Sewaktu ketika tahun 90-an dahulu, kita pernah memiliki taman tema popular yang diberi nama Mimaland. Taman tema ini serba lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk permainan air dan pernah menjadi lokasi penggambaran filem Melayu tahun 90-an.
Namun, kerana disebabkan beberapa masalah teknikal dan kewangan, kawasan Mimaland terpaksa ditutup buat selama-lamanya. Walaupun tapak lokasi ini masih wujud, orang ramai dilarang sama sekali memasukinya. Kawasan ini juga sudah dipenuhi semak-samun.
BESARKAN TEKS A- A+
Malah, beberapa binaan yang masih wujud seperti patung-patung replika dinasour juga semakin uzur dan banyak sudah rosak. Malangnya, kawasan ini kerap kali diceroboh orang luar terutamanya penggemar aktiviti paranormal.
Pembukaan taman safari pertama di Malaysia
Sekiranya Mimaland adalah sebuah taman tema, taman safari pula merupakan sebuah taman hiburan yang menjadikan haiwan sebagai daya tarikan utamanya. Pelancong biasanya akan dibawa sekeliling taman ini dengan menaiki kenderaan khas bagi membolehkan mereka melihat haiwan secara lebih dekat.
Pada masa kini, di Malaysia kita mempunyai beberapa taman safari yang popular antaranya Bukit Gambang Safari Park dan Taman Safari A'Famosa Melaka. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa negara kita juga pernah memiliki sebuah taman safari di negeri yang terletak di negeri selatan Malaysia iaitu Johor.
Diberi nama Johore Safari World, taman safari ini telah dibuka secara rasminya pada tahun 1982. Ianya dipercayai sebagai taman safari terbesar dan pertama di Malaysia pada waktu itu. Lokasi sebenarnya adalah di kawasan Jalan Air Hitam/Simpang Renggam.
Memiliki roller coaster pertama di Malaysia
Taman safari ini telah diuruskan oleh syarikat Chipperfield’s Circus, sebuah syarikat antarabangsa yang mempunyai pengalaman luas menguruskan taman safari seumpanya di beberapa lokasi lain di seluruh dunia.
Taman safari ini telah dibina atas tanah milik kerajaan negeri Johor pada keluasan 35 hektar. Pengunjung yang hadir kesini dapat melihat haiwan-haiwan dibiarkan bergerak bebas dan mereka akan dibawa pusing sekeliling kawasan ini dengan menaiki kenderaan khas.
Selain itu, bagi menarik lebih ramai pengunjung, di taman safari ini juga terdapat beberapa permainan untuk pengunjung termasuklah sebuah permainan tunggangan roller coaster. Ianya dikatakan permainan roller coaster yang pertama di Malaysia!
Jangka hayat yang singkat
Menguruskan taman tema bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan kos operasinya yang tinggi. Perbelanjaan makanan dan perubatan haiwan-haiwan yang ditempatkan disini sahaja menelan belanja yang tersangatlah besar.
Walaupun dibuka pada tahun 1982, jangka hayat Johore Safari World tersangatlah singkas. Hanya selepas 2 tahun beroperasi, pihak pengurusan kawasan ini telah mengambil keputusan untuk menghentikan operasi dan menutup taman tema ini buat selama-lamanya kerana mengalami kerugiaan besar.
Bagi memastikan haiwan-haiwan disini terus terpelihara, ianya telah dijual kepada beberapa buah zoo di Malaysia. Ini merupakan satu langkah yang bijak bagi mengelakkan syarikat pengurusan terus mengalami kerugian.
Apakah yang wujud di tapak Johore Safari World pada masa kini?
Anggaran lokasi Johore Safari Park
Sekiranya anda menyemak pada halaman Google Maps, lokasi yang dahulunya tapak Johore Safari World sudah menjadi sebahagian daripada ladang kelapa sawit. Malah, pintu gerbang Johore Safari World seperti gambar di atas juga tidak lagi wujud dan dipercayai sudah dirobohkan pada tahun 1990-an.
Agak menyedihkan apabila melihat daya tarikan seperti ini terpaksa ditutup. Namun, itulah asam garam dalam dunia bisnes. Daripada terus menanggung kerugian, ada baiknya taman safari ini ditutup terlebih dahulu bagi memastikan kebajikan haiwan-haiwan disini terjaga.
Kredit:
- Ghulam Jie M. Khan
- Sejarah.my