Oleh pada 07 Jul 2021 kategori

Lapan tahun lalu, Forbes pernah menyenaraikan Isabel dos Santos sebagai wanita terkaya di Afrika dengan kekayaan bernilai sekitar USD 3.5 (RM 14.55) bilion. Anak perempuan kepada bekas Presiden Angola yang paling lama berkuasa itu rupa-rupanya menjadi sangat kaya hasil menjarah harta negara.

Kini, setelah bapanya kehilangan kuasa sebagai ketua kerajaan, empayar yang dibina Isabel hanya tinggal kenangan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Wanita terkaya Afrika

Dia menghadapi tuduhan rasuah oleh kerajaan negaranya sendiri, kesemua asetnya dibekukan oleh pihak mahkamah dari tiga buah negara berbeza dan satu lagi tuntutan hutang belum langsai bernilai ratusan juta dolar dari sebuah negara lain.

Forbes menganggap dia tidak lagi mempunyai sebarang akses kepada hartanya yang dibekukan. Malah, dia juga dijangka tidak akan berjaya mendapat kembali aset-aset tersebut yang dianggarkan bernilai USD2.2 bilion setakat Januari 2020. Perkara itu menyebabkan Forbes bertindak mengeluarkan terus nama Isabel daripada senarai manusia terkaya Afrika 2021.

isabel dos santos 641

Walaupun begitu, status bekas "puteri" Afrika ini tidaklah terus bertukar menjadi seorang papa kedana. Dia dilaporkan masih memiliki kediaman mewah di sebuah pulau persendirian di Dubai, sebuah lagi kediaman di London dan juga kapal layar bernilai USD35 juta. Dia juga berkemungkinan besar mempunyai akaun bank dan aset-aset lain yang belum dapat dikesan oleh pihak berkuasa dan juga Forbes.

Isabel dikatakan sering membahagikan masanya di Dubai dan London. Mendiang suaminya, Sindika Dokolo, mati lemas dalam satu kemalangan menyelam di Dubai pada Oktober 2020 dan dikebumikan di Westminster Cathedral, London.

Kleptokrasi menuju kekayaan

Presiden Jose Eduardo dos Santos telah memerintah Angola, sebuah negara miskin tetapi kaya dengan hasil minyak dari tahun 1979 hingga 2017.

jose eduardo dos santos

Presiden Jose Eduardo dos Santos, lelaki terkaya Angola

Isabel, anak sulung kepada presiden telah memperoleh saham penting dalam beberapa industri strategik Angola seperti perbankan, simen, berlian dan telekomunikasi. Ini menjadikannya sebagai ahli perniagaan paling berpengaruh di negara itu.

Separuh lagi asetnya adalah dari saham syarikat di Portugal (Angola merupakan bekas jajahan Portugis). Ketika Forbes menamakan Isabel dalam senarai bilionair pada 2013, kerajaan Angola dengan bangga menyebarkan berita itu sebagai satu pencapaian negara.

Isabel boleh dikatakan mempunyai bahagian dalam kebanyakan pelaburan besar di Angola. Di Portugal pula, syarikat-syarikat yang dilaburkan oleh Isabel terdiri daripada beberapa bank, sebuah syarikat televisyen dan sebuah syarikat kejuruteraan.

Kesemua syarikat ini telah menutup mata terhadap dana pelaburan Isabel yang diragui. Ana Gomes, anggota Parti Sosialis Portugal dan bekas calon presiden 2021 pernah menyoalkan perkara ini.

Menurut Ana, tiada siapa menanyakan dari mana sumber wang ini dan mengizinkan Isabel "mencuci wang" melalui sistem negara mereka. Ana Gomes juga mengemukakan perincian dakwaan pengubahan wang haram kepada pihak kehakiman Portugal sejak tahun 2016 tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

ana gomes

Ana Gomes

Bahkan, Isabel menyaman Ana Gomes pada awal tahun 2020 di mahkamah Portugal kerana memfitnahnya. Walau bagaimanapun, Isabel kalah dalam kes itu tetapi peguamnya membuat rayuan atas keputusan itu.

Keruntuhan empayar Isabel Dos Santos

Salah laku Isabel mula terbongkar di bawah kepimpinan presiden baru Angola, Joao Lourenco, pengganti bapanya yang bersara pada September 2017.

Lourenco berjanji akan memerangi korupsi yang menjadikan Angola terkenal di mata dunia (Transparency International menamakan Angola sebagai salah satu negara paling korup di dunia). Lourenco telah memecat Isabel sebagai ketua firma minyak negara, Sonangol, yang dilantik bapanya sendiri pada Jun 2016.

Pada Disember 2019, mahkamah Angola telah membekukan aset milik Isabel dan suaminya di negara itu termasuk pegangan dalam firma telekomunikasi dan beberapa bank.

isabel dan suami

Isabel dan mendiang suaminya, Sindika Dokolo

Mahkamah juga memerintahkan syarikat Exem Energy BV milik pasangan itu untuk membayar sekurang-kurangnya RM 310 juta yang dihutang daripada Sonangol. Namun, mereka gagal berbuat demikian.

Mahkamah juga mendakwa pasangan itu dan seorang rakan niaga mereka telah menyebabkan kerajaan Angola kerugian sekurang-kurangnya RM 4.6 bilion. Kini, pasangan itu berhadapan dengan tuduhan yang melibatkan rasuah, penyelewengan dan penggubahan wang haram.

Pendedahan Luanda Leaks

Tidak lama selepas itu, banyak maklumat Isabel dan suaminya tersebar kepada umum melalui Luanda Leaks, koleksi 700,000 dokumen yang dimiliki oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa. Ia mengesahkan pelbagai salah laku pasangan itu.

Luanda Leaks juga menerangkan bagaimana firma perunding dan perakaunan seperti McKinsey, PwC, bank serta peguam membantunya mengumpul kekayaan dan memindahkannya ke luar negara.

luanda leaks

Isabel bukan satu-satunya individu yang menjarah harta negara untuk kekayaannya. Rasuah telah merebak jauh ke dalam golongan elit politik di Angola.

Pihak berkuasa di beberapa negara seperti Portugal, UK dan Netherlands juga telah memulakan siasatan terhadap Isabel dan membekukan asetnya bernilai berbilion-bilion dolar. 

Negara dan rakyat menjadi mangsa

Namun, selama manakah kes Isabel ini akan selesai? Proses pengadilan mahkamah biasanya berlarutan bertahun-tahun lamanya. Pemulihan aset negara juga akan memakan jangka masa yang panjang. Negara dan rakyat terpaksa menanggung bebannya.

Menurut laporan Program Pemulihan Aset Dicuri oleh Bank Dunia berjudul "Few and Far", terdapat jurang yang besar antara aset yang dicuri dan dipulihkan.

isabel dos santos meme

Antara tahun 2010 hingga 2012, dianggarkan hanya sekitar RM 600 juta sahaja aset dipulihkan berbanding RM 84 bilion hingga RM 166 bilion yang dicuri dari negara membangun setiap tahun.

Sejak Angola mula menjatuhkan tuduhan terhadap Isabel pada awal 2020, beberapa laporan mengatakan bahawa negara itu akan mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadapnya. Setakat ini, ia tidak berlaku dan Isabel masih bebas bergerak antara Dubai dan UK.




Hakcipta iluminasi.com (2017)