Semasa zaman pemerintahan Kesatuan Soviet, banyak negara komunis yang boleh ditemui di sekitar Eropah Timur, Asia dan Afrika. Beberapa buah negara ini, China misalnya, masih merupakan pengamal komunisme tegar sehingga ke hari ini. Negara lain seperti Jerman Timur pula wujud sebagai 'satelit' U.S.S.R yang memainkan peranan penting semasa Perang Dingin, namun kini negara ini tidak lagi wujud.
Komunisme adalah sejenis fahaman dalam sistem politik dan juga ekonomi. Parti-parti komunis sering mempunyai kuasa mutlak atas pentadbiran kerajaan manakala pilihan raya pula sering ditunggangi oleh parti-parti aliran ini sahaja. Selain itu, parti komunis akan mengawal sistem ekonomi dan mengharamkan pemilikan harta secara persendirian. Namun, terdapat beberapa aspek komunisme ini sudah berubah di beberapa negara seperti di China.
BESARKAN TEKS A- A+
Prinsip asas komunisme dimulakan pada pertengahan 1800-an oleh Karl Marx dan Friedrich Engels iaitu dua orang ahli falsafah politik dan ekonomi dari Jerman. Namun, sebuah negara komunis hanya muncul ketika Revolusi Rusia pada tahun 1917 iaitu dengan kelahiran Kesatuan Soviet. Menjelang pertengahan abad ke-20, komunisme telah menggantikan demokrasi sebagai ideologi politik dan ekonomi yang dominan. Walau bagaimanapun, tahukah anda, hanya terdapat 5 buah sahaja negara komunis yang masih bertapak di dunia hari ini?
1. China
Mao Zedong mula menguasai China sejak tahun 1949 dan mengisytiharkan negara itu sebagai Republik Rakyat China iaitu sebuah negara komunis. China tetap konsisten dengan fahaman komunis walaupun pembaharuan ekonomi telah dibuat selama beberapa tahun. Walaupun digelar "China Merah" kerana kawalan Parti Komunis ke atas wilayah tersebut, masih terdapat parti politik selain daripada Parti Komunis China (CPC) dan pilihan raya terbuka masih diadakan di seluruh negara.
Namun demikian, CPC mempunyai kawalan mutlak ke atas semua pelantikan ahli politik dan tidak ramai pihak yang membangkang. Memandangkan China telah mengamalkan dasar pintu terbuka dalam beberapa dekad kebelakangan ini, jurang perbezaan kekayaan yang terhasil telah menghancurkan beberapa prinsip komunisme. Pada 2004 pula, perlembagaan negara itu telah diubah untuk mula mengiktiraf harta persendirian.
2. Cuba
Satu revolusi yang dipimpin oleh Fidel Castro pada tahun 1959 telah berlaku yang menyebabkan penggulingan kerajaan Cuba. Bermula 1961, Cuba menjadi negara komunis dan mempunyai hubungan erat bersama Kesatuan Soviet. Pada masa yang sama, kerajaan Amerika Syarikat telah mengisytiharkan pengharaman segala bentuk perdangangan dengan Cuba.
Apabila pemerintahan Soviet tumbang pada tahun 1991, Cuba terpaksa mencari sumber perdagangan baru dan subsidi kewangan dengan negara lain seperti China, Bolivia dan Venezuela.
Pada tahun 2008, Fidel Castro melepaskan jawatan presiden yang kemudian diambil alih oleh adiknya, Raul Castro. Fidel meninggal dunia pada tahun 2016.
Semasa pentadbiran Barack Obama, hubungan antara Amerika dan Cuba agak tenang dan sekatan perjalanan dilonggarkan semasa penggal kedua Obama. Namun, pada bulan Jun 2017, Donald Trump telah mengetatkan semua sekatan perjalanan ke atas Cuba.
3. Laos
Laos mula menjadi negara komunis pada 1975 lanjutan satu revolusi yang disokong padu oleh Vietnam dan Kesatuan Soviet. Kerajaan monarki itu ditadbir oleh pasukan tentera bertunjangkan ideologi Marxisme.
Pada tahun 1988, negara itu mula membenarkan beberapa jenis pemilikan persendirian dan telah menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia pada 2013.
4. Korea Utara
Korea yang dijajah Jepun semasa Perang Dunia Kedua telah dibahagikan kepada dua wilayah selepas tamatnya perang. Korea Utara dikuasai oleh pihak Rusia manakala bahagian Selatan diduduki oleh Amerika. Ketika itu, tiada siapa menyangka perpisahan itu akan berterusan dan kekal lama.
Korea Utara mula menjadi negara komunis pada tahun 1948 setelah Korea Selatan mengisytiharkan kemerdekaannya dari Utara dan mendapat kedaulatan sendiri. Pemimpin komunis Korea Utara, Kim Il-Sung telah diangkat menjadi pemimpin negara baru itu dan disokong oleh Rusia.
Apa yang melucukan, kerajaan negara itu tidak pernah menganggap pemerintahannya sebagai beraliran komunisme walaupun seluruh dunia beranggapan demikian. Sebaliknya, keluarga Kim telah mengetengahkan jenama komunisme tersendiri berdasarkan konsep juche (bergantung pada diri sendiri).
Pertama kali diperkenalkan pada pertengahan 50-an, juche menggunakan manifesto nasionalisme Korea di bawah kepimpinan keluarga Kim. Juche diserap menjadi dasar negara yang rasmi pada tahun 1970-an dan diteruskan di bawah pemerintahan Kim Jong-il pula yang menggantikan ayahnya pada tahun 1994. Seterusnya, Kim Jong-un pula yang mengambil alih kuasa bermula tahun 2011 sehingga kini.
Pada tahun 2009, perlembagaan negara tersebut telah digubal semula dan menghapuskan semua ideologi Marxisme dan Leninisme yang menjadi asas kepada komunisme. Setiap perkataan komunis/komunisme juga dibuang.
5. Vietnam
Vietnam dibahagikan kepada dua bahagian dalam satu persidangan pada tahun 1954 berikutan tamatnya Perang Indochina Pertama. Walaupun pembahagian itu dibuat untuk sementara, Vietnam Utara telah menjadi komunis dan disokong oleh Soviet manakala Vietnam Selatan pula beraliran demokratik dan dibelakangi Amerika Syarikat.
Selepas dua dekad peperangan, kedua-dua wilayah Vietnam ini bersatu kembali pada tahun 1976 dan menjadi sebuah negara komunis. Seperti negara-negara komunis yang lain, Vietnam juga telah mula membuka pintu dan menuju ke arah pasaran ekonomi dunia hingga memperlihatkan beberapa prinsip sosialis di sana digantikan dengan kapitalisme. Di bawah pentadbiran Bill Clinton, hubungan Amerika Syarikat dengan Vietnam mulai normal sejak tahun 1995.