Semenjak beberapa bulan ini, khasnya selepas penggunaan kad debit mula diperluaskan - saya dapati saya jarang menyimpan duit tunai dalam dompet. Kadangkala berdepan masalah juga apabila kita perlu membayar secara tunai. Malu juga bila nak bayar tak perasan tak cukup duit hanya kerana semakin jarang ke ATM mengeluarkan wang tunai.
Duduk di kawasan bandar lebih mudah untuk jadi warga tanpa tunai, seperti yang diharapkan akan berlaku. Dengan sasaran Malaysia akan menjadi negara 'cashless' menjelang tahun 2050, ini bermaksud kita ada lagi 31 tahun untuk menukar sistem wang yang kita guna pakai sekarang kepada sistem kad.
BESARKAN TEKS A- A+
Selain daripada penambahbaikan pada sistem kad debit baru berlaku besar-besaran pada tahun 2016, Bank Negara Malaysia baru saja mengumumkan bermula 1 Julai 2018, semua transaksi perbankan yang selama ini mengenakan caj 50 sen untuk transaksi segera akan dimansuhkan, bagi menggalakkan lebih ramai orang mula beralih kepada sistem 'cashless' ini.
Perpindahan wang secara digital kini sudah semakin berkembang dengan peningkatan jumlah transaksi 66 juta pada tahun 2011 telah melonjak ke 329 juta transaksi pada 2017, yang belum berakhir.
Lonjakan penggunaan ekonomi digital yang pada mulanya dimulakan hanya oleh beberapa syarikat kini semakin berkembang dengan wujudnya banyak 'gedung-gedung' beli belah maya yang memberikan kemudahan pada kita memilih produk yang kita inginkan, melakukan pembayaran dan seterusnya menunggu produk dihantar ke rumah.
Di situlah isu berkenaan pembelian secara digital ini muncul - ada peluang 50-50 kita dapat atau tidak dapat produk yang kita beli. Ada peluang 50-50 kita tidak berpuas hati dengan produk yang kita dapat. Kemungkinan-kemungkinan ini harapnya dapat diperhalusi sepanjang tempoh perancangan panjang kita dalam menjadikan Malaysia sebuah negara tanpa wang tunai, kerana pembelian maya merupakan salah satu faktor penting penggerak ekonomi maya.
Harap janganlah selambat pengenalan sistem pin pada kad kredit yang sepatutnya telah diperkenalkan lebih awal bagi, membantu kes-kes kehilangan atau kecurian kad yang baru saja dilaksanakan secara menyeluruh dalam dua tahun ini. Kami berharap agar segala isu dan permasalahan dijangka dapat diatasi lebih awal agar sebelum kita benar-benar menjadi masyarakat tanpa tunai.
Cabaran paling besar dalam mengubah haluan negara kita menjadi sebuah negara tanpa tunai adalah penerimaan masyarakat terhadapnya. Pasti ramai yang lebih yakin wujudnya sesuatu yang fizikal, yang boleh kita pegang sebagai wang kita. Bukan semua golongan akan menerima perubahan ini, khasnya generasi yang lebih tua berikutan kesukaran mereka mempelajari tentang sistem baru yang berlainan dengan apa yang telah tersedia pakai ketika ini.
Penulis berpendapat, kita seharusnya juga melihat keburukan dan masalah yang bakal timbul akibat daripada perubahan besar ini. Walaupun kebaikannya tidak dinafikan besar iaitu sekuriti dan keselesaan, keburukannya juga bakal menjejaskan kehidupan seseorang andainya sistem tersebut mengalami eksploitasi.
Selain daripada ancaman kepada penggodam yang pasti cuba mencari lubang-lubang pada sistem sekuriti, masalah utama yang perlu diawasi adalah kebolehpakaian. Menurut kajian di UK, akan tetap berlaku 1% ralat pada sistem biometrik yang digunakan dengan menggunakan cap jari dan ini akan menyebabkan 10 orang daripada 1000 orang gagal mengakses sistem bayaran mereka.
Kegagalan pada rangkaian, sambungan, masalah perkakasan dan mungkin juga isu pada pengawal seliaan peranti mampu menjadi punca kenapa masih ramai orang yang enggan mahu beralih kepada sistem transaksi tanpa tunai. Kebergantungan sistem ekonomi digital ini sangat bergantung dengan sistem-sistem lain seperti kestabilan elektrik, sambungan telefon dan internet sebagai penyokongnya.Bagaimana andainya salah satu daripada sistem penyokong tersebut mengalami gangguan?
Pada pandangan saya, isu yang paling penting perlu dibasmi sebelum kita memulakan langkah ke arah negara tanpa tunai, adalah dengan memastikan pihak-pihak yang menjual data-data peribadi orang ramai kepada pengiklan, dihentikan terlebih dahulu. Jika data peribadi kita ketika ini mampu dijual kepada pihak-pihak tertentu untuk tujuan pengiklanan, seperti mana kita kerap mendapat panggilan, mesej dan SMS dari pihak yang tidak sepatutnya tahu maklumat kita - bagaimana orang ramai mahu mempercayai satu sistem yang memerlukan keyakinan 100% diletakkan pada sistem perbankan negara kita.
Risiko yang sangat besar perlu ditanggung andainya sistem biometrik yang digunakan berjaya dimiliki pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Saya bukanlah pesimis atau optimis dalam hal-hal Malaysia menuju 'cashless society' namun untuk menjadi sepenuhnya cashless, pasti boleh berlaku situasi yang bakal menjadi mimpi ngeri pada kita semua kemudian hari, andainya langkah-langkah yang dilakukan hanya separuh masak.
Pendidikan pada masyarakat amatlah perlu, memandangkan masih ada individu di negara kita yang dilihat berpendidikan tetapi kurang jelas dengan apa matlamat 'cashless', sehingga ada yang merasakan Malaysia yang 'cashless' adalah Malaysia yang tidak ada duit akibat bankrap. Sekurang-kurangnya, kita ada 30 tahun untuk memperbetulkan persepsi masyarakat kita.