Maraton adalah perlumbaan jarak jauh dengan jarak rasmi sejauh 42.195 kilometer atau 26 batu 385 ela. Biasanya, perlumbaan ini dilakukan di jalan raya tetapi juga boleh merangkumi laluan denai atau jalan tidak berturap.

Acara maraton diadakan sebagai peringatan kepada perjalanan bersejarah askar Yunani bernama Pheidippides. Dia merupakan utusan yang ditugaskan ketika Yunani bertempur dengan tentera Parsi pada Peperangan Marathon (490 SM).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pheidippides diarahkan ke Sparta dari Marathon untuk meminta bantuan ketika Parsi mendarat di Marathon, Greece. Perjalanan pergi dan balik itu memakan masa selama dua hari dengan jarak keseluruhan 240 km.

Dia kemudian berlari pula ke Athens sejauh 40 km (25 batu) untuk melaporkan kemenangan Yunani dalam peperangan itu. Phidippides dikatakan rebah dan meninggal dunia sebaik sahaja sampai dan berkata "kita menang".

Demi memperingati perjuangan itu, acara maraton diadakan setiap tahun dan menjadi salah satu acara Olimpik rasmi pada 1896 walaupun jarak standard yang digunakan pada hari ini ditentukan pada 1921. Kini, ratusan acara maraton diadakan di seluruh dunia setiap tahun.

Maraton maut

Walaupun hampir semua penganjur maraton menyediakan kemudahan dan bantuan yang sepatutnya seperti laluan yang selamat, penyelia dan pasukan perubatan tetapi ia tidak 100 peratus menjamin keselamatan para peserta.

maraton gansu

Pada tahun 2021, satu larian maraton yang diadakan di China telah menjadi tular apabila puluhan peserta maut dan ramai lagi yang mengalami kecederaan.

Larian maraton sejauh 100 km yang diadakan di Hutan Batu Sungai Kuning di wilayah barat laut Gansu pada hari Sabtu itu bermula pada jam 9.00 pagi waktu tempatan.

Seramai 172 pelari telah menyertai maraton itu termasuklah beberapa pelari legenda negara itu.

Kira-kira tiga jam setelah perlumbaan bermula, laluan maraton di bahagian pergunungan telah dilanda hujan lebat, cuaca sejuk dan disusuli hujan ais secara mengejut.

Menurut pihak berkuasa dari bandar Baiyin yang berdekatan, keadaan ini menyebabkan suju jatuh menjunam dengan begitu pantas.

Sebahagian besar pelari yang terkandas dilaporkan mengalami hipotermia dan kehilangan arah apabila cuaca sejuk menjejaskan jarak penglihatan mereka.

Credit: TheStar

Salah seorang pelari yang tidak mahu dikenali berkata, hujan batu yang turun itu seakan-akan "peluru yang menghentam wajah".

Malah, dia dan beberapa pelari lain berada di bahagian gunung yang agak curam. Mereka berada di kawasan terbuka dan tiada tempat perlindungan.

Para peserta kebanyakannya tahu bahawa akan ada angin kuat dan hujan tetapi tidak menyangka bahawa cuaca akan menjadi begitu ekstrem.

Operasi menyelamat dimulakan

Sejurus selepas menerima isyarat daripada pelari yang meminta bantuan, penganjur maraton telah menghantar pasukan penyelamat dan memulakan misi mencari mangsa.

Datuk bandar kota Baiyin, Zhang Xuchen, yang juga merupakan penganjur larian itu memberitahu bahawa keadaan cuaca bertambah buruk pada jam 2.00 petang dan perlumbaan itu terpaksa dibatalkan.

pasukan penyelamat maraton gansu

Operasi menyelamat yang melibatkan lebih daripada 1,200 orang penyelamat dilancarkan. Operasi itu juga dibantu oleh drone yang dilengkapi pengimejan termal dan pengesan radar. 

Namun, usaha menyelamat itu terbukti sudah terlambat bagi beberapa peserta. Kebanyakan peserta telah diserang hipotermia ketika sedang menunggu untuk diselamatkan. Malah, para penyelamat juga dilihat mengalami kesukaran melakukan operasi dalam cuaca sebegitu.

Kemalangan itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial China. Kemarahan mereka tertumpu terutamanya kepada pihak berkuasa bandar Baiyin yang tidak melakukan perancangan teliti mengenai larian maraton itu.

Dalam sidang media pada hari berikutnya, Zhang Xuchen mewakili penganjur maraton telah menyatakan perasaan bersalah dan menyesal. Dia turut mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera.

Kehilangan besar dunia larian negara

Daripada keseluruhan 172 orang peserta maraton, seramai 21 orang telah terkorban akibat kejadian malang ini. Rakyat China memberikan penghormatan dalam talian kepada mangsa terutamanya dua pelari utama negara yang turut terkorban.

liang jing

Liang Jing

Liang Jing, juara ultramaraton negara dan Huang Guanjun, pelari maraton cacat pendengaran yang memenangi maraton di Sukan Paralimpik Kebangsaan pada 2019 adalah atlet terkenal China yang kehilangan jiwa dalam perlumbaan itu.

Kehilangan Liang Jing yang turut dikenali sebagai Jeneral Liang yang menjadi insparasi ramai pelari lain memberi kesan besar terhadap sukan itu di China.

Diharap agar kejadian ini menjadi iktibar dan pengajaran bagi mana-mana penganjur sukan lain di seluruh dunia. Keselamatan adalah perkara paling penting agar kemalangan seperti ini tidak berulang lagi.

Rujukan:

1. 21 pelari terkorban dalam "Maraton Maut" di China

2. Larian Maraton diakhiri dengan tragedi akibat cuaca ekstrem

3. Maraton China : Peminat ratapi pemergian pelari utama negara




Hakcipta iluminasi.com (2017)