Oleh pada 09 Feb 2018 kategori

Sumber foto: BH Online

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mendedahkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan kadar levi kenderaan komersial dan tol di Lebuh Raya Linkedua (Linkedua) berkuatkuasa 13 Februari ini.

Langkah ini diambil bagi menggalakkan kenderaan menggunakan laluan itu berbanding Tambak Johor dan diramal mampu mengurangkan kesesakan di kawasan terbabit.

Menurut Perdana Menteri, pengurangan itu melibatkan levi kepada kenderaan komersial di Linkedua sebanyak RM50 bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia berbanding pada kadar di antara RM100 hingga RM200 yang dikenakan pada waktu sekarang.

“Langkah pengurangan kadar levi dan tol ini dijangka dapat mengurangkan kenderaan komersial di Tambak Johor sebanyak 40 peratus,” ujarnya dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Selain itu, caj tol di luar waktu puncak bagi Linkedua iaitu antara pukul 10 pagi hingga 3 petang dan pukul 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal turut dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan.

Kadar baru setelah pengurangan itu adalah kenderaan persendirian daripada RM7.50 kepada RM4.00, teksi daripada RM5.70 kepada RM3.00, Bas daripada RM9.10 kepada RM4.50 manakala kenderaan komersial bagi kedua-dua kelas 2 dan 3 dikurangkan daripada RM17.10 dan RM34.30 kepada RM4.50 dan RM6.10, sama seperti kadar di Tambak Johor.

Usaha lain yang sedang dibuat oleh kerajaan merupakan pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura.

Perkhidmatan ini diramal mampu beroperasi pada tahun 2024 dan membawa 10,000 penumpang dari satu arah dalam masa satu jam. RTS diramal mengurangkan tempoh perjalanan antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding lebih sejam pada waktu sekarang.

Dalam pada itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut bakal menambahkan kekerapan perkhidmatan ulangalik Shuttle Tebrau daripada 26 perjalanan kepada 31 perjalanan setiap hari dan membenarkan KTMB membawa 1,500 penumpang tambahan menyeberangi Tambak Johor yang pada waktu sekarang berjumlah 7,783 sehari.

Sumber berita: Kosmo Online & Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)