Oleh pada 24 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Twitter / rojakdaily.com (Gambar sekadar hiasan)

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang meneliti semula tatacara pengoperasian koc wanita yang mula diperkenal pada April 2010 dalam perkhidmatan KTM-Komuter untuk menjamin dan memastikan penggunaan kemudahan itu hanya dikhususkan buat kaum wanita sahaja.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, tindakan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu antara inisiatif yang dilakukan bagi mendidik dan memberi kefahaman terhadap orang ramai tentang etika penggunaan koc berkenaan.

Mohd Rani memberitahu, usaha menangani isu pencerobohan koc wanita menerusi Operasi Penguatkuasaan dan Kempen Kesedaran Koc Wanita juga telah dimulakan sejak Khamis lepas membabitkan polis bantuan KTMB dengan kerjasama SPAD.

"Selain daripada usaha pemerkasaan Koc Wanita yang sentiasa dijalankan oleh KTMB, saya menyeru orang ramai agar dapat membantu dan menyokong KTMB dengan memperingati antara satu sama lain tentang kepentingan dan sensitiviti kos khas ini untuk keselesaan bersama," ujarnya menerusi sebuah kenyataan semalam.

Terkini, sebuah kes pencerobohan koc wanita perkhidmatan KTM komuter oleh segolongan pengguna lelaki menjadi tular, apabila mereka sanggup mencaci dengan kata-kata kesat kepada seorang wanita yang menegur perbuatan mereka itu.

ktmb spad teliti tatacara operasi koc wanita 1 806

Sumber foto: Twitter / rojakdaily.com (Gambar sekadar hiasan)

 

Tambah beliau, para pegawai dan Polis Bantuan KTMB juga telah melakukan pengawasan secara berkala dalam tren dan di stesen-stesen.

Di samping itu, platform penumpang telah diwujudkan ruang menunggu khas dengan kerusi berpelekat ikon wanita di Stesen KL Sentral pada ketika ini dan bakal muncul di stesen-stesen utama yang lain, ruang beratur berpelekat ikon wanita dan papan tanda ruang menunggu khusus buat golongan wanita. 

“Dua koc berkenaan bukan sahaja dihias dengan warna merah jambu tetapi turut dilekatkan notis ‘wanita sahaja’. Begitu juga dengan platform tempat penumpang menunggu yang ditanda dengan pelekat warna merah jambu.

“Pengumuman secara berkala di dalam gerabak dan stesen KTMB juga dilakukan, begitu juga dengan hebahan melalui surat khabar, majalah, media sosial, televisyen dan radio,’’ ujarnya.

Sumber berita:

1.    Bernama

2.    Kosmo Online

3.    Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)