Situasi politik di negara kita ketika ini, jika anda tanya penulis 'bagaimana?' bolehlah penulis simpulkan sebagai mengelirukan.
Kita sebagai orang kebanyakan sedang berada dalam situasi keliru dan kehairanan, kerana iklim politik negara sekarang...tak mudah untuk diterjemahkan ke dalam bentuk ayat. Nak kata sangat baik? Tak. Nak kata terlalu buruk, pun tak. Situasinya seakan kita layan sajalah semuanya.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun demikian, kemelut politik kita dalam tempoh separa dekad sebelum ini telah banyak mengajar kita tentang sikap dan sifat sebenar individu yang bergelar ahli politik. Berikut adalah lima pengajaran tentang kelakuan mereka yang harus kita terima.
1. Janji tinggal janji
Anda sensitif dengan perkataan janji sekarang ini? Kami hulurkan tangan memohon maaf. Kita tidak boleh lari daripada mengakui bahawa majoriti rakyat Malaysia dah sedar; janji ahli politik ni dengar boleh, percaya jangan.
Kami yakin di luar sana masih ramai yang ternanti-nanti bilakah detiknya janji yang bukannya sekadar janji mulut, tetapi sudah didokumenkan dalam bentuk manifesto akan dipenuhi.
Sudahlah janji tidak dipenuhi, yang buat ramai rakyat Malaysia sakit hati, ada ahli politik bukan sekadar berani berjanji malahan tidak lagi malu memungkiri janji.
2. Makan kawan
Dulu penulis sukar nak percaya bila ada yang kata dalam politik, kawan makan kawan dan musuh dalam selimut ni perkara biasa. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ni, jelas perkara tu banyak benarnya.
Kita dapat tengok jajaran politik baru dibentuk oleh ahli-ahli politik yang selama ini depan kita bercakaran. Yang membuatkannya jadi lebih menghairankan (ingat apa penulis sebut di atas?) individu-individu yang sebelum ini akrab dan rapat, tiba-tiba sudah tidak lagi dilihat ada nilainya sebagai kawan.
Takut penulis melihat bagaimana budaya makan kawan dan cipta musuh berlaku. Lebih menakutkan penulis, kita orang biasa tak tahu sama ada itu semua lakonan atau benar-benar terjadi kerana tipu daya ahli politik memang luar biasa.
3. Hipokrit
Kami sudah sebut tentang janji di atas dan itu satu perkara yang kita kena hadap. Cuma bila masuk perangai ahli politik hipokrit ni, memang membuatkan darah siapa-siapa pun menyirap.
Mereka boleh buat seolah apa yang sedang mereka lakukan tu walaupun bertentangan dengan apa yang selama ini perjuangkan, sebagai perkara biasa. Langsung tak terkeluar sedikit pun muka bersalah atau wajah penyesalan. Bagi mereka, semua yang mereka lakukan, WAJAR mereka lakukan.
Depan pihak ini, mereka pakai topeng lain. Depan pihak itu, mereka guna topeng berbeza. Bila dipersoal ada saja jawapan mereka, nak membenarkan perubahan mereka.
4. Pemenang anugerah pelakon terbaik
Dalam era media sosial; semua tindak-tanduk, buah fikiran dan kata yang ahli politik lontarkan; direkodkan dalam internet. Apatah lagi sekiranya seorang ahli politik itu aktif menggunakan akaun media sosialnya.
Dan daripada bukti-bukti jelas yang ada inilah, agak mudah untuk orang biasa seperti kita kembali mendapatkan gambaran tentang sesuatu isu sebelum itu. Tetapi ahli politik kita pula seakan tidak segan pun dengan pendedahan yang dilakukan.
Sebaliknya ramai yang mempunyai pasukan media sosial, mula mengarahkan agar perkongsian yang jelas menyimpang jauh daripada agenda mereka ketika itu atau merugikan kerjaya mereka diturunkan.
5. Kemahiran tak semestinya perlu
Di antara banyak perangai ahli politik yang ada, yang ini paling jelas memberi kesan kepada kita. Adalah amat aneh kenapa seorang ahli politik yang kadangkala tidak cekap, tidak mahir dan mungkin juga tidak tahu, boleh diberikan peluang untuk mentadbir dan membuat keputusan yang jelas diluar bidang kebolehannya.
Orang ramai terpaksa berhempas pulas ke sana sini menghadiri sesi temuduga yang sejak awal ditetapkan sudah apa kelayakannya. Nak sijil, diploma, ijazah, sarjana. Mesti ada kepakaran dan kemahiran dalam bidang sekian-sekian. Kita tidak mahu pegawai perubatan datang daripada individu berkelulusan kejuruteraan sivil, sebagai contoh.
Tetapi semua syarat kelayakan ini jelas nyata langsung tidak terpakai pada seorang ahli politik. Asalkan dia mempunyai pengaruh untuk menang pilihanraya, itu sudah cukup untuk dia dijadikan pembuat keputusan dalam perihal yang sebelum itu belum pernah dia sentuh pun.
Adakah di Malaysia ada gerakan politik yang mahu memperbetulkan kepincangan ini? Maaflah. Kalau diperbetul, di mana untungnya pada mereka?