presiden indonesia rasmikan kapal terbang

Bercakap berkenaan industri berat, negara kita cukup berbangga dengan dua jenama kenderaan tempatan kita. Selain itu, Thailand juga terkenal di seluruh dunia dalam industri automotif sehingga digelarkan 'Detroit Asia.'

Industri berat merupakan antara cabang industri penting yang diperlukan setiap negara dalam memacu pertumbuhan eknonomi negara tersebut dan jiran kita yang satu lagi, Indonesia sebenarnya tak kurang hebatnya.

kapal terbang indonesia

Mereka juga terkenal sebagai antara negara pengeluar kereta yang terpenting bagi pasaran Asia Tenggara dan Asia. Selain daripada itu, Indonesia juga mempunyai satu lagi industri yang hampir separuh abad lamanya bertapak di sana - iaitu industri pembuatan kapal terbang.

Ya, Indonesia ada industri pembuatana kapal terbang sendiri kalau anda belum tahu lagi. Ini sejarahnya.

Permulaan pembukaan industri

nurtanio pringgoadisuryo 2003 indonesia setem

Sejak sebelum merdeka, negara Indonesia sebenarnya sudah mempunyai beberapa pengusaha membina kapal terbang secara kecil-kecilan. Melihat potensi yang ada selepas merdeka, usaha untuk membantu industri ini diwujudkan dengan pengenalan Biro Rencana dan Konstruksi yang bertindak di bawah seliaan tentera udara Indonesia.

Salah seorang individu paling penting yang bertanggungjawab memulakan gerakan industri ini adalah Nurtanio Pringgoadisurjo. Nurtanio seorang jurutera penerbangan yang mendedikasikan seluruh hidupnya untuk membangunkan dan memperkembangkan industri yang diminati beliau sejak kecil.

Bersama seorang lagi rakannya Wiweko Soepono, Nurtanio dan Wiweko membuka sebuah bengkel perusahaan di Magetan, Madiun dengan bantuan kerajaan. Mereka berjaya melancarkan pesawat pertama mereka; model NWG-1 dengan menggunakan teknologi yang dipinjamkan negara luar pada tahun 1946. Nama itu dipilih sempena gabungan nama Nurtanio dan Wiweko.

wiweko soepono nurtanio

Perang yang meletus merencatkan usaha mereka selama beberapa tahun, sebelum usaha baru melibatkan Nurtanio beserta 15 orang lagi jurutera digabungkan untuk membangunkan pesawat bagi kegunaan Tentera Udara Indonesia.

Pasukan inilah yang bertanggungjawab membangunkan beberapa model pesawat ringan seperti model Belalang 89, Belalang 90, Kunang 25 dan pesawat ikonik Sikumbang.

Berkembangnya industri pesawat Indonesia

nurtanio pringgoadisuryo ikon kejuruteraan indonesia

Bermula tahun 1960, kemampuan pasukan jurutera yang diketuai Nurtanio mula diterima baik. Lembaga Persiapan Industri Penerbangan (LAPIP) ditubuhkan bagi membantu mempercepatkan lagi sebarang urusan pemindahan teknologi dan juga urusan kontrak, membantu Nurtanio dan pasukannya fokus pada kemahiran mereka - membina kapal terbang.

Usahasama dengan kerajaan Poland membolehkan LAPIP memasang semula model pesawat model PZL-104 Wilga untuk kegunaan pasaran tempatan, yang dinamakan sebagai Gelatik. 44 model berjaya disiapkan dan diedarkan bagi kegunaan pertanian, pengangkutan dan juga bagi memenuhi keperluan hobi sesetengah individu berkemampuan.

universitas nurtanio

Untuk memenuhi permintaan pekerja, kursus-kursus aeronautik mula diperkenalkan dengan kursus pertama di Indonesia diperkenalkan di fakulti kejuruteraan Institut Teknologi Bandung, membolehkan lebih ramai jurutera penerbangan tempatan dapat dilatih. Bagaimanapun, negara Indonesia kehilangan pengaruh dan sentuhan pengasas industri pesawat mereka pada tahun 1966, apabila Nurtanio meninggal dunia dalam satu kemalangan, apabila pesawat Aero 45 yang dipandunya terhempas

Nurtanio yang sejak kecil memiliki impian mahu mengelilingi dunia dengan pesawat ciptaannya sendiri, terkorban semasa sedang berlatih dalam pesawat yang dipercayai mahu digunakannya bagi memenuhi impiannya itu.

Pelancaran Industri Pesawat Terbang Nurtanio

iptn indonesia bina kapal terbang

Atas arahan kerajaan Indonesia, pada 26 April 1976 Dr. Bacharuddin Jusuf Habibi atau lebih dikenali dengan nama BJ Habibie (bekas presiden ketiga Indonesia) melancarkan Industri Pesawat Terbang Nurtanio -  dinamakan sempena meraikan sumbangan Nurtanio yang sangat besar dalam industri tersebut.

BJ Habibie yang juga seorang jurutera penerbangan - bertindak sebagai Presiden dan CEO, dengan majlis perasmiannya disempurnakan oleh Presiden Suharto pada 23 Ogos 1976. Penubuhan IPTN menggabungkan secara rasmi dua badan kejuruteraan berat Indonesia di bawah satu bumbung, iaitu Lembaga Industri Penerbangan Nurtanio dan juga Divisyen Teknologi Pertamina.

Ini merupakan langkah terawal yang menjadi batu asas kepada industri pesawat di Indonesia sehingga sekarang. 10 tahun berikutnya, nama Industri Pesawat Terbang Nurtanio ditukarkan kepada Industri Pesawat Terbang Nusantara (IPTN) berikutan campur tangan politik serta beberapa dakwaan lain yang pada akhirnya, gagal dibuktikan.

pesawat n250 indonesia

Salah sebuah projek terbesar IPTN melibatkan pembinaan sebuah pesawat terbang berkapasiti 50 ke 70 orang yang dinamakan dengan nama model N250 pada tahun 1995. Bagaimanapun, kejatuhan ekonomi yang menyerang majoriti negara Asia Tenggara menyebabkan ekonomi Indonesia tidak stabil. Industri pesawat mereka juga mula goyah. IPTN terpaksa melakukan rombakan besar-besaran.

Bagi membantu tahap kewangan, kerajaan Indonesia terpaksa melepaskan lebih 2/3 jumlah tenaga kerjanya dan melakukan penstrukturan semula. IPTN dijenamakan semula dengan nama Dirgantara Indonesia atau DI, dirasmikan kembali oleh Presiden Indonesia ketika itu, Abdurrahman Wahid pada 24 Ogos 2000.

Dirgantara mula bekerjasama dengan syarikat gergasi Airbus, melakukan pemasangan helikopter untuk syarikat tersebut yang akan dipasarkan ke seluruh dunia.

Kembalinya Nurtanio

pandu uji n 219 kapal terbang

Berikutan kegagalan untuk kembali bangkit seperti sebelum zaman kegawatan, pelbagai langkah dilakukan bagi membantu mengembalikan legasi panjang industri pesawat di Indonesia. Kerajaan Indonesia menyumbang lebih RM1 billion dalam memastikan Dirgantara dapat terus beroperasi sambil Dirgantara meneruskan projek jangka panjang mereka yang dikenali dengan nama N-219.

Projek N-219 dimulakan sejak tahun 2006 dengan cadangan kerjasama bersama pihak dari Malaysia, sebelum diubah menjadi satu usahasama dengan pihak dari Qatar membolehkan projek tersebut dimulakan. Penyelidikan yang dilakukan mengambil masa bertahun-tahun dan N-219 secara rasmi mula dibina pada tahun 2014, dengan penghantaran pertama akan dibuat pada tahun 2017.

Beberapa sesi ujian dilakukan bagi menjamin kualiti pesawat tersebut selepas beberapa buah pesawat itu selesai dibina. Akhirnya, pada 16 Ogos 2017 pesawat tersebut mendapat kelulusan penuh, genap sehari sebelum ulang tahun kemerdekaan Indonesia yang ke 72. Pesawat N-219 yang mempunyai kapasiti 19 penumpang mempunyai kebolehan untuk mendarat dalam jarak yang pendek, memudahkan akses kepada kawasan yang terletak agak terpencil, seperti kawasan pedalaman dan kepulauan.

Dijual pada harga RM24 juta setiap unit, N-219 mampu mencapai kelajuan 350km/j serta direka bagi memenuhi pelbagai kegunaan.

joko widodo rasmi nurtanio

Pada 10 November 2017, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan model N-219 yang dibangunkan sepenuhnya menggunakan tenaga tempatan akan dinamakan dengan nama individu yang paling banyak berjasa dalam industri penerabangan Indonesia - iaitu Nurtanio.

Secara rasminya N-219 dijenamakan semula sebagai 'N-219 Nurtanio' bagi mengingati tokoh, yang memulakan industri ini lebih 60 tahun dahulu.



Hakcipta iluminasi.com (2017)