Tindakan bersin secara terbuka amatlah menjengkelkan, walaupun ramai yang mempraktikkannya. Kita bersin kerana pelbagai sebab. Selain daripada mempertahankan badan daripada alergen atau disebabkan oleh penyakit, sesetengah daripada kita bersin selepas makan terlalu banyak, terhidu bau lada, tersedut habuk dan lain-lain lagi. 

Mengapa Kita Bersin?

BESARKAN TEKS     A-  A+

mengapa kita bersin 152

Mekanisme bersin bertujuan untuk mengusir zarah asing (termasuklah kuman) dan perengsa daripada ruangan pengudaraan anda, terutamanya dalam rongga hidung, dan ianya merupakan refleks perlindungan. Menurut seorang doktor, iaitu Dr. Moss, beliau sentiasa menasihati pesakitnya untuk melepaskan bersin, dan mengelakkan diri daripada menahannya. 

Para saintis percaya bahawa bersin sebenarnya merupakan isyarat sosial kepada orang lain bagi menunjukkan seseorang itu sedang berada dalam keadaan tidak sihat dan perlu dijauhi. 

Adab Dalam Bersin

adab dalam bersin

Tips bagi bersin dengan cara yang betul adalah dengan menutup bersinan tersebut. Kalau boleh, gunakan tisu atau sapu tangan, berbanding menggunakan tangan semata-mata kerana cara ini boleh menyebabkan penyebaran lendir dan bakteria apabila anda menyentuh sesuatu.

Mungkin anda boleh menggunakan tangan anda, namun terus basuh setelah bersin. Tidak kisahlah apapun penyebab anda bersin, basuh tangan dengan air suam sekurang-kurangnya selama 20 saat, kemudian sabunkan dan bilas. Penggunaan 'hand sanitizer' juga boleh membantu anda membunuh kuman bersin dan memastikan penjagaan kebersihan yang berkesan. 

Kes Kecederaan Serius Yang Melibatkan Lelaki Yang Menahan Diri Daripada Bersin

bahaya tahan bersin

Awal tahun ini, seorang lelaki British yang berusia 34 tahun telah dimasukkan ke bilik kecemasan di hospital selepas mengalami kesakitan yang perit selepas beliau cuba untuk mengawal (mengelak) dirinya daripada bersin. Apabila dia terasa hendak bersin, dia memicit kedua hidungnya dan menutup mulur rapat. 

Namun apabila tidak dapat mengawalnya dan tersembur bersinnya itu, dia telah mengalami seperti letupan kecil pada bahagian lehernya. Beberapa jam kemudian, dia mula merasai kesakitan yang amat, membengkak dan suaranya berubah.

Pemeriksaan awal menunjukkan bahawa tindakannya sebelum ini telah menyebabkan udara terperangkap di dalam trakea-nya (tiub yang menyambungkan kotak suara dengan paru-paru). Apa yang berlaku sebenarnya adalah tisu lembut di dalam tekaknya telah pecah menyebabkan udara bocor masuk ke dalam lehernya.

akibat tahan bersin

Lelaki tersebut berkata dia kerap menahan dirinya daripada bersin kerana berpendapat bahawa bersin ke udara atau ke arah muka seseorang adalah tindakan yang kurang sopan dan mengotorkan. Ini bermaksud, dia telah melakukannya sejak lebih kurang 30 tahun yang lalu lagi. 

Namun mungkin kali ini dia tidak bernasib baik. Lelaki itu segera dihantar ke hospital dan diberikan antibiotik selama 7 hari dan terpaksa makan menggunakan tiub bagi membolehkan luka pada tekaknya sembuh. Kecederaannya itu adalah luar biasa, hampir sama dengan kesan yang berlaku kepada mereka yang terlibat dengan kemalangan jalan raya atau daripada tembakan senjata api.

Mengapa Kita Dilarang Untuk Menahan Diri Daripada Bersin

jangan tahan diri daripada bersin

Menahan diri daripada bersin sebenarnya berbahaya buat kesihatan manusia, kerana ianya berupaya menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius, termasuklah memerangkap udara di dalam dada, mata mahupun otak, yang akhirnya boleh menyebabkan kecederaan kepada gegendang telinga, pembekuan darah dan rusuk patah.

Sebenarnya menahan diri daripada bersin amatlah berbahaya. Selain daripada apa yang disebut di atas, mengelak daripada bersin boleh merosakkan kotak suara mereka, mencederakan tulang leher dan menganggu saraf pada muka.

Selain itu, tindakan menyekat bersin akan menolak lendir yang dijangkiti kuman masuk melalui tiub eustachian dan kemudiannya kembali ke bahagian tengah telinga. Tindakan ini boleh menyebabkan seseorang itu mendapat jangkitan kuman pada telinganya. 

Kesimpulan

Bersin adalah refleks normal yang perlu dilepaskan. Namun, lakukanlah dengan cara yang sopan kerana sudah pasti kita sendiri geli melihat serpihan bersin yang keluar daripada hidung dan mulut seseorang yang tidak ditutup. Sekiranya tiada tisu mahupun sapu tangan, gunakanlah lengan baju, sekurang-kurangnya ia lebih sopan berbanding menyembur ke udara. Jadi, nasihat penulis, jangan menyekat diri daripada bersin, dan bersinlah dengan beradab. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

menshealth.com

smithsonianmag.com

businessinsider.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)