Sumber foto: Astro Awani
Sejumlah 1,126 penumpang dan staf perkhidmatan SkyCab yang terkandas di Gunung Machinchang, Langkawi telah berjaya diselamatkan dan dibawa turun ke stesen kaki gunung pada pukul 11 malam tadi.
Terdahulu, 89 pelancong yang terkandas setelah kereta kabel Langkawi SkyCab menghadapi masalah teknikal petang semalam selamat sampai di stesen di Oriental Village sekitar pukul 9.30 malam tadi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin, kesemua pelancong tersebut terkandas dalam kereta kabel sebaik sistem menghadapi kerosakan sekitar pukul 5.48 petang semalam.
Beliau memberitahu, pasukan teknikal Panorama Langkawi Sdn Bhd, anak syarikat LADA dan pengendali sistem kereta kabel itu, terpaksa melakukan langkah secara manual bagi menggerakkan sistem supaya kereta kabel itu turun ke base station.
Menurut Syarikat pengendali SkyCab, Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi), operasi membaikkan perkhidmatan SkyCab sejauh 2.2 kilometer dengan puncak tertinggi 708 meter dari aras laut memakan masa sekitar 5 jam.
"Operasi SkyCab tergendala berikutan gangguan dalam sistem pengendalian yang berlaku pada jam 5.48 petang.
"Ketika kejadian, seramai 88 penumpang terkandas dalam 16 gondola sebelum diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 9.50 malam," ujarnya menerusi sebuah kenyataan, malam tadi.
Kenyataan itu menyebut, staf Panorama Langkawi sedaya upaya melakukan kerja pembaikan sistem pengendalian kereta kabel yang rosak.
"Semua penumpang dan kakitangan yang terkandas berjaya dibawa turun mulai jam 11 malam.
"Selain penumpang yang terperangkap dalam gondola, turut terkandas adalah 210 penumpang dan 36 kakitangan di stesen tengah, manakala 750 penumpang dan 42 kakitangan di stesen tertinggi," ujarnya.
Kenyataan itu memberitahu, operasi SkyCab hari ini bermula pukul 12 tengah hari untuk memberi ruang kepada staf menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.
Sumber foto: terengganutimes.com
Sumber berita:
1. BH Online
2. Bernama
3. Astro Awani