Oleh pada 10 Jan 2020 kategori

Pencemaran udara boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti asma, emfisema (keadaan paru-paru mengembung), bronkitis kronik dan pelbagai lagi masalah pernafasan lain. 

Ia juga mampu menimbulkan masalah seperti kegatalan pada mata, alahan pada demam dan jangkitan paru-paru. Pencemaran udara juga boleh membantutkan perkembangan tumbuh-tumbuhan dan boleh menyebabkan kerosakan teruk pada tanaman dan hutan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, terdapat satu kejadian pencemaran udara paling teruk pernah dilaporkan. Kejadian yang digelarkan sebagai The Great Smog atau Kabus Besar itu berlaku di London, England.

Perkataan smog adalah merujuk kepada sejenis pencemaran udara yang teruk. Perkataan "smog" itu telah dicipta pada awal abad ke-20 dan diambil dari perkataan "smoky fog" yang bermaksud kabus berasap kerana bau dan ketebalannya.

Pada 5 Disember 1952, satu kabus yang aneh, berwarna kuning kehitam-hitaman dan tebal telah melanda London. Walaupun kota raya itu sering dilanda kabus, keadaan kali ini amat berbeza.

Bau kabus kali ini juga berbeza seperti bau asap pembakaran bercampur bahan kimia. Orang yang keluar pada hari itu seolah-olah 'terperangkap' apabila sukar untuk bernafas dan melihat dalam kabus tebal lagi mengaburkan mata itu.

kabus tebal london

Lebih menyedihkan, kebanyakan penduduk London masih tidak sedar apa yang berlaku ketika itu. Mereka sebenarnya sedang menghadapi salah satu pencemaran udara terburuk dalam sejarah.

Apabila kabus tebal itu hilang sepenuhnya, dianggarkan seramai 12,000 orang telah terkorban. Misteri tentang kejadian Kabus Besar London itu juga mengambil masa hampir 65 tahun untuk diselesaikan oleh pakar.

Pencemaran udara yang berlaku ketika Kabus Besar London itu adalah hasil daripada beberapa kejadian malang yang tidak diingini.

Beberapa hari sebelum diselubungi asap tebal, London telah dilanda cuaca sejuk. Ini menyebabkan penduduk kota itu melakukan pembakaran arang dengan lebih kerap berbanding biasa untuk memanaskan badan. Maka, setiap cerobong rumah menghasilkan asap pada kadar yang lebih tinggi.

Tambahan pula, pada tarikh 5 Disember itu seakan-akan tiada angin yang bertiup. Biasanya, kelajuan angin di London bertiup sekitar 5-10 batu sejam. Ketiadaan tiupan angin ini membuatkan asap-asap yang keluar dari cerobong rumah memenuhi jalan-jalan di sekitar bandar itu.

kabus menyebabkan 12 000 kematian

Selain cuaca sejuk dan ketiadaan tiupan angin, kota London berada betul-betul di bawah atmosfera antisiklon yang membentuk satu lingkaran udara dalam lingkungan tetap di bahagian tengah.

Antisiklon ini telah membentuk satu gelembung di sekitar kota London yang menghalang udara segar daripada masuk dan kabus tebal daripada keluar.

Kabus yang memenuhi kota London begitu tebal sehingga kadar penglihatan hampir tiada. Keadaan ini memaksa pemandu-pemandu meninggalkan kenderaan mereka di tengah-tengah jalan raya. Berjalan kaki di luar juga hampir mustahil kerana kadar pencemaran telah menyebabkan keadaan menjadi toksik. 

Mereka yang berada di jalanan sewaktu kabus itu melanda telah mengalami pelbagai masalah kesihatan. Doktor-doktor telah melaporkan kes-kes seperti jangkitan saluran pernafasan, hipoksia (kekurangan oksigen dalam tisu badan), bronkitis dan bronkopneumonia (radang paru-paru).

kabus london 1952

Keadaan ini menyebabkan kematian penduduk London meningkat sehingga 12,000 orang atau lebih. Satu kajian yang dilakukan mendedahkan bahawa tahap asid sulfurik yang tinggi dalam asap merupakan punca utama kematian korban.

Bagaimana asid sulfurik boleh berada dalam kabus yang melanda London pada hari itu menjadi misteri selama hampir 65 tahun. Akhirnya, misteri itu terungkai apabila satu pasukan saintis global menemui jawapannya pada November 2016.

Salah seorang saintis, Dr. Renyi Zhang, dari Texas A&M University mendakwa ia berpunca daripada pemilihan bahan bakar iaitu arang batu. Sulfat merupakan penyumbang terbesar kepada kabus dan zarah-zarah asid sulfurik terbentuk daripada sulfur dioksida yang terhasil daripada pembakaran arang batu di kediaman dan loji kuasa.

Namun, bagaimana sulfur dioksida boleh berubah menjadi asid sulfurik masih lagi tidak jelas. Keputusan penyelidikan menunjukkan bahawa proses ini dipermudahkan oleh kehadiran nitrogen dioksida yang terhasil dalam kabus semula jadi atau pembakaran arang batu.

Para saintis sekarang berharap penyelidikan mereka ini akan membawa kepada kejayaan lain dan dapat membantu menyelesaikan masalah di negara-negara lain yang mempunyai kadar pencemaran udara yang tinggi seperti China dan India.

the great smog of london 1952

Kejadian Kabus Besar London yang membunuh ribuan nyawa dalam masa lima hari itu telah memaksa parlimen untuk menilai semula kesan pencemaran udara terhadap manusia.

Empat tahun selepas itu, United Kingdom telah menggubal Akta Udara Bersih 1956 dan mengharamkan semua pembakaran yang menyebabkan pencemaran di seluruh negara.

Rujukan:

1. Kejadian kabus di London yang menjadi misteri lebih 60 tahun

2. Pencemaran udara terburuk dalam sejarah

3. Kabus tebal yang mengorbankan seramai 12,000 nyawa




Hakcipta iluminasi.com (2017)