Di media sosial, ramai pula pihak bangkit gemar membeza-bezakan tahap kejayaan seseorang setelah dewasa, mengikut kelas yang mereka duduki semasa zaman sekolah.
Perkongsian sebegini biasanya dibuat individu yang merasakan diri mereka sudah berjaya biasanya melalui aktiviti perniagaan, mampu menimbulkan perbincangan hangat di kalangan netizen.
Apa yang aneh, pempengaruh seperti ini gemar mendabik dada kononnya mereka dulu 'kurang cerdik' dalam pendidikan tetapi mampu menjadi tauke perniagaan yang memiliki Vellfire dan rumah besar; memperlekehkan mereka yang biasanya di kelas-kelas depan.
BESARKAN TEKS A- A+
Jika anda dulu dalam kelas belakang, anda mungkin tidak sedar tekanan yang ada di kelas depan. Berikut adalah 5 tekanan yang ada digalas bahu mereka yang dikatakan 'terbaik' di sekolah.
1. Duduk di depan membuatkan orang mahu 'menjatuhkan' anda
Seperti dalam sukan, setiap pesaing melihat pendahulu pertandingan sebagai pihak yang perlu disingkirkan daripada singgahsana. Begitulah juga dengan pelajar kelas depan.
Setiap masa mereka sedar tempat mereka sebagai buah hati cikgu dan sekolah boleh diganti pelajar lain sekiranya mereka alpa.
Tekanan ini tidak wujud ketara di kalangan pelajar kelas belakang...kerana penulis adalah pelajar kelas belakang. Belakang sekali pula itu!
Kami di kelas belakang lebih laid back, redha saja dengan apa saja keputusan yang kami terima dan merasa kagum kalau ada seorang dua dalam kelas kami yang agak terkehadapan sedikit dalam belajar.
Adakah majoriti kami nak potong dia? Tak pun. Dialah pusat rujukan kami dalam kelas dan dek hormatnya kami pada dia, kami biarkan saja dia kekal bergelar pelajar terpandai dalam kelas belakang.
2. Mereka diajar benci kegagalan
Apabila duduk di kelas belakang, pihak guru dan sekolah pun biasanya tak meletakkan harapan tinggi kepada kumpulan kami. Cukuplah sekadar 'asal jangan gagal' mdan 'jangan memalukan nama sekolah' menjadi fokus utama.
Situasi ini tidak berlaku pada pelajar kelas depan. Pihak sekolah dalam menilai kelas depan, mesti dah siap tetapkan kelas budak target dengan satu sasaran tinggi.
Sasaran yang perlu mereka capai jauh lebih tinggi berbanding kelas-kelas lain, sehinggakan majoriti pelajar yang duduk di kelas depan benci dan takut dengan kegagalan; sehingga timbul fobia berhadapan sebarang bentuk kelemahan.
Sekolah target semua A, keputusan dapat 1 B pun dah dilihat gagal teruk.
Bila kita dah dewasa barulah kita sedar kadangkala sasaran pihak sekolah ke atas pelajar-pelajar kelas depan ni berat sebenarnya.
3. Mereka ada ego sendiri
Menjelang dewasa, apabila anda nampak anak-anak muda membuang masa berbanding melakukan sesuatu yang bermanfaat, pasti akan terdetik di hati anda 'kenapalah dia melakukan benda sia-sia?'
Begitulah juga dengan pelajar kelas depan apabila mereka melihat teman sebaya mereka malas berusaha berbanding mereka yang sanggup dikerah untuk belajar serta cemerlang walaupun berdepan permintaan tinggi sekolah.
Nak tak nak ego dalam diri pelajar kelas depan akan terbentuk dicambahkan lagi dengan pujian-pujian guru yang berusaha mahu meyakinkan pelajar kelas depan pengorbanan mereka itu sangay dihargai pihak sekolah.
Yang menjadi masalah, perangai ego ini biasanya dibawa ke alam dewasa. Masa belajar dia seorang pelajar yang setiap hari dipuji guru dan sekolah, berusaha keras memperbaiki diri serta bersaing antara satu sama lain.
Bila mereka melangkah dewasa tanpa pernah jatuh, zaman pekerjaan mereka pun mereka akan jadi individu yang susah untuk menerima hakikat dia perlu bermula dari bawah.
Kalau boleh lepas-lepas keluar universiti saja, dia terus nak jadi ketua atau leader orang lain.
4. Mereka distereotaipkan tak cekap sukan
Kami tidak tahulah di negara lain bagaimana, tetapi di negara kita khususnya setiap kali sekolah pilih pelajar menyertai pertandingan bersifat akademik seperti kuiz, debat, pidato dan sebagainya, yang terpilih tentulah pelajar kelas depan.
Tapi bila nak pilih wakil sekolah bab sukan seperti bola sepak, ragbi atau mana-mana sukan lasak, pelajar kelas mana yang biasanya terpanggil? Pelajar kelas belakang-belakang.
Kenapa ini berlaku? Tak tahulah penulis.
Mungkin memang ada perbezaan ketara antara kelasakan fizikal pelajar kelas depan dengan pelajar kelas belakang, yang mendorong kepada pembahagian ini.
Apa yang lucu, pengalaman penulis pun seakan menyokong pandangan ini.
Nak join kuiz, bahas, pidato dan sebagainya? Mesti pelajar-pelajar baik-baik dengan rambut sikat tepi dari kelas depan dipanggil. Nak main bola? Muka-muka malas belajar tu la yang paling rajin turun padang.
5. Mereka takut tidak diberi peluang memimpin
Satu aspek yang jarang diperkatakan berkenaan kesan psikologi duduk di kelas depan, adalah bagaimana pelajar kelas depan biasanya turut sama dilatih jadi pemimpin di kalangan pelajar.
Bila mereka dah dilatih sejak muda untuk memimpin sebuah organisasi, biasanya sukar untuk pelajar kelas depan mampu bergerak secara sendirian dalam apa-apa kerja; mereka memerlukan organisasi untuk mereka mampu memainkan peranan yang efektif.
Tanpa wujud skop untuk mereka mengetuai sesuatu badan, pelajar kelas depan biasanya kaget, tidak mampu berjalan sendiri.
Situasi ini berbeza dengan pelajar kelas belakang yang tidak terikat dengan 'peraturan' sama. Pelajar kelas belakang lebih kendiri mengemudi perjalanan mereka, kerana mereka tidak ada orang lain menumpang kepada mereka.
Perasan tak bila kita dah melangkah dewasa dan meniti alam pekerjaan, pelajar kelas depan selalunya cenderung memilih pekerjaan di mana mereka boleh memimpin sebuah organisasi, dengan 'naik jadi ketua' dilihat ukuran kejayaan mereka.
Sementara kumpulan pelajar kelas belakang yang dah dewasa caca merba kisah pekerjaan mereka. Ada yang berniaga, ada yang berani cuba benda baru. Ada yang berkebun. Bela ayam. Bela itik. Jual bundle dan sebagainya, tanpa kita nampak jelas apakah tahap ukuran kejayaan pelajar kelas belakang yang patut kita guna.
Campak kat mana-mana pun dia boleh hidup kerana bagi mereka ini, mereka tak ada tekanan untuk psikologi untuk naik memimpin atau mengetuai sesiapa - buat sajalah apa pun asal tak gagal dan tak memalukan diri sendiri dah jadi motto hidup mereka.
Mana yang lebih baik; pelajar kelas pandai atau kelas belakang?
Jawapannya mudah saja. Yang kelas depan akan kata dia lebih baik kerana mempunyai ketokohan dan kemampuan mengetuai. Yang kelas belakang akan jawab mereka lebih baik kerana mereka berjiwa merdeka.