Oleh pada 06 Jan 2020 kategori

Jika Amerika Syarikat dan Iran terlibat dalam peperangan antara satu sama lain, ia berpotensi untuk menjadi antara salah satu konflik paling buruk dalam sejarah. 

Pembunuhan Mejar Jeneral Qassem Soleimani pada 3 Januari 2020, yang mengetuai operasi rahsia dan kecerdasan Iran serta merupakan salah seorang pemimpin paling senior di negara itu, membawa Washington dan Tehran lebih hampir untuk berperang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Menurut para pakar, Iran mempunyai insentif untuk membalas, menggunakan proksinya untuk mensasarkan kepentingan komersail AS di Timur Tengah, sekutu Amerika, atau bahkan tentera serta diplomat Amerika yang yang ada di pangkalan dan kedutaan negara.

Ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa kumpulan Eurasia, sebuah firma perundingan antarabangsa terkemuka, kini meletakkan peluang "konfrontasi ketenteraan" kedua-dua negara ini pada tahap 40%.

qassem soleimani

Tetapi benih-benih konflik bukanlah bermula dengan serangan udara yang membunuh Qassem Soleimani sahaja.

Washington dan Tehran terus berada dalam kebuntuan selama sebulan yang dilihatkan terus memburuk.

Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap ekonomi Iran atas sokongannya terhadap keganasan dan program peluru berpandunya yang semakin meningkat, antara lain selepas menarik diri dari perjanjian nuklear 2015, pada tahun lalu.

Iran melawan dengan melanggar sebahagian daripada perjanjian nuklear, mengebom kapal tangki minyak, dan menembak pesawat tentera Amerika.

Krisis ini telah menjadi lebih teruk sepanjang minggu lalu.

Militan Kataib Hezbollah yang disokong Iran membunuh seorang kontraktor Amerika sementara mencederakan yang lain dalam serangan roket, membuatkan pentadbiran Trump memerintahkan serangan balas terhadap lima sasaran di Iraq dan Syria yang membunuh 25 pejuang militia.

rakyat iran bakar bendera amerika syarikat

Sebagai protes, Kataib Hezbollah menganjurkan perhimpunan di luar kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad di mana beberapa orang masuk ke dalam kompleks itu dan membakar sebahagian bangunan tersebut. 

Ini membawa kepada Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper, memberitahu pemberita pada hari 2 Januari 2020 bahawa, "Jika kami dapat tahu tentang serangan, kami akan mengambil langkah awal untuk melindungi tentera Amerika dan melindungi rakyat Amerika. Permainan ini telah berubah."

Beberapa jam selepas kenyataan ini dibuat, AS membunuh Qassem Soleimani, menggariskan bahawa perubahan sememangnya berlaku.  

Yang paling penting, para pakar mendapati bahawa kedua-dua negara tidak mahukan konflik besar-besaran, dengan Presiden Trump berkata beliau mahukan "kedamaian" apabila melibatkan Iran.

serangan ke atas qassem soleimani

(Serangan udara oleh Amerika Syarikat yang membunuh orang kuat Iran, Qassem Soleimani)

Tetapi, kemungkinan tercetusnya perang tidak boleh disangkal, terutamanya kini kepimpinan Iran bersumpah untuk membalas dendam atas kematian Qassem Soleimani.

Ini bermakna bahawa hubungan AS-Iran kini berada di hujung tanduk dan perang boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Bagaimana perang Amerika Syarikat-Iran bermula

bagaimana perang antara amerika syarikat dan iran boleh tercetus

Sekatan yang dikenakan oleh AS telah memusnahkan ekonomi Iran, dan Tehran sangat mahukan ianya ditarik balik.

Tetapi disebabkan tiada pilihan, para pemimpin Iran boleh memilih taktik yang lebih ganas untuk mencapai matlamat mereka, terutamanya selepas kematian Soleimani.

Tentera Iran boleh mengebom kapal tangki minyak Amerika yang melalui Selat Hormuz, sebuah laluan penting bagi perdagangan tenaga global yang agresif dipatrol oleh pasukan Tehran, menyebabkan kehilangan nyawa atau bencana tumpahan minyak.

Penggodam Iran yang mahir juga boleh melancarkan serangan siber besar-besaran ke atas sekutu serantau seperti Arab Saudi atau Emiriah Arab Bersatu.

Israel boleh membunuh saintis nuklear Iran, yang membuatkan Iran menyerang kembali dan menarik Amerika Syarikat ke dalam perbalahan itu, terutama jika Tehran bertindak balas dengan tegas.

pengeboman berek tentera as di beirut oleh iran pada tahun 1983

(Pengeboman berek tentera AS di Beirut oleh Iran pada tahun 1983)

Atau proksi berkait dengan Iran boleh mensasarkan dan membunuh tentera serta diplomat Amerika di Iraq. Pilihan terakhir ini dilihatkan yang paling berkemungkinan, menurut pakar. 

Lagipun, Iran pernah mengebom berek Marin AS di Lubnan pada tahun 1983 dan membunuh lebih daripada 600 tentera AS semasa Perang Iraq.

Dan jika ini berlaku, adalah mustahil untuk pentadbiran Trump tidak bertindak balas.

Sekiranya Tehran memusnahkan kapal tangki minyak, membunuh orang dan menyebabkan tumpahan minyak, AS mungkin akan memusnahkan beberapa kapal Iran.

Jika Iran mengeluarkan arahan menembak satu lagi pesawat udara tentera Amerika Syarikat, AS mungkin menyerang beberapa pertahanan udara Iran.

perancangan oleh tentera as

Dan jika militan yang menyokong Iran membunuh orang Amerika di Iraq, maka tentera AS yang ditempatkan di sana boleh membalas, membunuh pejuang militia dan mensasarkan pangkalan operasi mereka sebagai balasan.

Amerika Syarikat juga boleh mengebom pusat latihan tertentu di dalam Iran atau membunuh pegawai tinggi.

Jika ini berlaku, kedua-dua pihak perlu berkomunikasi antara satu sama lain dan mencari cara bagaimana untuk tidak melampaui garis merah.

Masalahnya ialah tidak ada saluran terus antara kedua-dua negara dan mereka tidak mempercayai satu sama lain. Oleh itu, situasi boleh hilang kawalan bila-bila masa.

Cara Amerika Syarikat untuk memenangi peperangan

pesawat pengebom amerika syarikat

Strategi AS kemungkinan besar akan melibatkan kekuatan udara dan laut yang besar untuk menewaskan Iran. 

Tentera AS akan mengebom kapal Iran, melancarkan pesawat perang, tapak peluru berpandu, kemudahan nuklear, dan tempat latihan, serta melancarkan serangan siber ke atas kebanyakan infrastruktur ketenteraan Iran.

Matlamatnya adalah untuk menurunkan daya konvensional Iran dalam beberapa hari dan minggu pertama, menjadikannya lebih sukar untuk Teheran untuk menentang kekuatan Amerika.

Menurut pakar, rancangan itu adalah munasabah sebagai seranga pembukaan yang mengejut, tetapi ia tidak akan membuatkan AS terus memenangi peperangan ini. 

Ini kerana serangan udara AS pastinya akan membunuh beribu-ribu orang Iran termasuklah orang awam.

cara as cuba menang perang dengan iran

Dan perkara ini sekaligus boleh merangsang masyarakat Iran menentang Amerika Syarikat dan berdiri teguh di belakang rejim itu, walaupun Iran sendiri telah melayan rakyatnya dengan teruk dalam beberapa dekad berkuasa.

Terdapat satu lagi risiko, iaitu satu permainan perang pada tahun 2002 menunjukkan bahawa Iran boleh menenggelamkan kapal dan membunuh anak kapal Amerika, walaupun tentera laut AS lebih kuat.

Jika Iran berjaya melakukan ini, ia boleh memberikan imej yang kukuh yang boleh bertindak sebagai propaganda rampasan kuasa bagi rakyat Iran. 

Dan jika Trump pula melakukan perkara yang sama iaitu dengan memusnahkan kapal perang Iran, AStidak akan boleh menyemarakkan semangat rakyatnya.

Trump telah memberikan isyarat bahawa beliau tidak mahu menghantar tentera darat ke Iran atau menghabiskan masa yang lama menentang negara itu.

Ini seiring dengan kecenderungan beliau untuk menjauhkan AS daripada perang asing, terutamanya di Timur Tengah.

Tetapi dengan pembantunya yang agresif, seperti Setiausaha Negara Mike Pompeo, terdapat kemungkinan AS dapat meyakinkan Trump untuk tidak kelihatan lemah dan berperang habis-habisan.

Menurut pakar, pilihan yang dimiliki oleh presiden AS pada masa itu akan menjadi sangat bermasalah. Yang paling berisiko setakat ini adalah menceroboh dan menyerang Iran. 

Iran mempunyai hampir 3 kali ganda jumlah penduduk yang dimiliki Iraq pada tahun 2003 ketika perang bermula, dan 3.5 kali ganda lebih besar.

perang as iran

Malah, ia adalah negara ke-17 terbesar di dunia, dengan wilayah yang lebih besar daripada gabungan Perancis, Jerman, Belanda, Belgium, Sepanyol, dan Portugal.

Geografi Iran juga berbahaya di mana ia mempunyai gunung kecil di sepanjang sempadannya.

Memasuki dari bahagian Afghanistan di timur bermakna mereka terpaksa melintasi dua padang pasir. Cuba untuk masuk dari barat juga adalah sukar walaupun dengan Turki (sekutu NATO) sebagai negara sempadan.

Lagipun, Turki tidak akan membiarkan AS menggunakan Turki untuk menyerang Iraq.

AS boleh cuba memasuki Iran seperti yang dilakukan Saddam Hussein semasa perang Iran-Iraq, berhampiran dengan anak sungai yang berbatasan dengan barat daya Iran.

Tetapi kawasan itu berpaya dan agak mudah untuk dilindungi Iran.

Oleh itu, harapan terbaik untuk pentadbiran Trump adalah konflik ini berakhir secepat mungkin selepas serangan pembukaan mereka bermula.

Jika tidak, dan jika Iran menentang, semuanya akan menjadi bertambah buruk bagi AS dan seluruh dunia.

Cara Iran untuk memenangi peperangan

tentera iran

Leftenan Jeneral Marin AS iaitu Vincent Stewart yang sudah bersara meninggalkan jawatannya sebagai orang kedua tertinggi di  US Cyber Command pada tahun 2019 dan di penghujung kerjayanya, beliau menghabiskan masa di barisan depan perisikan tentera dan komuniti keselamatan siber.

Oleh itu, beliau adalah individu yang mempunyai maklumat terkini tentang bagaimana cara yang mungkin bagi Iran untuk menentang AS.

Menurutnya, strategi Iran mungkin dengan mengelakkan operasi konvesional secara langsung seboleh yang mungkin.

Iran akan cuba menyebabkan kerosakan pada skala global, menyerang kepentingan AS melalui operasi siber dan sasaran keganasan dengan niat untuk memperluaskan konflik, sambil menggalakkan komuniti antarabangsa untuk menghalang tindakan Amerika.

Dalam erti kata lain, Tehran tidak dapat menandingi kekuatan senjata Washington.

Tetapi ia boleh menyebarkan huru-hara di Timur Tengah dan di seluruh dunia, dengan harapan bahawa masyarakat AS yang tidak tahan dengan peperangan serta masyarakat antarabangsa yang marah membuatkan Amerika menarik diri.

kataib hezbollah

(Kataib Hezbollah)

Ini mungkin kelihatan seperti sesuatu yang sukar tetapi para pakar percaya Iran mempunyai kebolehan ini dan akan melakukannya untuk mencapai apa yang dimahukan. 

Rangkaian proksi dan unit elit Iran yang luas seperti Pasukan Pengawal Revolusi Iran boleh diperintahkan untuk membunuh tentera, diplomat dan rakyat AS di seluruh rantau itu.

Tentera AS di Syria agak lemah dan kekurangan sokongan, membuatkan mereka menjadi sasaran mudah.

AS juga mempunyai beribu-ribu orang awam, tentera dan kontraktor di Iraq, yang mana kebanyakannya bekerja di kawasan di mana militan Iran beroperasi.

Sekutu AS juga boleh menjadi sasaran utama. Hezbollah, kumpulan tentera yang disokong Iran di Lubnan, mungkin menyerang Israel dengan roket dan memulakan perjuangan kejamnya sendiri.

Bukan itu sahaja, Iran juga boleh menggalakkan organisasi pengganas atau proksi lain untuk menyerang di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, dan negara-negara Teluk yang lain.

Tahun lepas, ia merancang dan melaksanakan serangan drone ke atas dua kemudahan minyak utama Arab Saudi utama yang menjejaskan pasaran dunia.

Sokongan Iran terhadap pemberontak Houthis di Yaman akan semakin meningkat, menawarkan lebih banyak senjata dan dana untuk menyerang lapangan terbang, pangkalan tentera dan loji tenaga Arab Saudi.

iran mempunyai hubungan baik dengan rusia dan china

(Iran mempunyai hubungan baik dengan Rusia dan China)

Sementara itu, negara-negara seperti Rusia dan China yang mana kedua-duanya sangat rapat dengan Iran, akan cuba menghalang pertempuran dan pada masa yang sama, memanfaatkan saat ini.

China sangat bergantung terhadap eksportnya yang melintasi Selat Hormuz, jadi ia mungkin akan menenangkan Iran supaya Tehran tidak menutup jalan air tersebut.

Rusia mungkin akan menuntut pengekangan, tetapi menggunakan peluang itu untuk memperkuat hubungannya dengan Iran.

Para pakar juga menyatakan bahawa Iran kemungkinan besar memiliki "ejen senyap" di Eropah dan Amerika Latin, di mana mereka ini boleh muncul apabila diperlukan dengan cara yang dramatik dan ganas.

Sebagai contoh pada tahun 1994, pengganas yang dikaitkan dengan Iran mengebom hab masyarakat Yahudi di Buenos Aires, ibu negara Argentina, yang membunuh 85 orang dan mencederakan kira-kira 300 yang lain.

Tragedi ini kekal sebagai serangan pengganas terbesar dalam sejarah Amerika Latin, dan kemungkinan akan berlaku yang lebih besar.

Pada tahun 2018, Argentina menahan dua lelaki yang disyaki mempunyai hubungan dengan Hezbollah.

tentera siber iran

(Tentera siber Iran)

Sementara itu, Iran adalah ancaman besar kepada AS dalam dunia maya. Bermula pada tahun 2011, Iran menyerang lebih daripada 40 bank Amerika, termasuk JPMorgan Chase dan Bank of America.

Serangan itu membuatkan bank menghadapi masalah untuk melayan pelanggan dan pelanggannya menghadapi masalah menggunakan perkhidmatan bank.

Pada tahun 2012, Iran melancarkan malware ke rangkaian Saudi Aramco, sebuah syarikat minyak utama, yang memadamkan dokumen, e-mel, dan fail lain dalam komputer syarikat sekitar 75%, lalu menggantikannya dengan imej bendera Amerika yang terbakar.

Dan dijangkakan para penggodam Iran akan mencetuskan huru-hara yang lebih dahsyat di tengah-tengah peperangan.

Jika kesemua faktor ini diambil kira, peperangan antara Amerika Syarikat dan Iran akan menjadi satu pertarungan yang sangat kejam dan jahat.


Anda rasa, siapa yang akan menang? Dan apakah yang akan terjadi kepada dunia selepas itu?

Rujukan:

1. Armed Forces

2. CNN

3. Vox




Hakcipta iluminasi.com (2017)