Oleh pada 21 Feb 2017 kategori

Ada sesetengah orang suka tumbuk atau blend sambal belacan banyak-banyak, lepas dah makan cicah sikit-sikit terus taktau nak buat apa dengan sambal leftover tu. Jangan membazir! Simpan lebihan sambal belacan. Berikut idea menu mudah, cepat dan sedap yang anda boleh buat menggunakan lebihan sambal belacan:

1. Nasi goreng sambal belacan

nasi goreng sambal belacan

Tumis hirisan bawang dan goreng sambal belacan sehingga garing. Masukkan ayam, sayur pilihan anda dan kacau sehingga masak. Pecahkan sebiji telur kemudian masukkan nasi putih. Tambah perisa mengikut citarasa dan gaul rata. Kalau suka, boleh masukkan ikan bilis goreng rangup sebelum tutup api. Rasa saling tak tumpah macam nasi goreng kampung!

2. Ikan ala balado

ikan ala balado sambal belacan

Tumis hirisan bawang bersama sambal belacan. Setelah naik bau, masukkan sedikit air/perahan air asam jawa. Setelah menggelegak tambah perisa secukupnya sebelum dituang ke atas ikan yang telah digoreng garing.

Boleh juga tukar dengan sotong, udang, ayam atau daging. Hidang panas-panas bersama nasi putih. Fuhhhh.

3. Kailan goreng sambal belacan

kailan sambal belacan

Ini lauk biasa di restoran makanan laut. Tumis hirisan bawang bersama sambal belacan. Masukkan sedikit sos tiram. Jika suka, boleh juga masukkan sedikit ikan bilis atau udang kering. Masukkan sayur, bahan perasa secukupnya dan gaul rata. 

Kalau tak suka kailan, boleh je ganti dengan bendi, sawi, kubis, lobak merah, terung, kacang panjang atau apa-apa sajalah sayur yang anda nak. Nak buat sayur campur goreng pun ngam!

4. Jemput-jemput sambal belacan

cucur ikan bilis sambal belacan jemput jemput

Bancuh tepung untuk buat cucur/jemput-jemput seperti biasa. Masukkan sambal belacan, hirisan bawang dan ikan bilis ke dalam bancuhan. Goreng seperti biasa. Makan panas-panas sambil hirup teh-o.

Kalau anda tapau nasi campur dan ada lebihan sambal belacan, bolehlah masak dinner guna sambal belacan tu. Selamat mencuba!


tags : , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)