Oleh pada 30 Jun 2021 kategori

karakalpakstan

Kejatuhan Kesatuan Soviet pada penghujung tahun 1991 menyebabkan munculnya republik Asia Tengah seperti Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan.

Negara-negara ini adalah Republik Sosialis Soviet (SSR) yang ditubuhkan sebagai wilayah untuk kewarganegaraan nominal yang tertera pada nama masing-masing.

Kepelbagaian populasi berbeza-beza di antara mereka, namun kesemua republik ini masing-masing memiliki etnik minoriti.

Secara umum, golongan minoriti ini dapat dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu mereka yang mempunyai negara nominal di tempat lain (seperti orang Rusia, Ukraine, Azerbaijanis dan Armenia) dan mereka yang tidak mempunyai negara di mana mereka mewakili majoriti (seperti Uyghur dan Dungan).

orang karakalpak

Namun ada pengecualian untuk hal ini, iaitu etnik Karakalpak dan republik mereka sendiri iaitu Karakalpakstan.

Karakalpakstan atau secara rasminya Republik Karakalpakstan, terletak di bahagian barat Uzbekistan, bersempadan dengan Kazakhstan di utara dan barat, manakala Turkmenistan di Selatan.

Nukus adalah bandar keenam terbesar di Uzbekistan dan ibu negara Republik Karakalpakstan.

Walaupun ramai di antara kita yang tidak pernah mendengar nama negara ini dan hanya sekitar 5% daripada jumlah penduduk Uzbekistan yang tinggal di sana, ia sebenarnya merangkumi hampir separuh kawasan Uzbekistan.

Dan tak kiralah dari sudut mana anda masuk ke republik ini, ia tersangat terpencil dan sepi.

peta karakalpakstan

Karakalpak adalah minoriti Asia Tengah, yang wujud di wilayah ini sebelum penaklukan Rusia, dengan perwakilan dan otonomi politik yang paling besar.

Mereka adalah kumpulan etnik Turki yang akhirnya menetap di sekitar selatan Laut Aral pada abad ke-18.

Ini terjadi pada ketika identiti nasional masih belum berkembang dan masih asing di wilayah ini.

Secara linguistik, mereka lebih hampir dengan Kazakhstan daripada Uzbekistan.

Ini kerana bahasa Karakalpak tergolong dalam cabang Kipchak dari keluarga Turki, seperti Kazakh, sementara Uzbek termasuk dalam cabang Karluk.

Jumlah populasi Karakalpaks tidak dapat dipastikan.

kanak kanak di karakalpaks

Di Uzbekistan, lokasi di mana terletaknya Republik Karakalpakstan, jumlahnya berkisar antara 708,800 hingga 1.2 juta orang.

Sementara di negara jiran Kazakhstan, destinasi bagi migran Karakalpak, angka rasmi dari pihak berkuasa Kazakh adalah seramai 2,800 orang namun anggaran menjadikan angka itu hampir 300,000 orang.

Dan walaupun mempunyai keluasan agak besar namun sebahagian besar Karakalpakstan adalah padang pasir, dikelilingi oleh Laut Aral yang kering di utara manakala padang pasir Karakum dan Kyzylkum di bahagian selatan dan timur.

Negara berdaulat hanya pada nama

bendera karakalpakstan

Berbeza dengan etnik minoriti lain, etnik Karakalpak memainkan peranan sebagai entiti politik.

Karakalpakstan seperti yang diketahui ketika ini muncul pada awal tahun Soviet ketika Karakalpak dianggap sebagai kewarganegaraan.

Oleh itu, Wilayah Autonomi Karakalpak ditubuhkan pada tahun 1925 dalam Republik Soviet Sosialis Autonomi Kazakhstan (ASSR).

Pada tahun 1932, Karakalpakstan dinaikkan pangkat menjadi ASSR dan pada tahun 1936 menjadi sebahagian daripada Republik Soviet Sosialis Uzbekistan (SSR).

10663cbb 658c 40b2 a553 f15e542e9d9c

Walaupun ASSR lain seperti Kyrgyz dan Tajik akhirnya berkembang menjadi SSR penuh, Karakalpakstan tetap berada di peringkat bawah dan akhirnya menjadi satu-satunya republik autonomi di Asia Tengah Soviet.

Kejatuhan Kesatuan Soviet yang mana menyebabkan berlakunya pemisahan bekas-bekas wilayahnya juga memberikan kemerdekaan kepada Karakalpakstan secara de jure (mengikut hak atau tuntutan yang sah) kerana pada tahun 1990 parlimennya menerima pakai pengisytiharan kedaulatan negara.

republik karakalpakstan

Namun ini tidak kekal lama dan pada tahun 1993, republik ini secara rasmi disatukan semula dengan Uzbekistan.

Sebagai balasannya, pihak berkuasa Uzbekistan membenarkan referendum kemerdekaan 20 tahun kemudian.

Republik Karakalpakstan memiliki simbol nasional negara yang berdaulat.

Ini termasuklah bendera yang hampir serupa dengan Uzbekistan, lambang negara dan juga lagu kebangsaan.

Dari segi pentadbiran politik, kota Nukus adalah ibu kotanya yang mengambil alih peranan tersebut dari Turtkul sejak tahun 1930-an.

Seperti negara lain, rang undang-undang Karakalpakstan diatur oleh sebuah perlembagaan dengan kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Laut tarikan yang kering kontang

laut aral karakalpakstan

Tarikan utama di kawasan Karakalpakstan adalah melihat Laut Aral yang pada hari ini kering kontang.

Pada tahun 60-an dan 70-an, Kesatuan Soviet mempunyai sistem pengairan yang luas di seluruh Uzbekistan, Turkmenistan dan Kazakhstan.

Mereka mengepam air dari sungai Amu Darya (sumber anak sungai utama Laut Aral) ke ladang membuatkan tanaman tumbuh dengan subur dan konsisten.

laut aral yang menjadi kering akibat rusia

Malangnya, ia adalah satu rancangan tanpa berfikiran jauh dan tidak mengambil kira kekurangan air yang mengalir ke Laut Aral.

Akibatnya, projek itu bukan sahaja membuatkan Laut Aral semakin surut, tetapi juga iklim di seluruhnya berubah sepenuhnya bertukar menjadi padang pasir.

laut aral kering

Dalam banyak pandangan, mengunjungi Laut Aral yang musnah ini termasuk dalam kategori "pelancongan gelap".

Namun tiada tempat lebih baik untuk membuatkan kita sedar kesan manusia terhadap Bumi.

Malah, ia membuatkan pelancong memahami apa yang sebenarnya dilalui oleh penduduk tempatan di Moynak, Nukus dan bandar-bandar Karakalpakstan yang lain dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini.

Rujukan:

1. Britannica

2. YPT

3. Foreign Policy Centre



Hakcipta iluminasi.com (2017)