Oleh pada 02 Feb 2018 kategori

Sumber foto: klia2.info

Perkhidmatan KTM Komuter bakal beroperasi mengikut jadual waktu baru bermula esok selari dengan respon pengguna dan teguran Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) tentang jadual waktu sedia ada yang dipakai sejak 22 Disember lalu.

Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter, Khair Johari Ishak memberitahu, pertukaran jadual waktu tersebut bertujuan menambahbaik perkhidmatan berikutan penutupan satu landasan antara Stesen KL Sentral -Stesen Putra dan Stesen Kuang - Stesen Sungai Buloh.

Ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja Projek Menaik Taraf Infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang berkemungkinan tamat pada November tahun depan.

"KTM Berhad (KTMB) komited dan prihatin untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna KTM Komuter walaupun kami berhadapan dengan cabaran untuk memastikan kerja-kerja projek dijalankan mengikut perancangan dan pada masa yang sama perlu memenuhi keperluan pengguna," ujarnya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Jadual waktu laluan bagi Pelabuhan Klang - Tanjung Malim - Pelabuhan Klang bakal menjalani pertukaran susulan kekerapan tren terbaru iaitu setiap 30 minit sepanjang hari. Terdahulu, kekerapan tren ialah setiap 15 hingga 30 minit pada waktu puncak dan 60 minit di luar waktu puncak.

Terdapat pertukaran bagi jadual waktu bagi laluan Pulau Sebang - Batu Caves - Pulau Sebang susulan pertukaran corak operasi tren. Perkhidmatan terus dari Pulau Sebang ke Batu Caves dan sebaliknya tidak disediakan berkuat kuasa esok.

Perkhidmatan tren dari Pulau Sebang bakal berakhir di Stesen KL Sentral dan berpatah balik ke laluan Pulau Sebang dengan kekerapan tren setiap 20 minit (waktu puncak) dan 30 hingga 90 minit (waktu luar puncak).

Perkhidmatan tren dari Batu Caves bakal berakhir di Stesen Sentul dan berpatah balik ke laluan Batu Caves dengan kekerapan tren setiap 20 minit (waktu puncak) dan 40 minit (waktu luar puncak).

Bas perantara dengan kekerapan 20 hingga 30 minit diwujudkan kepada penumpang yang mahu meneruskan perjalanan ke laluan Pulau Sebang atau Batu Caves bagi membenarkan penumpang dari Stesen KL Sentral ke Stesen Sentul atau dari Stesen Sentul ke Stesen KL Sentral atau LRT Sentul meneruskan perjalanan menaiki tren bagi menuju ke destinasi masing-masing.

Susulan pertukaran ini juga, perkhidmatan tren secara terus ke laluan Pulau Sebang atau Batu Caves tidak disediakan untuk penumpang yang menaiki komuter dari stesen Kuala Lumpur, Bank Negara dan Putra.

Pengguna disyorkan menaiki tren dari laluan Tanjung Malim untuk ke Stesen KL Sentral atau perkhidmatan tren Rapid KL (Laluan Sri Petaling) sebagai alternatif bagi menuju ke destinasi masing-masing.

"KTMB amat menghargai dan mengharapkan pemahaman serta sokongan pengguna setia perkhidmatan KTM Komuter dalam tempoh pelaksanaan projek KVDT berikutan kesulitan yang terpaksa ditempoh pada masa kini untuk kemudahan masa depan," jelasnya.

Untuk mendapatkan maklumat lengkap, para pengguna boleh merujuk atau memuat turun jadual waktu baru itu menerusi laman rasmi KTMB di www.ktmb.com.my, menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau melayari Twitter @ktm_berhad.

Sumber berita: Bernama & Kosmo Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)