pulau langkawi

Langkawi terdiri daripada sekumpulan 99 buah pulau tropika di persisiran barat laut di Semenanjung Malaysia. Ia terletak lebih kurang 30 km dari Kuala Perlis dan 51 km dari Kuala Kedah. Pulang utama dan terbesar dalam kumpulan itu dikenali sebagai Pulau Langkawi.

Langkawi telah dianugerahkan status "Geopark" oleh badan dunia UNESCO kerana keindahan warisan geologinya yang terdiri daripada landskap indah, binaan batu kapur, gua, gerbang laun, longgokan rumput kering, batu tinggalan glasier dan juga fosil-fosil purba.

kilim geoforest park

Tempat terdapatnya banyak fosil purba

Selain menjadi tempat percutian dan peranginan yang popular, Pulau Langkawi juga mempunyai warisan legenda dan mitos yang menarik. Antara legenda yang popular di pulau ini ialah kisah burung garuda, pahlawan dan puteri kayangan, Mahsuri, gergasi dan banyak lagi.

Salah satu kisah legenda yang menarik dan ingin kami kongsikan bersama pembaca ialah mengenai gergasi yang dikatakan pernah tinggal di sini. Kisah gergasi ini mempunyai kesan yang penting dalam sejarah Pulau Langkawi itu sendiri.

Mat Chinchang dan Mat Raya

pertarungan gergasi mat chinchang mat raya langkawi

Menurut legenda, beberapa ratus tahun yang lalu terdapat sebuah kampung di Langkawi yang dihuni oleh keluarga gergasi. Mat Chinchang atau Cincang dan Mat Raya adalah antara keluarga gergasi yang tinggal di situ. Disebabkan saiz mereka yang besar serta mempunyai kekuatan tenaga luar biasa, bentuk muka bumi Pulau Langkawi telah berubah dengan dramatiknya.

Kisah itu bermula apabila Mat Raya bercadang untuk mengadakan majlis kenduri pada hari pertunangan anak perempuannya dengan anak lelaki Mat Chinchang. Akan tetapi, kedua-dua gergasi itu terlibat dalam pertikaian kerana dikatakan bahawa anak lelaki Mat Chinchang telah berlaku sumbang dengan seorang anak dara lain.

Pertikaian itu menjadi lebih parah ketika tibanya hari kenduri dilangsungkan. Kedua-dua sahabat baik itu, Mat Chinchang dan Mat Raya dikatakan telah bergaduh sehingga bertumbuk, tendang menendang dan menampar antara satu sama lain.

Legenda nama tempat di Langkawi

monumen mat chinchang dan mat raya

Monumen Gergasi Bertarong

Pergaduhan antara kedua-dua buah keluarga ini dikatakan telah mengubah kawasan utama di pulau itu. Cincin pertunangan anak kedua-dua gergasi itu telah dicampakkan dan jatuh di tempat yang kini dikenali sebagai Tanjung Cincin.

Selain itu, peralatan-peralatan yang digunakan untuk memasak ketika majlis pertunangan itu juga habis berterbangan akibat dibaling ke aras satu sama lain. Dikatakan sebuah belanga besar yang dibaling telah pecah dan tempat jatuhnya belanga itu kini dinamakan sebagai Kampung Belanga Pechah.

belanga pecah

Monumen Belanga Pechah

Manakala kuah gulai yang mengalir disebabkan pecahnya belanga itu pula kini dinamakan sebagai Pekan Kuah yang merupakan bandar utama di Langkawi. Tempat di mana kuah gulai itu meresap ke tanah pula kini dinamakan sebagai Kisap.

Menurut legenda juga, sebuah bekas memasak air juga telah pecah semasa pergaduhan pada majlis itu berlangsung. Air panas yang tumpah itu dikatakan tempat di mana terletaknya perigi air panas di kawasan yang dinamakan sebagai Ayer Hangat pada hari ini.

Gergasi bertukar menjadi gunung

pertarungan mat chinchang dan mat raya

Pergaduhan antara Mat Chinchang dan Mat Raya yang berlanjutan menyebabkan kilat dan petir sambar-menyambar. Akhirnya datang pula gergasi yang ketiga bernama Mat Sawar sebagai orang tengah bagi menyelesaikan masalah pertelingkahan mereka berdua.

Menyedari kerosakan yang berlaku dan menyesal dengan kesalahan yang dilakukan mereka, Mat Chinchang dan Mat Raya akhirnya bersetuju untuk bertukar menjadi gunung. Ada juga kisah yang menyatakan mereka bertukar menjadi gunung sekelip mata ketika pergaduhan berada pada waktu puncaknya.

Mat Raya telah bertukar menjadi Gunung Raya manakala Mat Chinchang pula bertukar menjadi Gunung Chinchang atau Cincang. Mat Sawar yang menjadi orang tengah kepada pergaduhan itu pula bertukar menjadi Bukit Sawar yang terletak di antara kedua-dua buah gunung itu. Ia kekal berada di tengah mereka untuk tahun-tahun yang mendatang agar keadaan sentiasa menjadi aman. 

Gunung Raya dan Gunung Mat Chinchang

sky bridge langkawi

Sky Bridge Langkawi

Gunung Raya merupakan gunung tertinggi di Langkawi dengan ketinggian 881 meter dari aras laut. Gunung ini dilindungi dengan hutan hujan tebal dan penuh dengan flora & fauna yang merangkumi kawasan seluas 5000 hektar. 

Ia mengambil masa kira-kira 25-30 minit pemanduan untuk sampai ke puncak Gunung Raya. Anda dinasihatkan supaya pergi pada waktu awal pagi kerana banyak binatang liar aktif pada waktu itu untuk dilihat seperti lutong, monyet macaque, burung helang, burung enggang, tupai terbang dan banyak lagi.

Di puncak Gunung Raya anda akan dapat melihat panorama yang indah Pulau Langkawi dan Laut Andaman. Terdapat juga menara tinjau berdekatan untuk anda mendapatkan pemandangan 360 darjah Pulau Langkawi dan pulau-pulau sekitarnya.

kereta kabel langkawi

Kereta Kabel Langkawi

Manakala Gunung Mat Chinchang atau Cincang pula adalah gunung kedua tertinggi di Langkawi dengan ketinggian 709 meter dari aras laut. Gunung ini juga merupakan gunung tertua di Asia Tenggara dan telah dinobatkan sebagai Tapak Bersejarah Dunia oleh UNESCO.

Di sinilah terletaknya kereta kabel dan Sky Bridge yang menjadi tarikan pelancong di Pulau Langkawi. Kepada mereka yang minat mendaki, anda boleh menaiki tangga yang mempunyai 638 anak tangga sepanjang 1 km. Pada penghujung anak tangga anda akan menemui Air Terjun Telaga Tujuh.

Banyak lagi tempat-tempat bersejarah dan menarik untuk dikunjungi di Pulau Langkawi ini. Anda tidak perlu pergi ke luar negara untuk menikmati percutian pulau dan pantai yang indah kerana semuanya terdapat di pulau bersejarah ini.

Rujukan:

1. Majlis Perbandaran Langkawi

2. Utusan Borneo

3. Mai Singgah



Hakcipta iluminasi.com (2017)