Oleh pada 25 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Sinar Harian

Kerajaan bakal meng­agihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM6.3 bilion kepada sekitar 7.2 juta isi rumah dan individu bujang yang berkelayakan secara berperingkat mulai esok.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah memberitahu, pembayaran itu akan dilakukan secara 3 kali ansuran dengan peruntukan kira-kira RM6.3 bilion.

Pada waktu yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan pelancaran fasa pertama pengagihan BR1M di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di Pekan semalam.

“Pengagihan BR1M akan diteruskan seperti sebelum ini iaitu mereka yang layak akan menerima bantuan dalam tiga peringkat. Makna­nya, jika mereka layak menerima RM1,200, kita agihkan RM400 dahulu dan bakinya akan dimasukkan ke akaun mereka untuk fasa kedua dan ketiga.

“Para penerima BR1M boleh memeriksa bayaran yang dibuat oleh kerajaan melalui akaun bank mereka mulai esok.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan BR1M di Pekan, dekat sini esok. Sehari selepas itu, para penerima boleh memeriksa bayaran yang dibuat menerusi akaun mereka,” ujarnya ketika sidang media setelah tamatnya majlis perasmian BAHTERA Edisi Timur 2018 iaitu sebuah program latihan bagi usahawan bumiputera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di Kuantan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, bertindak menyempurnakan majlis berkenaan.

Selain itu, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Aminuddin Hassim juga datang menyerikan lagi acara itu.

Menerusi pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri mendedahkan sekitar 7 juta individu bakal terus memperoleh pemberian kerajaan itu dengan kadar maksimum sehingga RM1,200 pada tahun ini.

Sumber berita:

1.    Bernama

2.    Kosmo Online

3.    Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)