bapa durjana rayu dikurangkan hukuman bersabit 623 jenayah seksual terhadap anak

Gambar sekadar hiasan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 23 April depan untuk mendengar rayuan seorang bekas ejen unit amanah yang dihukum penjara 48 tahun dan 24 sebatan, kerana melakukan 623 kesalahan jenayah seksual ke atas anak perempuan kandungnya yang berusia 15 tahun.

Penolong Kanan Pendaftar, Nur Ain Mustapa menetapkan tarikh tersebut semasa kes disebut di hadapannya semalam, dengan dihadiri lelaki berusia 37 tahun itu selaku perayu, dan pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin.

Aimi Syazwani sewaktu ditemui pemberita memberitahu, mahkamah memerintahkan perayu melantik peguam bagi mewakilinya dan menyuruhnya mendapat pertolongan pihak penjara untuk melantik peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

“Mahkamah memberitahu perayu sekiranya dia gagal melantik peguam pada tarikh perbicaraan rayuan, dia perlu mewakili kesnya sendiri,” ujarnya.

Tambah Aimi Syazwani, perayu menfailkan rayuannya bagi mengurangkan hukuman penjara itu pada Oktober tahun lepas, iaitu sebulan setelah dijatuhkan hukuman.

Pada 8 September tahun lepas, Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak Putrajaya, Yong Zarida Sazali memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara sejak tarikh tangkap pada 26 Julai 2017.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat selama 240 jam menerusi jangka masa 6 bulan, melalui kaunseling pemulihan selama 10 tahun dan mengikuti pengawasan polis selama 3 tahun setelah dibebaskan dari penjara.

Menurut pertuduhan, bapa kepada 3 anak perempuan itu didakwa atas satu pertuduhan memperkosa, satu pertuduhan penganiayaan seks, 30 tuduhan sentuhan seksual secara fizikal dan 591 tuduhan liwat. 

Sumber berita:

1.    Bernama

2.    Kosmo Online

3.    Utusan Online


tags : , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)