Anda seorang yang gemar mendaki? Anda mungkin pernah mendaki Gunung Kinabalu, malah mungkin juga pernah tiba di Gunung Everest. Namun, jika anda seseorang yang baru mula berjinak-jinak dalam aktiviti ekstrem dan sedang mencari gunung kecil yang mudah didaki dan tidak begitu mencabar ketahanan fizikal dan mental, anda boleh terbang ke Shouguang yang terletak di Wilayah Shandong, China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di sinilah lokasi "Jingshan" yang didakwa sebagai gunung paling kecil di negara itu (dan mungkin juga di dunia). Dengan ketinggian 0.6 meter dari dasar hingga ke puncak tertinggi, ia boleh ditakluk dengan hanya satu langkah kaki sahaja.

Jingshan mungkin bukan gunung yang terhebat di dunia. Walau bagaimanapun, ia adalah satu-satunya gunung di daerah Shouguang yang menjadi simbol wilayah itu dan merupakan tarikan pelancong yang popular. Gunung ini telahpun direkodkan dalam dokumen pejabat daerah yang berusia lebih 100 tahun termasuklah kedudukan lokasinya yang tepat, ukuran gunung dan fakta berkenaan saiz sebenar 'puncak' gunung bawah tanah ini.

gunung terkecil di dunia jingshan hanya boleh didaki dengan mudah

Dilaporkan Jingshan ini adalah bahagian puncak gunung yang bermula dari bawah tanah. Namun, tidak dapat dipastikan berapakah kedalaman sebenar gunung ini kerana statusnya yang dilindungi oleh pihak berkuasa tempatan. Mengetahui kepentingannya sebagai salah satu tarikan pelancong yang penting di situ, pihak berkuasa telah mengeluarkan larangan menggali, mengganggu struktur atau merosakkan kawasan di sekeliling Jingshan.

Sebelum undang-undang larangan menggali itu diwartakan, ada beberapa orang yang pernah cuba menggali tanah di situ. Menurut Zheng Binhai, bekas kurator Muzium Shouguang Bo, semasa zaman pemerintahan Mao Zedong, sekumpulan penggali telah ditugaskan untuk mengorek tanah di sekeliling Jingshan untuk membuktikan yang ia hanyalah seketul batu dan bukanlah sebuah gunung seperti yang digembar-gemburkan. Selepas beberapa meter mereka menggali dan masih tidak menemui kaki gunung itu, mereka akhirnya berputus asa.

puncak gunung terkecil di dunia jingshan kelihatan seperti seketul batu

Kemudian, pada tahun 1958 pula, ada satu lagi cubaan menggali di Jingshan namun cubaan ini juga tidak berhasil untuk menemui kaki gunung, jadi batu kecil ini terus dilabelkan dan dikenali sebagai sebuah gunung sejak itu.

China.org melaporkan yang Jingshan mempunyai ketinggian 48 meter yang tertanam di bawah tanah. Bahagian puncak yang terdedah itu hanyalah 0.6 meter tinggi, 1.24 meter panjang dan 0.7 meter lebar. Anda sudah boleh menawan puncaknya hanya dengan satu langkah sahaja. Tidak perlu berpenat lelah seperti mendaki bukit atau gunung lain.

gunung terkecil di dunia jingshan sukar dijumpai apabila tanaman menjadi semakin tinggia

Gambar gunung terkecil ini telah menjadi tular di media sosial di China dan menerima pelbagai komen lucu daripada netizen. Ada netizen yang membuat aduan bahawa gunung ini sukar dicari apabila tanaman sekitar menjadi lebih tinggi daripada gunung. Ada juga yang mencabar rakan-rakan mereka untuk berlawan siapa yang pertama akan sampai ke puncak.

Anda nak cuba panjat?

Sumber: China.org.cn




Hakcipta iluminasi.com (2017)