kuala lumpur musim hujan

Perkongsian-perkongsian maklumat palsu yang tular seringkali berlaku di kalangan ahli masyarakat kita, walaupun kadangkala perkongsian itu sebenarnya sudah lama dibuat.

Salah satu perkongsian informasi tidak benar yang nampaknya saban tahun berulang adalah berkenaan ramalan cuaca yang menyatakan kita di Malaysia, bakal mengalami musim sejuk yang di luar kebiasaan.

Perkongsian seperti ini menimbulkan perbincangan hangat di kalangan netizen khasnya memerlukan pihak berwajib tampil mengeluarkan kenyataan, setiap kali berlakunya tularan.

Untuk mengelakkan perkara sama berulang, jom kita fahami secara fakta benarkah Malaysia mampu jadi sesejuk London seperti yang didakwa sesetengah individu?

Tiga fenomena pengaruhi iklim Malaysia

iklim cuaca fenomena malayia

Secara asasnya, Jabatan Meteorologi Malaysia menggunakan tiga komponen utama dalam memantau iklim negara kita iaitu corak tiupan angin, taburan hujan dan yang terakhir suhu.

Ketiga-tiga faktor ini pula sangat dipengaruhi 3 fenomena yang berlaku secara bermusim.

Fenomena pertama adalah El-Nino Southern Oscillation atau singkatannya ENSO (kita lebih gemar menggelarkannya El-Nino) - yang mengakibatkan suhu paras air laut meningkat seterusnya menyebabkan bahang panas dibawa melalui tiupan angin menyebabkan iklim kita kering.

Yang kedua adalah Indian Ocean Dipole atau IOD, lebih dikenali dengan nama Indian Nino yang menyebabkan perubahan naik turun suhu di sekitar Lautan Hindi.

Fenomena terakhir adalah Madden-Julian Oscillation atau MJO yang membawa monsun mengakibatkan taburan hujan yang tinggi, seterusnya bencana banjir yang menimpa kita saban tahun.

MJO biasanya berlaku di antara tempoh sebulan sehinggalah 60 hari, disebabkan oleh pergerakan angin yang merentasi kawasan negara kita serta sebahagian besar kawasan Sumatera.

Fenomena MJO inilah yang mengakibatkan cuaca kita menjadi sejuk sehingga ramai yang terasa macam duduk di negara luar.

Bagaimana tahap suhu panas diukur di negara kita?

pejabat stesen meteorologi malaysia

Setiap bulan Ogos, negara kita diramal akan berhadapan dengan gelombang haba yang biasanya berlaku selama beberapa bulan.

Gelombang haba inj mengakibatkan kenaikan suhu di beberapa kawasan secara purata yang akan diukur dan diwartakan Jabatan Meteorologi, sebagai panduan pihak berkuasa bagi menangani masalah yang boleh timbul.

Namun, semua proses untuk menangani kemungkinan yang boleh berlaku akibat kesan gelombang haba masih boleh dikatakan baru diterokai khasnya di kawasan Asia Tenggara dan Selatan.

Prosedur pemantauan yang mengadungi panduan lengkap diperkenalkan dalam bentuk protokol standard operasi dan fasiliti kali pertama di mulakan kerajaan India, selepas daerah Ahmedabad mengalami masalah gelombang haba bermula bulan Mei 2010.

Gelombang ini yang mencecah 46.8°C, membunuh lebih 1,300 nyawa.

Kita di Malaysia mengukur gelombang haba menggunakan 4 skala utama bergantung situasi; pemantauan, berjaga-jaga, pengisytiharan gelombang haba dan yang terakhir tahap kecemasan.

Kajian berkenaan terhadap sistem yang digunapakai di negara kita masih dalam peringkat penambahbaikan, disebabkan oleh perbezaan keupayaan sistem sedia ada.

Secara amnya, kita mempunyai 23 stesen meteorologikal di seluruh negara namun bukan semua stesen di negara kita mempunyai keupayaan serupa. (PDF).

Hanya stesen di Chuping, Perlis mempunyai fasiliti lengkap untuk kesemua 4 skala sementara selebihnya  mempunyai keupayaan berbeza-beza.

Sistem amaran kita pula dibahagikan kepada 3 kategori; tahap 1 apabila suhu mencapai di antara 35°C ke 37°C selama 3 hari berturut. Tahap 2 di antara 37°C ke 40°C dalam waktu serupa sementara tahap 3 pula diisytiharkan bila suhu melebihi 40°C.

Kita pernah berdepan tahap 1 tak lama dahulu sekitar bulan Mac tahun 2019, apabila beberapa kawasan direkodkan mencapai suhu melebihi 35°C.

Pendang di Kedah mrnjadi satu-satunya daerah mencecah tahap 2 semasa fenomena tersebut.

Berapakah suhu paling panas pernah direkodkan di Malaysia?

chuping daerah terpanas

Tidak banyak insiden melibatkan cuaca panas melampau berlaku di negara kita, walaupun cuaca kita sedia ada memang panas.

Dalam rekod dan kajian berkaitan negara kita, satu daerah seringkali mencatatkan angka suhu paling tinggi di antara semua daerah yang ada iaitu daerah Chuping di Perlis.

Pekan kecil ini seringkali menjadi lokasi paling panas utama di negara kita, merekodkan bacaan suhu tertinggi dalam sejarah negara kita pada 9 April 1998 dengan bacaan 40.1°C. 

Sehingga kini Chuping kekal berada dalam kelompok terpanas, setiap kali tiba musim dengan bacaan suhu purata 37.1°C hingga 37.7°C, dengan rekod tertinggi tahun 2019 mencatatkan 38°C.

Majoriti kawasan paling panas di Malaysia juga terletak di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

Sementara tahun 2016 menjadi tahun paling panas dalam tempoh 10 tahun terkini, disebabkan fenomena El Nino yang melanda.

Betulkah Malaysia boleh sesejuk London?

kuala lumpur sejuk london

Satu perkara yang perlu anda sedari - suhu di London secara purata tahunan berada pada tahap 11.1 °C.

Memang wujud beberapa lokasi tanah tinggi di negara kita yang mencatatkan bacaan lebih rendah daripada bacaan tersebut, namun dalam situasi biasa secara faktanya amat sukar untuk kebanyakan rakyat Malaysia mampu merasai pengalaman sesejuk itu.

Kita pernah mengalami pengalaman sejuk mencecah 22°C di beberapa bahagian Lembah Klang pada bulan Disember 2019, akibat musim monsun yang membawa bersama angin sejuk dari kawasan Siberia-Mongolia menyamankan kita semua.

Musim monsun ini biasanya bermula pada penghujung tahun sehinggalah bulan Februari tahun berikutnya.

Jika anda berkeinginan untuk merasai kawasan di Malaysia yang paling hampir menyamai pengalaman suhu seolah di London, anda perlu ke Mulu, Sarawak.

Dalam tahun 2019, Mulu mencatatkan suhu terendah direkodkan (PDF) iaitu 17.6°C pada 17 September 2019.

Bagaimanapun harus kami ingatkan - Mulu juga mencatatkan jumlah hujan tahunan tertinggi berbanding kesemua daerah di Malaysia.

Anda nak sejuk di Mulu? Anda juga perlu bersedia untuk basah.



Hakcipta iluminasi.com (2017)