Oleh pada 03 Jun 2019 kategori

cinque terre musim panas

Terdapat pelbagai tempat menarik di dalam dan luar negara yang begitu mengasyikan. Bandar seperti Paris, London, New York dan Tokyo sememangnya sering menjadi destinasi tumpuan masyarakat di seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia sendiri.

Namun, bumi kita ini amat luas, dan terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik yang belum menjadi viral atau terkenal di kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, kali ini iluminasi.com ingin berkongsi dengan pembaca satu tarikan menarik di Italy iaitu Cinque Terre.

Kenali Cinque Terre

perkampungan nelayan paling cantik di dunia

Cinque Terre adalah kawasan pantai di Liguria, di barat laut Itali. Ia terletak di barat La Spezia, dan terdiri daripada lima buah perkampungan nelayan tradisional yang kecil iaitu: Monterosso al Mare, Vernazza, Corniglia, Manarola, dan Riomaggiore.

Pantai, lima kampung, rumah-rumah bewarna-warni dan bukit-bukit sekitarnya adalah sebahagian daripada Taman Negara Cinque Terre sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Untuk melawati antara satu perkampungan ke satu perkampungan lain, terdapat akses yang begitu mudah ke pengangkutan awam seperti kereta api dan bot serta laluan pejalan kaki. Kenderaan seperti kereta tidak dapat memasuki ke perkampungan ini.

Cinque Terre merupakan salah satu destinasi perlancongan terkenal di Eropah. Selama beratus tahun, penduduk di sana telah membina landskap serta kawasan rumah yang begitu curam dan menghadap ke laut.

Oleh itu, permandangan dari atas kawasan itu amatlah cantik terutama ketika matahari terbenam.Dengan landskap yang begitu cantik serta keindahan Laut Ligurian di sekeliling kawasan ini, tidak dapat disangkal lagi kenapa Cinque Terre adalah destinasi perlancongan tercantik di Eropah serta perlu ada dalam bucket-list anda!

Sejarah Cinque Terre

statue of st francis of assisi

Cinque Terre sememangnya telah lama wujud sejak berkurun lagi. Buktinya, ianya telah disebut dalam banyak dokumen sejarah sejak kurun ke-11.

Pada awalnya, dua buah perkampungan iaitu Monterosso dan Vernazza diduduki oleh penduduk di sana dahulu,kemudian barulah lahirnya perkampungan lain , di mana semuanya terletak dalam kawasan Republik Genoa.

Pada abad ke-16, para penduduk tempatan telah memperkuat benteng pertahan yang sedia ada dan membina menara pertahanan bagi mempertahankan kawasan serta tanah mereka dari serangan orang-orang Turki.

Pekan itu kemudiannya mengalami kemerosotan ekonomi dari abad ke-17 hingga abad ke 19, dan hanya makin berkembang apabila sebuah "arsenal" dibina dan mendapat rangkaian keretapi ke Genoa.

6 Sebab Cinque Terre Perkampungan Nelayan Tercantik Di Dunia

kampung corniglia

1. Himpunan 5 Perkampungan Nelayan

map cinque terre

Mungkin salah satu perkara yang paling menarik tentang Cinque Terre adalah bahawa ia tidak benar-benar satu tempat. Ia adalah koleksi 5 perkampungan nelayan tradisional, yang dikenali sebagai Monterosso, Vernazza, Corniglia, Riomaggiore, dan Manarola.

Ini bermakna salah satu perkara yang paling indah tentang Cinque Terre adalah pilihan! Anda boleh memilih mana-mana kampung yang anda suka untuk percutian anda, atau anda boleh memilih untuk meneroka semuanya jika anda mempunyai beberapa hari.

Semua perkampungan dihubungkan dengan mudah melalui Laluan Biru, bermakna anda boleh bergerak dari satu kampung ke kampung lain. Riomaggiore adalah yang paling kurang sibuk, manakala Vernazza adalah satu-satunya pelabuhan semula jadi.

2. Keunikan warna-warni di Cinque Terre

rumah rumah yang cantik

Jika anda melihat gambar-gambar kampung nelayan ini, anda pastinya akan tersentak dengan betapa cantiknya warna -warni di kawasan tersebut. Ibarat melihat keindahan pelangi yang muncul selepas hujan di negara Italy ini. Kecantikannya diserikan lagi dengan warna biru lautan Ligurian yang bertentangan dengan keindahan warna hijau bukit di sekitarnya.

Malah, warna pastel pada dinding rumah-rumah di Cinque Terre adalah faktor tarikan utama yang menjadikannya lebih fotogenik. Kalau dapat post gambar selfie anda dengan latar belakang rumah-rumah ini, pastinya dapat banyak likes di Instagram! Haha.

Anda haruslah pergi dan rasai sendiri kecantikan di Cinque Terre ini jika merancang untuk bercuti di Italy selain bandar seperti Milan, Florence, Venice dan Pisa.

3. Pengalaman mendaki dan pemandangan indah dari atas bukit

view cinque terre dari atas bukit

Cinque Terre sememangnya terkenal dengan laluan pendakian bagi penggemar aktiviti lasak seperti mendaki bukit. Terdapat banyak laluan untuk dicuba, salah satu laluan yang terkenal di sana adalah laluan Sentiero Azzuro, atau juga dikenali sebagai Laluan Biru.

Laluan ini menghubungkan kesemua perkampungan. Bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih ekstrem, terdapat berbagai pilihan untuk anda termasuk laluan yang berbukit dan curam dan lebih mencabar.

Pastikan anda tidak lupa membawa kamera untuk mengabadikan keindahan yang anda lihat ini. Jika anda merancang untuk mendaki bukit, pastikan anda membawa peralatan mendaki serta memakai pakaian yang sesuai.

4. Alami keunikan salah sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO

unesco world heritage

Untuk pengetahuan anda, kecantikan bukanlah syarat utama ataupun syarat asas untuk sebuah kawasan diletakkan di bawah senarai Kawasan Warisan Dunia UNESCO. Tetapi, mungkin ramai yang percaya kecantikan Cinque Terre adalah sebab utama kampung ini memperoleh gelaran tersebut.

Namun begitu, sebenarnya terdapat banyak sejarah yang boleh anda pelajari dan kawasan-kawasan bersejarah yang anda boleh lawati di sini. Antara keunikan yang wujud di sini adalah sebuah istana abad pertengahan di kampung Riomaggiore.

Selain itu, jika anda naik ke istana Vernazza Doria, anda dapat menikmati pemandangan yang sangat cantik di antara semua kampung di situ. Terdapat dua buah gereja Katolik yang cantik di dua buah perkampungan iaitu di Manarola dan Corniglia.

San Pietro, di Corniglia, mempunyai tingkap yang diukir dari marmar. Manakala, Monterosso pernah menjadi rumah patung Neptil Gigante, yang hampir hancur semasa Perang Dunia II.

5. Lautan biru Liguria yang memukau

kampung warna pastel

Setiap orang pastinya akan terpukau dengan gambar-gambar Cinque Terre di media sosial. Di sebalik kecantikan warna-warni rumah-rumah di sana, laut Liguria lah yang menambahkan keindahan di kawasan ini dengan membentuk latar belakang rumah-rumah tersebut untuk lebih bersinar.

Tanpa wujudnya lautan Liguria ini, mungkin tidak akan wujud tapak warisan UNESCO ini. Hal ini kerana perkampungan Cinque Terre terbina sebagai sebuah perkampungan nelayan.

Nikmati panorama matahari yang menyinari semua landskap dan rumah-rumah orang kampung di sini, dan tunggu hingga waktu senja untuk menikmati keindahan utama semasa matahari terbenam. Untuk pengalaman yang lebih memukau, anda boleh mendapatkan perkhidmatan feri untuk meneroka seluruh kawasan Cinque Terre.

6. Pemandangan matahari terbenam yang luar biasa

lautan liguira

Penulis sudahpun menceritakan betapa indah dan uniknya perkampungan Cinque Terre ini untuk dinikmati pada siang hari.Namun, setelah anda melawati kawasan ini dan bersantai di pantai-pantai yang terdapat di perkampungan ini sambil menikmati keindahan pemandangan matahari terbenam, barulah anda akan faham mengapa ramai orang jatuh cinta pada Cinque Terre.

Sampaikan penulis serta penyair legenda British seperti Lord Byron dan Percy Bysshe Shelley pernah cuba untuk mengungkapkan keindahan kawasan ini dalam penulisan mereka.

Kesimpulannya, penubuhan dan keunikan kampung ini yang tersendiri menjadikan ia sebagai salah satu tapak warisan UNESCO.Ianya mempunyai sejarah yang tersendiri, namun kecantikan lautan Liguira yang diserikan lagi dengan keindahan semula jadi kawasan itu seperti landskap bukit dan tebing serta rumah-rumah penduduk yang berwarna warni pastinya akan membuatkan anda terpersona.

Mungkin ramai antara pembaca akan mempersoalkan bahawa terdapat banyak lagi tempat-tempat yang lebih menarik, namun Cinque Terre kurang dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia apabila berkunjung ke benua Eropah.

Ini adalah faktor utama penulis berkongsi dengan anda destinasi ini yang mungkin sudah menarik minat anda untuk menjadi lokasi percutian anda pada masa hadapan.

Keindahan Cinque Terre, Italy

Rujukan :

1.6 reasons why Cinque Terre is the most beautiful in Europe



Hakcipta iluminasi.com (2017)