk ke 'Gan Eden', nama Taman Eden dalam bahasa Hebrew yang mahu dijadikan destinasi terakhir setiap mereka.
Nama 'Eden' diambil daripada perkataan Sumeria 'edinnue' yang bermakna lapangan, di mana orang Yahudi percaya Taman Eden merupakan sebuah lapangan luas yang subur serta dipenuhi pohon-pohon berbuah.
Apa yang menarik - wujud percanggahan pendapat tentang lokasi sebenar Taman Eden di kalangan pengkaji Yahudi sendiri. Ada pihak merasakan lokasinya merupakan satu bentuk mitologi yang belum mempunyai bentuk fizikal. Manakala bagi sesetengah pengkaji lain pula, mereka percaya Gan Eden ada di bumi ini.
Kebanyakan pendapat percaya ada empat lokasi yang berkemungkinan besar mewakili Gan Eden iaitu penghujung Teluk Parsi, bahagian selatan Iraq di mana Sungai Tigris dan Euphrates bertemu serta ada juga pendapat mengatakan Gan Eden terletak di Armenia. Gan Eden dipercayai 60 kali jauh lebih nikmat berbanding semua jenis nikmat yang dikecapi di bumi.
2. Vaikuntha (Hindu)
Vaikuntha merupakan nama di mana penganut agama Hindu percaya duduknya Dewa Vishnu, ditemani oleh temannya Lakshmi. Vaikuntha dikatakan dipenuhi hutan yang banyak pokok-pokok yang mampu menunaikan sebarang bentuk hajat mereka yang menghuni kawasan tersebut.
Bagi sesetengah pihak, mereka menganggap Vaikuntha merupakan sebuah alam lain yang mempunyai manifestasi seperti sebuah planet, mempunyai ekosistem yang sempurna serta lengkap serba-serbi.
Mereka yang terpilih untuk menjadi penghuni Vaikuntha dikatakan mampu mencapai tahap 'sammata' di mana dia tidak lagi mampu menafikan keagungan Dewa Vishnu, serta mempunyai tahap kasih sayang berkali-kali ganda di Vaikuntha, berbanding semasa hidup di dunia.
Alam Vaikuntha merupakan sebuah alam tidak terbatas yakni infiniti, disokong oleh beberapa dimensi lain yang dianggap sebagai alam transisi yang dinamakan sebagai 'Svarga.' Svarga merupakan alam di mana individu-individu penganut Hindu yang taat menunggu untuk memasuki Vaikuntha, kerana Vaikuntha merupakan peringkat tertinggi ganjaran dalam kepercayaan penganut Hindu.
3. Valhalla dan Folkvangr (Norse)
Dalam kepercayaan orang Norse, wujud dua lokasi ibarat syurga yang mereka percaya akan diberikan sebagai ganjaran kepada mereka. Yang pertama dan lebih popular adalah Valhalla, yang bermakna 'dewan mereka yang terkorban.' Valhalla merupakan kawasan yang diperintah oleh Odin, dipenuhi dengan pahlawan-pahlawan mereka yang terkorban dan terpilih untuk masuk ke Valhalla.
Di Valhalla, orang Norse percaya mereka boleh menikmati segala macam nikmat yang mereka mahukan sambil menunggu arahan seterusnya daripada Odin, bagi membolehkan mereka bersama-sama menyertai peperangan akhir yang dinamakan sebagai Ragnarok.
Folkvangr pula merupakan sebuah kawasan lapangan yang dikuasai oleh Dewi Freyja, tempat di mana mereka yang tidak terpilih untuk menjadi askar Odin. Oleh kerana itulah Folkvangr membawa makna 'lapangan orang ramai.'
Di tengah-tengah lapangan itu, terletak sebuah bangunan besar berupa dewan yang dinamakan sebagai Sessrumnir yang membawa makna 'dewan yang dipenuhi kerusi.' Dalam kepercayaan masyarakat Norse, Freyja diberikan pilihan awal dalam menentukan siapa yang layak untuk masuk ke Folkvangr dan Odin akan memilih selepas Freyja. Kedua-dua lokasi ini, dipercayai terletak di Asgard.
4. Tir Na Nog (Ireland)
Salah satu kepercayaan masyarakat Ireland zaman kuno, adalah mempercayai wujudnya sebuah kawasan yang dinamakan sebagai Tir Na Nog, atau maknanya 'Tanah Orang Senantiasa Muda', mitos berkenaan kepercayaan kawasan ini datang daripada sebuah kisah turun temurun masyarakat Ireland.
Wujud dua orang pahlawan, ayahnya bernama Finn dan anaknya bernama Oisin yang bertemu dengan seorang gadis yang sangat catik, menaiki kuda yang putih berseri-seri. Gadis itu memperkenalkan dirinya sebagai Niamh, puteri kepada raja Tir Na Nog. Oisin yang jatuh cinta dengan Niamh memberitahu rakannya yang dia akan mengikuti Niamh pulang, sanggup meninggalkan segalanya yang dia ada ketika itu untuk bersama Niamh.
Selepas bertahun tinggal di Tir Na Nog, Oisin merasa sangat rindu pada ahli keluarganya yang ditinggalkan. Dia meminta kebenaran Niamh untuk pulang, jadi Niamh dengan hati yang sangat berat membenarkan Oisin pergi. Pesan Niamh pada Oisin, ambillah kuda putih milik beliau dan jangan sesekali pun memijak tanah.
Memacu pantas kudanya, Oisin terkejut mendapati semua yang ada di depannya telah jauh berubah. Dia terlupa tentang pesanan Niamh, turun dari kudanya kerana terlalu terkejut. Melihat apa yang berlaku, Oisin serta-merta mengalami proses penuaan selama 300 tahun - yang tidak berlaku semasa dia masih mendiami Tir Na Nog.
5. Elysium (Greek)
Padang Elysium atau dalam bahasa Greek lama 'elysion pedion' merupakan kawasan di mana individu-individu yang berkhidmat kepada dewa dan dewi orang Greek, serta perwira-perwira dalam masyarakat ditempatkan selepas mati.
Kedudukan lapangan Elysium ini dikhabarkan terletak di sebuah teluk, disepanjang Sungai Oceanus yang menjadi penghujung kepada bumi. Elysium dinamakan sebegitu kerana perkataan asalnya adalah 'Elysian' yang membawa makna ketenangan abadi dan dirahmati. Tidak ada gambaran tepat bagaimana rupa Elysium ini dikatakan kerana masyarakat Greek percaya setiap orang akan mendapat ganjaran yang berbeza-beza, bergantung kepada individu itu sendiri.
Menurut kepercayaan Greek, setiap nyawa yang menuju ke Elysium akan diadili tiga kali oleh tiga orang hakim yang berbeza - Aeacus, Minos dan terakhir sekali Radhamanthus, pemerintah kepada Elysium.