Gambar sekadar hiasan
Seramai 3 penumpang sebuah kereta model Perodua Kelisa dipercayai cedera parah selepas dilanggar dari belakang oleh seorang pemandu lelaki mabuk dalam nahas di Lebuh Raya Persekutuan, berdekatan Plaza Tol Batu Tiga menuju ke Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Menerusi insiden sekitar jam 3.50 pagi itu, mangsa, Nursuhada Ishak (26 tahun) yang memandu kenderaan itu, difahamkan cedera parah pada badan, manakala identiti 2 lagi mangsa yang dipercayai adalah kanak-kanak masih tidak dikenalpasti.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamarudin berkata, menurut maklumat yang diterima, insiden dikatakan terjadi sewaktu kereta model Perodua Kelisa dipandu Nursuhada yang turut dinaiki 2 lagi kanak-kanak itu sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Shah Alam.
Jelas beliau, sejurus sampai hampir 30 meter di plaza tol terbabit, kereta model Honda CRV yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk merempuh kereta mangsa dengan kuat.
"Impak rempuhan tersebut mengakibatkan kedua-dua kenderaan terpelanting dan terbalik dengan jarak 100 meter antara satu sama lain.
"Keadaan itu juga mengakibatkan Nursuhada terpelanting ke bahagian bonet belakang dan tersepit hampir setengah jam sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba," ujarnya sewaktu dihubungi, semalam.
Azmel Kamarudin menambah, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada pukul 4.06 pagi dan mengerahkan sejumlah 11 anggota termasuk pegawai yang sampai di tempat kejadian 6 minit selepas itu.
“Ketika di lokasi, dua mangsa terlibat telah dikeluarkan orang awam, sementara kita hanya mengeluarkan seorang lagi mangsa yang masih tersepit.
“Operasi menyelamat mengambil masa kira-kira setengah jam dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam bagi menerima rawatan. Akibat daripada pelanggaran tersebut, kedua-dua kereta terlibat terbalik,” ujarnya, semalam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib sewaktu dihubungi mengesahkan nahas itu, namun setakat ini tidak mendapat laporan berhubung mabuk.
“Setakat ini tiada laporan yang diterima, namun sekiranya benar dakwaan ini kita akan menahannya dan mengambil tindakan undang-undang,” ujarnya.
Sumber berita: Kosmo Online & Utusan Online