Oleh pada 01 Oct 2019 kategori

malaikat harut marut tenggelam

Pada zaman Nabi Idris as., malaikat di langit dikatakan bertanya pada Allah swt. tentang kemungkaran yang dilakukan oleh kaum Nabi Idris as dan mengapa Allah swt. terus membiarkannya berlaku.

Untuk menjawab pertanyaan malaikat, Allah swt. meminta agar barisan malaikat memilih dua malaikat yang dirasakan terbaik untuk dikurniakan nafsu syahwat seterusnya dihantar ke bumi menjalani hidup seperti manusia, agar dua malaikat itu dapat menunjukkan kepada kaum Nabi Idris as. hukum-hakam Allah swt. yang sebenar dan telah mereka lupakan.

Malaikat Harut dan Marut dipilih daripada kalangan malaikat untuk diberikan tanggungjawab besar itu. Selain itu, mereka juga diberikan lima perintah serta larangan Allah swt., semasa mereka turun ke bumi; jangan berzina, jangan minum arak, jangan membunuh, jangan tidak berlaku adil dan jangan sama sekali menyekutukan Allah swt.

Harut dan Marut turun ke bumi

antara langit dan bumi harut marut kisah

Untuk beberapa tempoh kedua-dua malaikat menjelmakan diri mereka sebagai manusia mula duduk di kalangan umat manusia ketika itu menjalankan tanggungjawab mereka, sebagai makhluk yang taat pada perintah Allah.

Malangnya, jadual seharian mereka menemukan mereka dengan seorang wanita cantik bernama Zahrah (az-Zahra dalam beberapa rujukan lain). Mempunyai nafsu - kedua-duanya jatuh cinta dengan Zahrah, walaupun mereka tahu dia isteri orang. Zahrah yang sedar akan perasaan yang dipendamkan kedua-duanya terhadap dirinya mengenakan syarat-syarat pada Harut dan Marut untuk mengahwininya.

Dua syarat utamanya mudah - Harut dan Marut mesti masuk ke agama perempuan tersebut dan yang kedua, Harut dan Marut perlu membawa Zahrah naik ke langit. Dibuai nafsu, Harut dan Marut pada mulanya gentar untuk memenuhi permintaan Zahrah; diminta mensyirikkan Allah. Mereka berdua berbincang sesama dan masih kuat enggan melakukannya.

Arak sebagai ibu segala kerosakan

arak ibu kerosakan

Zahrah kembali menggoda membawa bersamanya minuman arak yang memabukkan. Wanita itu memujuk Harut dan Marut untuk bersetuju dengan syaratnya. Akhirnya mereka berdua terpedaya lalu mula meneguk arak lazat yang disediakan Zahrah.

Sudah mabuk dan hilang kewarasan, Harut dan Marut lupa langsung lima pesanan Allah swt, melanggar larangan yang dikenakan pada mereka - bersetuju untuk meninggalkan Tuhan yang mereka sembah untuk menyembah apa yang disembah Zahrah.

Gembira Zahrah mendengar persetujuan itu dan merasakan dirinya jadi rebutan. Semakin lama nafsu mula menguasai mereka bertiga, apatah lagi Harut dan Marut merasakan apa yang mereka idamkan sudah ada di depan mereka - Zahrah berjanji akan merelakan apa saja asalkan mereka berdua tunduk padanya.

Berlakulah zina di antara mereka berdua dengan Zahrah, jadi sudah tiga larangan Allah swt. dilanggar tanpa kawalan diri lagi. Harut dan Marut yang asalnya Malaikat, mula lemas dalam godaan nafsu yang belum pernah mereka rasai sebelum itu.

Melengkapkan perbuatan larangan Allah swt.

manusia dibunuh harut marutosurtamilnaduhonourkilling17112018 0

Kelakuan sumbang Harut dan Marut beserta Zahrah malangnya disaksikan oleh seorang lelaki tua. Gementar takut rahsia mereka terbongkar, Harut dan Marut mengejar lelaki itu lalu membunuh lelaki malang yang hanya kebetulan lalu di situ.

Menyekutukan Allah, minum arak, berzina, membunuh pun sudah. Begitulah kuatnya kuasa nafsu yang menguasai diri dua Malaikat itu. Terus dikuasai nafsu, Harut dan Marut yang sudah tidak lagi dapat mengawal gelora jiwa dipujuk oleh Zahrah bersetuju untuk mengangkat Zahrah ke langit, memenuhi janji mereka kepada Zahrah.

Jadi mereka mengajarkan Zahrah ayat-ayat suci yang akan membolehkan diangkat diangkat. Tindakan itu dianggap Allah swt. sebagai satu tindakan melebihi batasan. Tiba mereka bertiga ke langit, Zahrah hilang entah ke mana tanpa kesan. Harut dan Marut mendapati sayap mereka dipotong dan kedua-duanya kembali dicampak ke bumi.

Terdamparlah kembali Harut dan Marut di wilayah Babylon, menyesali apa yang telah mereka lakukan yang sangat dahsyat kejelikannya - hanya kerana diberikan peluangĀ  nikmat mempunyai nafsu yang belum pernah diberi pada mana-mana Malaikat sebelum mereka.

Meminta syafaat Nabi Idris as.

azab dibakar di dunia

Mengetahui adanya seorang Rasul Allah di Babylon bernama Idris as, jadi Harut dan Marut pergi bertemu dengan Nabi Idris as. bagi memohon agar Idris akan mendoakan keampunan pada Allah swt. atas segala perbuatan keji mereka, membolehkan mereka kembali ke langit.

Nabi Idris as. mendengar kisah mereka dengan sabar, namun memohon agar Harut dan Marut kembali semula pada hari Jumaat berikutnya agar dapat diberikan ruang Baginda bermunajat dan memohon pertolongan Allah. Untuk beberapa kali mereka berdua datang dan pergi bertemu Nabi Idris as. setiap Jumaat, sehinggalah pada satu hari Jumaat, Nabi Idris as. memberitahu doanya sudah diterima.

Walaupun begitu - atas segala kesalahan yang mereka telah lakukan, Harut dan Marut tetap akan diazab. Berkat doa Nabi Idris as., Allah swt. menawarkan pilihan pada Harut dan Marut; sama ada mahu hidup selamat di dunia dan diazab di hari akhirat atau diazab di dunia sementara urusan diakhirat diserahkan sepenuhnya pada pengadilan Allah swt.

Kedua-dua berbincang sesama mereka. Harut mempunyai hujahnya, Marut mempunyai pendapatnya. Mereka risaukan tempoh waktu di akhirat yang panjang, merasakan waktu tu di dunia lebih pendek akan meringankan beban azab mereka. Kedua-duanya juga tetap takut dengan nasib yang bakal mereka terima sekiranya memilih di azab di akhirat kelak yang tidak diketahui hujung pangkalnya sedangkan dapat terselamat di dunia.

Setelah berbincang, Harut dan Marut memilih untuk diazabkan di dunia lalu mereka pun diseksa oleh Allah swt. Pendapat tentang bagaimana mereka diseksa mempunyai banyak pandangan berbeza tetapi satu persamaan antara semua pendapat tentang bentuk penyeksaan yang dikenakan ke atas mereka - sangat ngeri untuk kita membayangkannya.

Ada yang kata mereka digantung dan dibakar. Ada yang menyebutkan mereka digantung dengan rambut mereka dan banyak pendapat lain yang berbeza-beza.

Kisah Harut dan Marut selepas itu serta apa yang terjadi pada mereka memerlukan satu lagi tulisan panjang, jadi harapnya dapat kita bertemu lagi di lain masa. Begitulah kisah Harut dan Marut, dua Malaikat yang dianugerahkan hawa nafsu tetapi akhirnya lemas dalam godaan dunia.

Nota kaki : Banyak pendapat menyebut bahawa kisah ini datang daripada sumber yang gharib. Malahan ada pihak mendakwa asal-usul kisah ini datang daripada catatan-catatan dalam Israiliyat. Kami sertakan rujukan yang menyertakan tentang kisah yang kami ringkaskan ini di bawah.

Jika anda tidak boleh membuka pautan, boleh Google-kan pautan mengikut kata kunci di bawah. Kisah ini boleh dikatakan gharib atau lemah, diriwayatkan daripada satu sumber dengan sumber utamanya dikatakan berasal daripada kitab Talmud milik orang Yahudi. Mengapa kisah ini diperturunkan sehingga kini? Wallahuallam.

Rujukan

Kisah Harut dan Marut: Surah al-Baqarah (2: 99-103) (PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)