Oleh pada 02 Mar 2018 kategori

Sumber foto: kualalumpurpost.net

Bermula kelmarin, perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan yang beroperasi pada setiap hujung minggu bagi laluan Sungai Buloh-Ipoh-Sungai Buloh ditamatkan daripada jadual operasi.

Menerusi sebuah kenyataan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendedahkan pembatalan perkhidmatan tambahan itu adalah bagi memberi laluan terhadap kerja projek naik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT).

Semasa kerja naik taraf dilakukan, cuma sebuah platform sahaja dapat digunakan di Stesen Sungai Buloh.

KTMB memberitahu, usaha itu mampu mengurangkan gangguan operasi tren ke paras yang minimum demi melancarkan perjalanan para penumpang ke destinasi yang ingin dituju.

"Orang ramai masih boleh membuat perjalanan menggunakan perkhidmatan ETS untuk laluan dari KL Sentral ke Ipoh dan sebaliknya di mana terdapat 14 perkhidmatan yang ditawarkan setiap hari," ujar kenyataan itu.

Sebarang persoalan berhubung jadual waktu perjalanan perkhidmatan tren ETS, sila layari laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.

Sumber berita:

1.    Bernama

2.    Kosmo Online

3.    NX Digital




Hakcipta iluminasi.com (2017)