Penulisan ini ditulis oleh Dr. Muhammad Izzat, seorang Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi, di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi telah mendapat kebenaran mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. 

mati tidur dalam kereta

Hari ini kita dikejutkan dengan berita tentang insiden yang menyebabkan seorang wanita dimasukkan ke hospital dan mengorbankan 3 lagi sahabatnya.

Dilaporkan punca kematian adalah keracunan karbon monoksida akibat #kebocoran gas itu pada kenderaan mangsa. Ia berlaku ketika mereka tidur di dalam kereta yang enjinnya dibiar hidup.

Susulan itu, ramai yang kongsikan fakta tentang keracunan monoksida dan bagaimana ia boleh membahayakan nyawa. Namun, ada beberapa perkara yang kurang diberi penekanan. 

Anda tahu tak apa maksud kebocoran karbon monoksida pada kenderaan? Dari manakah datangnya gas ini? 

Ia bocor dari mana ke mana? Bagaimana nak elakkan kebocoran gas ini? 

Pembakaran bahan api dalam enjin kenderaan menghasilkan beberapa jenis gas yang berbahaya kepada kesihatan, dan salah satu daripada adalah karbon monoksida.

Lazimnya gas ini akan dikeluarkan dari enjin melalui sistem ekzos yang terdiri daripada beberapa bahagian. Sistem ini juga berfungsi untuk mengurangkan bahaya gas-gas berkenaan.

bahaya tidur dalam kereta

Gas pembakaran dari silinder enjin akan melalui:

  1. Manifold/extractor
  2. Exhaust pipe
  3. Oxygen sensor
  4. Catalytic converter
  5. Muffler/silencer
  6. Tailpipe

Catalytic converter berfungsi untuk mengubah karbon monoksida kepada gas yang lebih selamat iaitu karbon dioksida. Kereta yang dibangunkan selepas tahun 80-an pasti ada komponen ini.

OK! Setelah mengetahui hal ini, dah boleh teka di manakah boleh berlaku kebocoran karbon monoksida? Betul, pada sistem ekzos kenderaan, khususnya pada komponen-komponeen sebelum catalytic converter. 

Kebocoran boleh berlaku di sambungan antara enjin, manifold/extractor, exhaust pipe, catalytic converter atau pada komponen itu sendiri, menyebabkan banyak karbon monoksida terbebas.

maut tidur dalam kereta

Catalytic converter ini diwajibkan untuk kenderaan masa kini untuk pastikan asap yang dihasilkan oleh kenderaan lebih selamat dan memberi impak kesihatan yang minima.

Namun, ada pemilik kenderaan membuang catalytic converter dan peredam daripada sistem ekzos kerana ia dapat meningkatkan sedikit prestasi enjin kenderaan mereka. Ini modifikasi bahaya.

Jadi, apakah yang langkah-langkah yang kita boleh lakukan untuk elakkan keracunan karbon monoksida akibat kebocoran gas itu daripada sistem ekzos kenderaan kita?

1. Jika ekzos berbunyi kuat dan kasar, serta ada bau asap yang menyengat hidung, itu merupakan antara tanda kemungkinan ada kebocoran pada ekzos. Bawalah kenderaan untuk diperiksa.

2. Jika keluar notifikasi/amaran logo enjin, periksa sekali sistem ekzos. Logo enjin itu juga akan menyala jika oxygen sensor mengesan ada masalah dengan pembakaran dan gas ekzos.

3. Jangan sesekali buang catalytic converter daripada sistem ekzos kenderaan kita. Ia adalah modifikasi yang membahayakan kesihatan dan alam sekitar, serta menyalahi undang-undang.

4. Tinggalkan amalan memanaskan enjin kenderaan jika kenderaan berada di kawasan yang agak tertutup, seperti di dalam garaj, kolong rumah, bangsal tertutup, dan sebagainya.

5. Tak usah tidur di dalam kenderaan berhenti yang enjinnya dibiarkan hidup, tidak kira tingkap terbuka atau tertutup, pendingin hawa dihidupkan atau dimatikan. Nak tidur dalam kereta, matikan enjin.



Hakcipta iluminasi.com (2017)