Oleh pada 22 Feb 2019 kategori

Burger Malaysia atau nama lainnya pau sambal adalah menu yang amat terkenal di kalangan masyarakat kita. Lazimnya, burger Malaysia merupakan antara makanan yang dicari-cari setiap kali berkunjung ke pasar malam.

Terdapat bahan-bahan seperti sambal tumis, hirisan timun dan telur dadar dalam sebuah pau. Paling lazat sekali apabila inti sambal ikan bilisnya agak pekat supaya burger tidak lembik.

Hidangan ini amat sesuai untuk dijadikan sebagai minum petang. Sekadar cadangan, jika terdapat sambal lebih apabila anda memasak nasi lemak dan sambal itu boleh digunakan untuk membuat burger Malaysia.

Jika dibeli di gerai, ia boleh menjadi tidak puas dimakan kerana sambal intinya sedikit dan kadangkala terdapat hanya sambal tanpa ikan bilis.

Burger Malaysia atau Pau Sambal

Bahan-bahan:

Bahan A:

  • Tepung gandum (250gm) - diayak dahulu
  • Yis kering (5gm) - mauripan
  • Gula halus (30gm)
  • Susu tepung (1 sudu besar)
  • Bread improver (1/4 sudu)
  • Bread softener (1/2 sudu)

Bahan B:

  • Garam (1/4 sudu)

Bahan C:

  • Air sejuk (100gm) dari peti ais dan telur (1 biji) - dikacau rata

Bahan D:

  • Marjerin Bunga Mas/Pelangi/Buttercup (30gm)

Cara-caranya:

Nota:

➡ Pemilik resepi adun bahan-bahan di dalam mixer industri.

➡ Sesiapa yang mempunyai bread maker, boleh uli doh di dalamnya. Ikut cara di bread maker masing-masing.

➡ Jika anda mempunyai mixer dough yang boleh uli tepung 500gm pun boleh.

➡ Jika mixer industri, paling sedikit 1kg tepung baru boleh diadun.

1. Masuk bahan A ke dalam mangkuk dan putar bagi rata.

2. Masukkan pula bahan B dan putar lagi.

3. Masukkan pula bahan C dan pukul sehingga sebati dan di tepi mangkuk tidak kelihatan tepung dan licin.

4. Masukkan pula bahan D. Pukul sehingga doh menjadi elastik.

5. Keluarkan doh tadi ke atas silicon mat.

6. Timbang doh 30gm sehingga habis doh tadi. Anggaran 13-14 biji.

7. Rounding doh jadikan bentuk bulat.

8. Letak doh yang sudah siap dirounding ke dalam dulang yang telah diayak tepung terlebih dahulu supaya doh tidak melekat.

9. Biar doh naik dalam 30-40 minit. Selepas 20 minit doh naik, tekankan sedikit doh tadi. Jangan tekan sehingga leper pula. Untuk dapatkan bentuk sahaja. Biar naik lagi dalam 10-20 minit lagi.

10. Apabila sudah naik, panaskan minyak yang secukupnya. Ketika proses penggorengan, pastikan api tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Pastikan juga minyak sudah cukup panas.

11. Apabila pau bahagian bawah sudah kuning keemasan, baru boleh diterbalikkan. Tunggu sehingga bahagian atas tadi masak seperti bahagian bawah tadi.

12. Apabila sudah masak, angkat pau dan toskan terlebih dahulu dalam penapis. Baru diletak atau disusun ke dalam dulang yang telah diletak tisu dapur terlebih dahulu.

13. Apabila pau sudah suam-suam sejuk, bolehlah dipotong dengan pisau yang tajam. Potong jangan putus ya.

14. Kemudian, boleh disudukan sambal tumis secukupnya, hirisan timun dan potongan kecil telur dadar. Siap dan sedia untuk dinikmati.

burger malaysia 566

Tips:

✔ Untuk buat banyak, sila gandakan bahan-bahannya.

✔ Untuk yang tiada bread maker,mixer dough atau mixer industri, boleh sahaja uli dengan tangan. Namun, caranya berbeza. Boleh rujuk disini.

✔ Resepi ini juga boleh digunakan untuk membuat donut gebu.

Sumber:

1. Faiezah Ramsudi [12]

2. Khazanah Resepi (khazanahkoleksiresepi.blogspot.com) [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)