Oleh pada 20 Jan 2023 kategori

Dalam era moden, hukuman penjara dilihat sebagai hukuman standard kepada jenayah yang berlaku.

Bagaimanapun penjara adalah fasiliti wajib ada penyeliaan dan pengawasan, memerlukan peruntukan wang ringgit dikeluarkan kerajaan atau pihak berkuasa dalam memastikan operasi penjara berjalan sempurna. 

Zaman terdahulu masyarakat di seluruh dunia, terpaksa mencipta kaedah yang kreatif tetapi sadis sebagai alternatif kepada hukuman penjara.

Berikut adalah lima alternatif yang nampak lebih menakutkan berbanding terkurung di penjara itu sendiri.

1. Jougs di Scotland

jougs hukuman lama scotland

Di antara semua rekaan alat hukuman yang kami senaraikan, jougs peranti yang paling ringkas.

Sebuah kolar pengunci leher dibuat daripada besi yang dihubungkan dengan rantai - jougs dipasang pada dinding premis seperti pintu gereja. 

Jougs pada awalnya digunakan sebagai satu bentuk kaedah ibu bapa di Scotland terdahulu mendisiplinkan anak mereka.

Pesalah biasanya dikunci dan ditayang kepada orang awam dalam masa yang singkat, biasanya di antara sejam ke dua jam.

Penggunaannya dilihat efektif membolehkan pemerintah masyarakat Scotland mempelbagaikan lagi penggunaannya, bagi menghukum pesalah jenayah ringan. Khususnya mereka yang berkelahi atau menimbulkan suasana tidak senang di kalangan kejiranan.

Bentuk hukuman yang dijalankan menggunakan jougs berbeza-beza. Ada pesalah dipasangkan jougs dan diminta berdiri sepanjang hukuman. Ada diminta melutut.

Penggunaannya bagaimanapun akhirnya disalahguna, sehingga ke satu tahap sekitar abad ke 17 - hukuman jougs mula dikenakan ke atas individu yang tidak hadir ke gereja setiap hari Ahad.

2. Cangue di China

china cangue hukuman alternatif penjara

Cangue atau turut dikenali dengan nama tcha, adalah alat yang diamalkan masyarakat China sebagai ganti kepada hukuman penjara.

Cangue diperbuat daripada kayu dengan lubang untuk kepala dibuat ditengah-tengahnya bagi membolehkan kepala banduan dikunci. Rekaannya ringkas sahaja tetapi kesannya pada banduan amatlah ketara.

Seorang banduan yang dipasangkan cangue terpaksa menjalani tempoh hukuman dengan membawa cangue yang terpasang ke mana-mana sahaja.

Dia bukan saja berdepan rasa malu dilihat masyarakat, bahkan beban kayu yang dipikul itu juga akan mengakibatkan kesakitan pada bahagian tengkuk. 

Lebih memburukkan keadaan, saiz cangue yang sengaja dibesarkan menghalang tangan banduan mencapai mulut untuk makan dan minum.

Sepanjang tempoh hukuman, banduan bergantung insan orang lain untuk membantu mereka menjamah hidangan atau minum air, langsung tidak berkeupayaan melakukannya sendiri walaupun dibenarkan bergerak.

3. Pillorie di Perancis

pillorie kaedah hukuman lama perancis

Salah satu bentuk hukuman awam yang menjadi tradisi di Perancis satu masa dahulu, adalah hukuman yang dinamakan sebagai pillorie.

Diamalkan dalam menghukum pesalah kes tertentu, biasanya pesalah dikenakan hukuman dalam tempoh singkat - sekitar 2 jam atau lebih bagi mencerminkan kesalahan yang dianggap bukan jenayah berat.

Pillorie pada awalnya diguna di Perancis bagi menghukum peniaga yang melakukan penyelewengan semasa jual beli.

Peniaga yang tertangkap akan diletak di pillorie yang statik kedudukannya, berbeza dengan cangue di China, dipamer ke khalayak umum. 

Orang awam dibenarkan untuk mencaci atau membaling bahan semulajadi seperti buah, telur, lumpur dan juga najis kepada pesalah. 

Oleh kerana tujuan hukumannya adalah untuk memalukan pesalah agar tidak lagi mengulangi kesalahan sama, pillorie biasanya dipasang di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Kali terakhir hukuman jenis ini diamalkan adalah dalam tahun 1837 di Britain.

4. Stocks di England

stocks hukuman ikat kaki

Semasa era Anglo-Saxon di England, undang-undang mereka tidak mengamalkan sebarang bentuk kurungan atau penjara.

Jadi semua hukuman berkisar kepada hukuman timbal balik, di mana pesalah akan berhadapan hukuman bunuh, dibakar, membayar denda kepada mangsa atau dipasung kepada stocks.

Stocks membolehkan pesalah, biasanya golongan hamba yang ingkar atau individu biasa yang melakukan kesalahan, dikunci pada bahagian kaki atau tangan dan kaki.

Pada awal penggunaannya, tujuan sebenar stocks adalah untuk mengunci pesalah yang sedang disiasat atau sedang berdepan dakwaan bagi menghalang pergerakan mereka.

Bagaimanapun pemerintah England era tersebut melihat stocks lebih berkesan untuk diaplikasi menghukum individu yang melakukan kesalahan kecil serta layak dimalukan, seperti mengganggu ketenteraman awam.

5. Cucking stools di England dan Scotland

cucking stools scotland

Salah satu alat hukuman paling kejam yang pernah diamalkan masyarakat di Eropah khususnya di sekitar England, adalah alat yang dinamakan sebagai cucking stools...

Kerana alat ini difokuskan penggunaannya untuk golongan wanita.

Cucking stools merupakan sejenis takal mudah yang dipasangkan kerusi pada satu bahagian, dengan tali pada satu lagi bahagian. Pesalah wanita diikat pada kerusi, diangkat dan digantung untuk dipamerkan kepada orang awam.

Dalam kesalahan lebih berat seperti pesalah melakukan aktiviti persundalan atau mengandungkan anak luar nikah, pihak yang menghukum akan menggandar cucking stools ke tepi sungai.

Pesalah yang diikat akan direndam ke dalam sungai dan ditarik semula berulang kali, sebagai bentuk hukuman.

Kepercayaan masyarakat England terdahulu mudah menyamakan wanita yang enggan mematuhi arahan suami atau bapa sebagai ahli sihir.

Bagi kumpulan wanita sebegini yang dilihat berbahaya kepada masyarakat, mereka juga akan diikatkan ke cucking stools dan direndam untuk satu tempoh.

Sekiranya mereka selamat, mereka akan dituduh mempunyai kuasa gelap. Seandainya mereka meninggal dunia, mereka dibebaskan daripada tuduhan tanpa mampu lagi bernafas.

Senang cerita, buat apa pun, wanita itu tetap kalah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)