Oleh pada 20 Jan 2018 kategori

Sumber foto: NSTP/Asyraf Hamzah

Perlaksanaan inisiatif Kad Korporat MyDebit bakal dibuat dalam masa terdekat bagi mengecilkan jumlah penggunaan cek dan wang tunai seiring dengan perubahan kepada kaedah pembayaran secara elektronik (e-pembayaran).

Menurut Tan Sri Muhammad Ibrahim selaku Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), usaha itu bakal dilakukan dengan usahasama Payment Networks Malaysia Sdn Bhd atau PayNet dan insitusi perbankan tempatan.

“Kad ini membolehkan institusi korporat atau usahawan membuat pembayaran kepada agensi kerajaan sama ada di kaunter agensi kerajaan berkenaan atau di cawangan bank terpilih tanpa menggunakan cek atau wang tunai,” ujarnya.

Beliau memberitahu sejak Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 dilaksanakan, penggunaan cek telah merosot sebanyak 42 peratus, iaitu 120 juta cek pada tahun lepas  berbanding 205 juta cek sebelumnya.

“Bagaimanapun, penggunaan cek oleh golongan usahawan dalam urusan pembayaran kepada agensi-agensi kerajaan masih tinggi, iaitu sebanyak 19 juta cek pada 2016,” ujarnya.

Muhammad juga menyambut baik pelaksanaan inisiatif e-pembayaran di sekolah-sekolah oleh kerajaan negeri Kedah ketika program Digital Langkawi 2017.

Tambahnya, inisiatif tersebut adalah tindakan yang bernas bagi merealisasikan impian “Cashless Society” menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Dalam pada itu, Muhammad juga menegaskan tentang betapa pentingnya pengendalian wang secara berdisiplin bagi memperoleh pertumbuhan ekonomi yang terus berkembang dan inklusif.

“Dalam hal ini, BNM berserta agensi kerajaan dan institusi kewangan telah merencana untuk mendekati rakyat dalam program rangkuman kewangan.

“Sebanyak 48 program rangkuman kewangan telah dilaksanakan di kawasan pedalaman negeri Kedah seperti Nami, Kupang, Jeniang dan Lubuk Merbau sejak 2012,” jelasnya.

Terdapat banyak prosedur baru telah dan akan diatur oleh pihak BNM di peringkat kebangsaan. Antaranya seperti kewujudan platform mengakses laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) secara dalam talian (eCCRIS).

Menurutnya, eCCRIS membenarkan pengguna untuk menyemak informasi pinjaman di mana-mana dan pada bila-bila masa menggunakan akses internet. Malah, ia turut menambah tahap keberkesanan, serta menyingkatkan proses pertimbangan pinjaman oleh kesemua 11 institusi perbankan tanah air.

Beliau ditemui semasa pelancaran Karnival Kewangan Kedah yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail hari ini.

Program anjuran BNM dan industri kewangan itu kini memasuki siri keempat. Karnival sulung mereka telah dianjurkan pada Januari tahun lepas di Kuala Lumpur. 

Sumber berita: Bernama & Malaysian Digest




Hakcipta iluminasi.com (2017)