apple iphone x pecah

Sebuah syarikat pembekal warranti telefon, SquareTrade telah melaporkan dalam ujian mereka yang Apple iPhone X yang bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi, adalah telefon pintar paling mudah pecah setakat ini.

Takhta tersebut sebelum ini dipegang oleh Samsung Galaxy S8, di mana Samsung S8 menjadi telefon pintar pertama yang pecah pada semua bahagian dalam ujian jatuhan pertama dan mendapat 76 daripada 100 markah. Semakin tinggi markah dalam ujian mereka, semakin tinggi risiko untuk telefon tersebut mudah pecah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apple iPhone X pula dilabelkan sebagai rekaan telefon pintar yang mempunyai risiko 90 daripada 100 markah, melalui ujian mereka.

keputusan ujian square trade

Dengan menggunakan beberapa siri ujian bagi menguji ketahanan peranti terbaru syarikat Apple itu, pada jatuhan pertama setinggi 6 kaki sudah cukup untuk merosakkan skrin telefon tersebut serta mencalarkan bahagian badan.

Jatuhan terus pada bahagian skrin pula menyebabkan bahagian skrin iPhone X retak dengan bahagian kacanya mula longgar. Bahagian belakang telefon tersebut yang juga diperbuat daripada kaca mengalami retak besar apabila dijatuhkan pada bahagian belakang.

Walaupun ada pihak mempertikaikan hasil ujian yang dijalankan oleh SquareTrade yang dikatakan lebih berminat untuk mempromosikan warranti tambahan bagi peranti-peranti telefon yang mereka jual, SquareTrade menafikan dakwaan tersebut. Ujian yang dijalankan oleh SquareTrade bertujuan untuk mengenalpasti dakwaan pihak Apple, yang mendakwa kaca yang meliputi iPhone X adalah paling lasak pernah digunakan dalam peranti keluaran mereka setakat ini.

Peminat-peminat produk Apple menafikan dakwaan SquareTrade dengan ujian-ujian yang mereka lakukan sendiri, namun konklusi sama turut diperolehi oleh pihak CNet, media gergasi Amerika Syarikat yang melakukan ujian yang hampir serupa dengan ujian SquareTrade.

Dalam ujian CNet, iPhone X yang dijatuhkan hanya dari jarak 3 kaki sudah mengalami retakan pada jatuhan pertama dan dalam siri ujian lain, iPhone X tidak berupaya tahan dan mengalami kerosakan teruk.

Apa yang menakutkan, kos untuk membaiki peranti yang berharga RM5000 lebih di Malaysia ini juga tinggi dan serta sukar dibuat, menjadikan Apple iPhone X diisytiharkan sebagai telefon pintar paling mudah pecah dan cukup sukar untuk dibaiki, berdasarkan ujian CNet, ketinggian 3 kaki pun sudah cukup untuk menjahanamkan iPhone X anda.

Nasihat kami, andai ada di antara pembaca Iluminasi yang mampu membeli sebuah Apple iPhone X ini, gunakanlah bekas pelindung untuk telefon anda sejak hari pertama anda membelinya. Takut-takut jatuh dan pecah, membuatkan anda kerugian ribuan ringgit sekelip mata.

Rujukan

Why the iPhone should be handle with extra care




Hakcipta iluminasi.com (2017)