Wiji Widodo berdepan dengan realiti hidupnya bergelut dengan kemiskinan dan keganasan setiap hari.

Dia yang lebih dikenali dengan nama penanya 'Wiji Thukul' dijulang sebagai suara kepada masyarakat bawahan Indonesia, menuntut perubahan kepada sistem yang lebih saksama dan adil dalam pemerintahan Orde Baru Presiden Suharto. Terkenal dengan slogan-slogan anti pemerintah yang bersifat garang serta kasar, nama Wiji dijulang gerakan masyarakat sehinggakan bait-bait ayat yang dikarangnya masih lagi popular dan dianggap relevan, sehingga kini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi agak menghairankan sekali apabila usaha membongkar misteri kehilangan beliau selepas hilang sekian lama, dilihat berlangsung dengan acuh tak acuh - walaupun sumbangan Wiji pada kebangkitan masyarakat Indonesia menggulingkan Presiden Suharto melalui sajaknya, diakui sangat besar.

Penyair kelas bawahan

wiji thukul pejuang yang hilang2

Wiji Thukul membesar di kalangan masyarakat kelas bawahan, menjadikan dia faham  apa yang dilalui golongan ini. Dia dan rakan-rakannya adalah mereka yang layak dikatakan tergolongan dalam kelompok 'miskin bandar' - hidup dalam keadaan kesempitan dan hanya mempunyai pekerjaan sebagai bergaji rendah seperti pekerja kilang, penjaja ataupun pengumpul sampah.

Anak kepada seorang penarik beca, Wiji tidak mempunyai pendidikan tinggi. Dia mengambil keputusan berhenti sekolah bagi mencari pekerjaan, membantu menampung perbelanjaan dan pendidikan adiknya semasa muda lagi. Pengaruh gerakan gereja menjadi pengisi masa lapangnya dan Wiji mula berjinak dengan pementasan teater yang dianjurkan komuniti masyarakat Kristian di situ.

Bermula dari situ Widji diperkenalkan dengan Cempe Lawu Warta, salah seorang anak murid penyajak terkenal Indonesia, W.S Rendra.

Lawu adalah orang yang bertanggungjawab mencipta nama pena untuk Wiji. Nama Wiji Widodo diubah, dengan nama 'Thukul' diletakkan menggantikan nama asalnya. Pabila digabungkan kedua-duanya, Wiji dan Thukul - ia membawa makna 'biji yang tumbuh', sesuai dengan sikapnya yang sangat berbakat dalam bidang seni.

Selepas berkahwin, Wiji menyara keluarganya dengan pendapatan seorang buruh kasar pada siang hari dan waktu malamnya, dia membantu isterinya Sipon menjahit bagi menyara keluarga. Hasil perkahwinan mereka, Wiji dan Sipon dianugerahkan dua orang anak. Kakaknya bernama Fitri Wani sementara adik lelakinya bernama Fajar Merah. Dengan purata pendapatan lebih kurang RM8 sehari, keempat-empat mereka meneruskan hidup di Solo, Jawa Tengah.

Menyertai politik bagi melawan pemerintah

wiji thukul mengadakan persembahan

Pada awalnya, seni penulisan Wiji tidak banyak berkait dengan politik.

Dia lebih gemar memasukkan elemen-elemen agama dan pedoman, untuk dijadikan peringatan pada pembacanya. Perkenalannya dengan Moelyono, penyajak dan aktivis yang menjadikan politik sebagai bahan tulisannya, memberikan perspektif baru pada diri Wiji. Wiji lama-kelamaan dilihat semakin berani mengkritik pemerintah, sehingga menimbulkan rasa kurang senang segelintir golongan dengan mesejnya yang agak radikal.

Gerakannya menubuhkan Jaringan Kesenian Rakyat (Jaker) bersama pelukis Samsar Siahaan menjadi titik tolak hidup Wiji sebagai seorang aktivis. Gerakannya itu mendapat sokongan ahli politik daripada Partai Rakyat Demokratik atau PRD, yang disifatkan kerajaan Indonesia sebagai gerakan kiri radikal yang tidak diiktiraf.

Tindakan Wiji dilihat semakin mengheret gerakan Jaker masuk ke dalam kancah politik, mendapat tentangan Samsar dan gurunya Moelyono. Pada awalnya mereka bertiga bersetuju Jaker seharusnya bebas daripada anasir politik, namun Wiji dilihat tetap dengan pendiriannya mahu menjadikan Jaker sebagai platform beliau menyuarakan ketidakpuashatian pada pemerintah Indonesia.

PRD pula pada ketika itu memerlukan ikon yang berpengaruh untuk meluaskan lagi gerakan aktivis mereka, dengan Wiji dilihat sebagai individu paling sesuai membawa panji itu. Gerakan aktivis Wiji mula menjadi lebih garang setelah Jaker menjadi antara sayap dalam gerakan PRD secara rasmi.

Membangkit semangat masyarakat kelas bawahan

wiji thukul indonesia

Wiji menjadi penggerak utama demonstrasi besar-besaran berkenaan isu yang berlaku di Kedung Ombo pada Disember 1995, melibatkan golongan pekerja kilang. Berarak di barisan hadapan sekali, pihak pasukan keselamatan terpaksa menggunakan kekerasan bagi menyuraikan keadaan.

Pada insiden inilah Wiji merasai pengalaman dibelasah sehingga menyebabkan dia kurang pendengaran dan matanya pula hampir buta, dihentak dengan senjata.

Walaupun begitu, Wiji tidak serik. Namun hidupnya mula berubah selepas namanya semakin terkenal di kalangan pihak berkuasa, sebagai seorang penyajak beraliran radikal yang tidak takut menghasut orang ramai khasnya golongan pekerja melakukan protes.

Tahun berikutnya, pada 27 Julai 1996, satu lagi rusuhan berlaku dan pihak berkuasa menyalahkan PRD sebagai dalangnya. Kali ini, mereka tidak lagi memberi peluang. Operasi besar-besar memburu individu yang didakwa sebagai perancang rusuhan serta demonstrasi dilancarkan. Wiji adalah salah seorang yang dikehendaki.

Operasi yang dilancarkan memang mampu membuatkan sesiapa saja gentar, kerana arahan Presiden Suharto sangat jelas - sesiapa saja yang ditangkap cuba menggulingkan kerajaan beliau akan dikenakan tindakan 3B - buang, bunuh atau bui (penjara) seumur hidup.

Ancaman itu memaksa Wiji melarikan diri melalui bantuan ahli-ahli dalam PRD. Pada Ogos 1996,Wiji dibawa keluar daripada rumahnya, meninggalkan Sipon dan dua anaknya, dengan harapan agar beliau dapat kembali ke rumahnya semula tidak lama selepas itu. Bagaimanapun, nasib keluarga mereka sudah berubah.

Hilang atau menghilangkan diri

wiji thukul indonesia23

Sipon meneruskan hidup menjaga dua anaknya sendirian, sambil menahan tekanan hidup dipulaukan jiran-jiran. Ini ekoran status suaminya sebagai orang buruan pemerintah. Banyak tulisan Wiji yang ditinggalkan terpaksa dibakar bagi mengelakkan rumahnya digeledah dan bahan itu ditemui.

Wiji memunculkan diri menemui keluarganya buat seketika pada Disember 1997 secara senyap-senyap, kemudian kembali menghilangkan diri. Semenjak itu, Wiji cuba berhubung dengan keluarganya menerusi pesanan melalui rakan-rakan. Dalam pelarian, Wiji masih sempat menulis sebuah sajak ringkas yang ditujukan untuk dua anaknya selepas mengetahui nasib mereka yang berhadapan pandangan serong masyarakat sekeliling. Sajak itu berbunyi;

Kalau teman-temanmu tanya, Kenapa bapakmu dicari-cari polisi, Jawab saja, Karana bapakku orang berani

Mesej terakhir dari Wiji hadir pada April 1998. Selepas itu, tidak ada langsung sebarang khabar berita sampai pada keluarganya yang menanti.

Tidak merasai reformasi Indonesia

gambar wiji thukul semasa ditemuramah

Wujud desas-desus mengatakan Wiji dilihat menyembunyikan diri di Jakarta, Kalimantan dan Jawa Timur namun kelibatnya tidak pernah pulang ke rumah. Menurut pemimpin PRD sendiri, besar kemungkinan Wiji telah pun menjadi korban dalam operasi-operasi yang dilancarkan pemerintahan Suharto, yang berusaha mati-matian mahu mendiamkan suara-suara bantahan.

Wiji Thukul dan ramai lagi aktivis seangkatannya hilang begitu saja, tidak sempat merasai zaman reformasi Indonesia yang berjaya menjatuhkan Presiden Suharto pada Mei 1998.

Kisah Wiji hidup dalam pelarian telahpun cuba digambarkan dalam filem 'Istirahat Kata-Kata' yang terbit pada tahun 2016. Filem itu dibuat bertujuan agar terbuka ruang untuk menyingkap semula apa yang berlaku semasa detik terakhir Orde Baru, dengan harapan agar pihak yang bersalah dapat dibawa ke mula pengadilan.

Bagi ahli keluarga Wiji, mereka masih setia menunggu kepulangan ketua keluarga mereka. Selagi badannya yang tidak bernyawa tidak diletak di depan mereka, mereka berpegang ada harapan yang Wiji masih bernafas, walau di mana saja dia berada.




Hakcipta iluminasi.com (2017)