Ketika ini, dua kuasa besar mengintai antara satu sama lain dengan gelisah melintasi lautan Pasifik.
Satu daripadanya semakin berkembang selepas beberapa dekad konflik Perang dingin dan yang satu lagi adalah kuasa yang semakin meningkat untuk menuntut kembali penguasaan serantau.
Mujurlah, walaupun dengan sistem politik yang sangat berbeza, China dan Amerika Syarikat tidak bermusuhan satu sama lain secara semulajadi sebagaimana Barat dan Kesatuan Soviet.
BESARKAN TEKS A- A+
Malah, kedua-duanya mempunyai tahap saling kebergantungan ekonomi yang sangat tinggi.
Walaubagaimanapun, sejarah menunjukkan bahawa sering kali terdapat risiko peperangan apabila kuasa yang semakin meningkat mencabar ketangkasan yang sedia ada.
Beijing dan Washington mempunyai perselisihan besar mengenai hal-hal pentadbiran global. Dan mujurlah sejarah juga menunjukkan bahawa terdapat kuasa-kuasa besar saingan wujud bersama-sama dengan aman untuk tempoh yang lama.
Akan tetapi, kita tidak dapat meramalkan apa yang berlaku dengan sepenuhnya. Persoalannya, jika kedua-dua kuasa besar ini bertembung, siapakah yang akan menang?
Sekiranya perang meletus antara Amerika Syarikat dan China, pertembungan antara dua pasukan tentera paling kuat di dunia ini sudah tentunya mengerikan.
Dan menurut tafsiran, ada kemungkinan bahawa Amerika Syarikat akan kalah teruk.
Amerika Syarikat bimbang akan tewas
Itulah kebimbangan di kalangan bekas dan pegawai pertahanan semasa, termasuklah bekas penganalisis tentera Amerika Syarikat, yang mana salah seorang daripadanya memberitahu laman sesawang Breaking Defense bahawa dalam permainan perang simulasi konflik kuasa besar di mana Amerika Syarikat melawan Rusia dan China, Amerika Syarikat tewas dengan teruk.
Laksamana Philip Davidson, yang mengawasi pasukan tentera A.S. di Asia, memanggil China sebagai "ancaman strategik jangka panjang terbesar kepada Amerika Syarikat".
Beliau menerangkan pembentukan tentera China yang sangat pantas di hampir setiap bahagian iaitu udara, laut, darat, ruang angkasa, dan siber.
Laksamana Philip juga berkata bahawa walaupun keupayaan China tidak mengatasi Amerika di rantau ini ketika ini, mereka mungkin dapat mengatasi Amerika Syarikat dalam lima tahun akan datang.
Ketika ini, China mempunyai tentera terbesar di muka Bumi, dengan 2 juta anggota aktif dalam Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).
Kekuatan ketenteraan dan senjata AS vs China
Walaupun anggota tentera yang ramai, China hanya membelanjakan wang 33% sahaja daripada bajet ketenteraan A.S, yang menyumbang 13% daripada perbelanjaan ketenteraan tahunan dunia pada 2017, berbanding 35% peratus oleh Amerika Syarikat menurut SIPRI.
Dan rajaan China menyedari bahawa saiz pasukannya yang besar sebahagiannya mencerminkan struktur kekuatan abad ke-20 yang kuno yang terdiri daripada tentera darat yang berkualiti rendah.
Bermula pada tahun 2015, Presiden China Xi Jinping mengumumkan inisiatif pembaharuan utama untuk mengecilkan saiz tentera darat PLA bagi meningkatkan kualiti mereka.
Tentera darat dan udara PLA masih mempamerkan pelbagai jenis kualiti, melancarkan kedua-dua jenis sistem iaitu yang digunakan pada awal Perang Dingin dan juga mesin canggih.
Sebagai contoh, PLA memiliki 8,000 kereta kebal, namun 3,000 daripadanya adalah jenis kereta era 1950-an, iaitu jenis Type 59 dan Type 63.
Pada masa yang sama, PLA juga mempunyai 500 kereta kebal Type 99 yang berada dalam kategori sama seperti kereta kebal M1 Abrams miliki A.S..
Sama seperti tentera darat, Tentera Udara PLA juga mempunyai masalah yang sama di mana daripada 1,700 pesawatnya, kira-kira satu pertiga adalah pesawat pejuang lama iaitu J-7.
Akan tetapi, mereka juga memiliki generasi ke-4 yang moden seperti J-10 dan J-11, yang setanding dengan F-15 dan F-16 milik A.S. Malah tentera China juga mempunyai beberapa unit pesawat pejuang senyap generasi ke-5.
(Pesawat F-16 milik Amerika Syarikat)
Sebaliknya, tentera A.S. mengendalikan 2 ribu jet tempur generasi ke-4, yang ditambah dengan reka bentuk senyap generasi ke-5.
Pesawat-pesawat A.S. yang baru ini secara teorinya mempunyai kelebihan besar dalam pertempuran udara jarak jauh dan dalam menembusi ruang udara musuh.
Tetapi jumlah kapal, peluru berpandu, pesawat dan kekuatan tentera bukanlah penentu segala-galanya. Apa yang memberikan kelebihan kepada China ialah struktur geografi.
Ketika pentadbiran Barack Obama, AS tidak berjaya menghalang pertumbuhan kuasa ketenteraan dan ekonomi China di rantau ini, di mana mereka mampu membina pulau tiruan, memberikan perhatian kepada projek infrastruktur utama dan melabur dalam tenteranya.
Kemungkinan sebab berlakunya perang AS-China
(Pulau Senkaku)
Jika perang ini benar-benar berlaku, persoalannya adalah apa yang boleh mencetuskannya?
Bagaimana jika China menyerang dan menduduki Taiwan, yang merupakan rakan kongsi demokratikdan pelanggan senjata A.S? Adakah A.S akan mempertahankan Taiwan dan merisikokan Perang Dunia Ketiga?
Bagaimana jika China memaksa tuntutannya ke atas Kepulauan Senkaku, yang mana Amerika Syarikat menganggapnya sebagai milik Jepun? Adakah ini termasuk dalam komitmen perjanjian A.S untuk mempertahankan sekutunya?
Tidak ada jaminan bahawa presiden A.S., terutama Trump, akan akan berperang dengan China walaupun kesemua kemungkinan di atas berlaku.
Tetapi ini adalah antara senario yang dikaji oleh Rand Corporation untuk melihat sama ada Amerika Syarikat boleh menghalang China dari menuntut wilayah dengan kekerasan dan adalah tidak jelas sama ada A.S. boleh atau tidak.
Yang paling ketara adalah kemungkinan besar senario perang A.S.-China akan berlaku di Asia dan bukanlah "kemenangan" China bermakna Parti Komunis China mengambil alih Washington, tetapi A.S. yang tidak mampu mengeluarkan China dari wilayah yang dituntut oleh Jepun atau Taiwan.
Keperluan Tentera Pembebasan Rakyat China dan Amerika Syarikat
Dari segi operasi, PLA dan tentera A.S. mempunyai keperluan yang sangat berbeza.
A.S. secara geografinya terpisah dari musuh-musuhnya dan sebaliknya bergantung kepada rangkaian besar-besaran di luar negara di 6 benua untuk melibatkan diri atau menentang musuh.
Ini memerlukan keupayaan logistik di seluruh dunia termasuk beratus-ratus pesawat pengangkutan, kapal tangki mengisi minyak udara untuk mengekalkan jet pejuang dan pengangkut terus terbang, dan pengangkutan amfibia serta pengangkut untuk membawa unit-unit Marin.
Juga, pakatan diplomatik yang kuat adalah sama penting dengan kekuatan tentera diperlukan untuk mengekalkan pangkalan-pangkalan di luar negara dan memastikan ia dibekalkan dengan bahan bakar, anggota dan peluru.
Sebagai contoh, operasi A.S. di Asia sangat bergantung kepada pakatan dengan Korea Selatan, Jepun, Singapura, Filipina dan baru-baru ini, dengan India.
Beberapa negara daripada Asia ini serta Eropah barat dan tengah, juga bergantung kepada kuasa tentera A.S. untuk memenuhi keperluan keselamatan mereka.
China hanya mula memperolehi logistik sedemikian dan terletak di kawasan kejiranan yang sangat sesak yang dikelilingi oleh pesaing ketenteraan yang berpotensi seperti India, Rusia dan Jepun.
Selain itu, Beijing hanya mempunyai beberapa pakatan tentera seperti dengan Pakistan, Korea Utara, serta beberapa negara Asia Tenggara.
Tetapi, China dengan perlahan-lahan membangunkan institusi multi-nasional seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai dan projek aspirasinya iaitu projek Laluan Suter dengan harapan dapat memupuk ikatan yang lebih kukuh.
Walau bagaimanapun, China masih mengekalkan hubungan tegang dengan India yang mana China merampas wilayah Himalaya dalam perang 1962 yang singkat. Selain itu, Beijing telah membina tentera dan rangkaian jalan di sempadannya dengan India, serta juga membina beberapa pangkalan di negara-negara berdekatan untuk 'mengepung' India.
Serangan Amerika Syarikat ke atas China
Dalam usaha untuk melakukannya selain daripada dengan cara serangan siber, Amerika Syarikat boleh menyerang tentera China dari udara atau laut.
Masalahnya adalah, China telah menghabiskan sekurang-kurangnya 20 tahun yang lalu dalam bersiap sedia untuk konflik seperti ini, dan melabur dalam pertahanan yang boleh menghalang pendekatan A.S..
Ini dilakukan dengan memerhati bagaimana A.S menjalankan Perang Teluk pada tahun 1990-an.
Sebahagiannya disebabkan oleh pemerhatian bagaimana A.S. menjalankan Perang Teluk pada tahun 1990-an, bersiap untuk konflik semacam ini, dan melabur dalam pertahanan yang boleh menghalang pendekatan A.S..
China mempunyai peluru berpandu yang boleh menenggelamkan kapal.
Mereka juga mempunyai peluru berpandu yang boleh menjatuhkan kapal terbang dan peluru berpandu yang secara teorinya boleh sampai ke pangkalan serantau A.S. di Jepun dan Guam, membuatkan pesawat dan landasan tentera AS terdedah kepada serangan.
Ramai pemerhati China mencadangkan bahawa serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara A.S akan menjadi sebahagian daripada pembukaan peperangan.
Jika pangkalan seperti ini diserang dan ditutup hanya untuk beberapa hari sahaja, ia sudah cukup untuk mengubah perjalanan konflik ini.
Menurut David Ochmanek, penyelidik antarabangsa dan pertahanan kanan Rand Corporation, China tidak perlu mengalahkan Amerika Syarikat secara ketenteraan secara ketara untuk mencapai matlamat jangka pendek mereka.
Jika matlamat mereka adalah untuk menakluki Taiwan, secara prinsipnya ini boleh dicapai dalam masa yang singkat, mungkin dalam beberapa hari atau minggu sahaja.
China bukan sahaja akan menyerang pangkalan udara A.S di rantau ini, tetapi juga akan menyerang kapal pengangkut di laut, menyerang sensor di ruang angkasa dan juga pautan komunikasi A.S yang sebahagian besarnya dikendalikan melalui ruang angkasa.
Pangkalan data dalam sistem arahan A.S juga akan dirosakkan dan China akan cuba untuk menindas dalam setiap dimensi yang mereka boleh.
Dan walaupun China akan cuba melakukan semua ini, perlu diketahui bahawa kebanyakan daripada keupayaan ini tidak diuji. Berbeza dengan Amerika Syarikat, China tidak mempunyai banyak pengalaman sebenar dalam menggunakan senjata dalam pertempuran.
Namun, perkembangan keupayaan China mewakili perubahan besar dari kira-kira 20 tahun yang lalu, ketika Presiden Bill Clinton menghantar pengangkut pesawat berhampiran Selat Taiwan untuk menghalang ancaman China ke atas pulau itu.
Pada ketika itu, China telah menembak peluru berpandu ke Taiwan, tetapi peluru berpandu tersebut kurang tepat dan mereka tidak dapat mengesan pengangkut yang dihantar A.S.
Dan China telah menghabiskan 25 tahun bukan hanya untuk mencari cara untuk mencari sistem seperti itu, tetapi bagaimana untuk mengatasinya dengan senjata yang tepat dalam jumlah yang sangat besar.
Chris Brose, bekas pengarah kakitangan untuk Jawatankuasa Senat Perkhidmatan Senjata berkata bahawa jika A.S mahu menghantar pengangkut pesawat berdekatan selat itu jika berlakunya konflik, "Saya pun tak mahu berada di dalam pengangkut pesawat tersebut,".
Teknologi China vs Amerika Syarikat
China juga boleh dikatakan telah mencapai kemajuan besar dalam membangunkan drone dan memajukan keupayaan perangkaian berbanding Rusia atau pelbagai negara Eropah.
Sebaliknya, industri Cina masih ketinggalan dalam pembangunan teknologi seperti enjin jet dan mengalami masalah kawalan kualiti.
Walau bagaimanapun, dari sisi lain, ia agak kuat dalam bidang elektronik dan dengan senang hati untuk meniru kedua-dua teknologi Barat dan Rusia.
Tambahan pula, penggodam China juga telah terbukti mahir dalam menggodam sistem komputer asing dan melancarkan pengintipan industri, tetapi Beijing setakat ini menahan diri daripada melaksanakan taktik manipulasi pilihan raya yang diamalkan oleh jirannya Rusia.
Bagi Amerika Syarikat pula, perbelanjaan ketenteraan besar-besaran oleh tenteranya mencerminkan pendekatan berorientasikan teknologi untuk berperang, satu paradigma yang bertujuan untuk menghantar drone sama seperti China atau peluru berpandu menggantikan manusia.
Ini terutamanya kerana setiap mangsa terbunuh boleh mengakibatkan keruntuhan politik.
Oleh itu, Pentagon lebih suka mengembangkan kecerdasan komprehensif dan keupayaan komunikasi untuk mengarahkan sistem senjata tanpa manusia dengan ketepatan yang tinggi.
Ini berbeza dengan menghantar anggota darat yang lebih besar dan lebih murah, seperti mana dilakukan pada masa lalu dalam Perang Dunia Kedua.
Contohnya, kapal boleh mengesan jet yang menyerang dan menghantar data sasaran kepada pesawat pejuang berdekatan yang kemudiannya boleh menggunakan telemetri (proses rakaman dan penghantaran bacaan instrumen) untuk melancarkan peluru berpandu tanpa mempamerkan dirinya sendiri dengan menghidupkan radar, atau sebaliknya.
Amerika Syarikat cuba guna cara lain
Buat masa ini, Amerika Syarikat mengimbangi China dengan cara seperti menghantar mesej yang tidak disenangi, tetapi itu tidak mungkin menimbulkan tindak balas yang agresif dari Beijing.
Amerika Syarikat telah meningkatkan kadar penghantaran kapal Tentera Laut melalui selat itu, serta kebebasan latihan navigasinya di Laut China Selatan.
Perancis dan Britain juga telah menjalankan latihan sedemikian. Dan Amerika Syarikat bukan sahaja berhadapan dengan China dari segi ketenteraan sahaja, tetapi juga di luar konteks itu.
Mereka mengenakan tarif yang tinggi ke atas import China dalam mengejar kesepakatan perdagangan dan mengharammkan syarikat telekomunikasi China iaitu Huawei dari menjalankan perniagaan di A.S..
Walaubagaimanapun, Washington kurang agresif untuk menekan China mengenai isu-isu hak asasi manusia dan demokrasi, termasuk penahanan besar-besaran China terhadap umat Islam Uighur dan sokongan China terhadap tindakan keras ke atas penunjuk perasaan di Hong Kong.
Amerika Syarikat tahu banyak tentang keupayaan China, tetapi mengetahui tentang tujuannya adalah satu persoalan lain.
John McLaughlin, bekas pengarah CIA yang kini mengajar di Universiti Johns Hopkins, menyatakan bahawa pegawai-pegawai China telah mengatakan bahawa tujuan mereka adalah untuk menjadi kuasa global.
Namun apa yang dimaksudkan dengan kuasa global itu adalah tidak jelas. Adakah mereka cuba membina zon penampan pertahanan di sekitar sempadan mereka, yang mana dilakukan oleh banyak negara?
Atau adakah mereka mempunyai tujuan mereka lebih jahat?
"Apabila saya melihat dunia, anda boleh mengatakan bahawa ada negara-negara tertentu yang bermusuhan dengan kami dengan jelas seperti Korea Utara dan Iran. Namun, kami masih tidak pasti dengan China," kata John McLaughlin.
Jadi, pada pendapat anda, jika perang A.S-China meletus dalam abad ini, pihak manakah yang akan menang?
Rujukan:
1. Bagaimana Amerika Syarikat Akan Kalah Dengan China
2. Jika Amerika Syarikat Berperang Dengan China, Siapa Yang Akan Menang?