Satu masa dahulu, impian seorang pelajar adalah untuk berjaya dalam peperiksaan UPSR bagi darjah enam atau SRP/PMR bagi tingkatan 3 (yang kini digantikan dengan PT3) agar mampu mereka melayakkan diri ke sekolah-sekolah berasrama penuh.
Sekolah-sekolah berasrama penuh sama ada dalam kategori SBP atau MRSM seringkali diumum sebagai antara sekolah-sekolah terbaik Malaysia, khasnya apabila melibatkan keputusan peperiksaan SPM.
BESARKAN TEKS A- A+
Kecemerlangan yang ditonjolkan mencerminkan kejayaan sistem yang diterapkan di sekolah asrama dari segi akademik.
Persoalannya di sini - dalam usia awal abad ke 21 ini, adakah sistem sekolah asrama masih relevan untuk generasi akan datang?
Keperluan asrama satu masa dahulu
Kenapa sistem asrama atau hostel perlu diwujudkan dalam sistem pendidikan negara kita sejak zaman dahulu lagi?
Keperluan utamanya dahulu adalah untuk membantu pelajar-pelajar, khasnya mereka yang berpotensi tinggi tetapi jauh dari pusat pendidikan berkualiti mendapat kemudahan untuk belajar dengan lebih baik.
Kewujudan jurang yang besar antara fasiliti-fasiliti yang disediakan pihak sekolah di kawasan luar bandar dengan apa yang mampu disediakan pihak sekolah asrama nyata berbeza sama sekali.
Sebuah sekolah asrama mampu memberikan pelajar ruang tempat tinggal yang lebih baik serta fasiliti kelas dan pendidikan yang berkemungkinan besar, tidak wujud di kawasan asal mereka.
Bagaimanapun penambahan sekolah-sekolah berkategori elit memulakan trend baru dalam sistem asrama, apabila pelajar-pelajar terpilih mula disatukan dalam satu premis pendidikan, diberikan kemudahan dan bantuan agar mereka boleh lebih berjaya dalam pendidikan - seterusnya mampu menyumbang kepada negara.
Sistem sekolah elit atau sekolah terpilih ini mewujudkan persaingan antara ahli masyarakat, apabila tujuan masuk ke asrama bukan lagi sekadar membantu meringankan beban keluarga-keluarga kurang berkemampuan sebaliknya bertukar menjadi penanda aras tahap pencapaian seseorang dalam bidang akademik.
Tidak dinafikan kemasukan ke asrama bagi golongan kurang berkemampuan yang berpotensi masih berlaku, tetapi fokusnya kelihatan sudang tercapang ke arah lain dengan penekanan khusus diberikan kepada sekolah-sekolah elit semata-mata.
Apatah lagi sekolah-sekolah elit ini mula diberikan kebenaran untuk meletakkan keutamaan kepada anak-anak bekas alumni sekolah mereka, dalam kemasukan ke sekolah-sekolah kategori ini.
Ini sedikit sebanyak merencatkan fungsi sebenar sistem sekolah asrama, kerana golongan yang berkemampuan tinggi mula memenuhi sekolah-sekolah elit, dibantu dan ditaja walaupun keluarga mereka sendiri sebenarnya lebih daripada mampu untuk menanggung pendidikan anak-anak mereka.
Akhirnya sistem legasi yang disokong oleh alumni-alumni sekolah mula menyempitkan ruang untuk pelajar di luar kelompok untuk cuba masuk, mengakibatkan jurang antara masyarakat semakin ketara.
Asrama patut untuk pelajar susah
Jika berdasarkan pandangan di atas, agak jelas penulis mengkritik sistem sekolah berasrama elit yang wujud sekarang ini namun, kritikan itu tidak menjawab adakah masih relevan sekolah asrama dalam era sekarang?
Pada pandangan penulis, ya - sekiranya sekolah asrama dikembalikan kepada tujuan awalnya ditubuhkan, bagi membantu golongan pelajar berpotensi yang datang dari keluarga kurang berkemampuan agar mereka boleh merealisasikan potensi mereka.
Kos pendidikan adalah agak tinggi, apatah lagi apabila ibu bapa perlu bertungkus lumus memastikan kebajikan anak-anak mereka terjaga dan asrama adalah solusi terbaik, bagi golongan keluarga kurang berkemampuan.
Bagaimana pula dengan pelajar-pelajar dari keluarga berkemampuan yang cemerlang dari segi akademiknya?
Tidak ada salah untuk mereka tetap diambil dalam kemasukan ke sekolah-sekolah asrama seperti SBP atau MRSM, namun kuota pengambilan pada pandangan penulis perlulah mengutamakan pelajar berpotensi dari keluarga kurang berkemampuan terlebih dahulu.
Usaha ini sebenarnya baru saja dimulakan pada tahun 2018 oleh Kementerian Pendidikan, selepas pengenalan kuota 60% pelajar ke SBP dan 65% ke MRSM, mestilah datang dari kalangan pelajar dalam keluarga B40.
Walaupun tidak mencapai sasaran apabila hanya 52% pelajar B40 memenuhi kuota yang ditetapkan untuk tahun 2019, jumlah itu jauh lebih baik berbanding angka 15.3% bagi tahun 2018.
Sedikit sebanyak penulis percaya perubahan ini seandainya dikekalkan, akan membantu sistem sekolah asrama lebih kekal relevan.
Namun kita perlu juga meneliti satu lagi isu besar melibatkan pelajar itu sendiri, iaitu gaya hidup generasi muda sekarang.
Mahukah pelajar hidup di asrama?
Sebagai seorang bekas pelajar asrama era 90-an, penulis sendiri pada mulanya agak canggung untuk menerima hakikat kebebasan untuk menonton televisyen telah tersekat. Jadual hidup pula dikawal mengikut rutin harian yang ditetapkan dan kebebasan untuk keluar, hilang sekelip mata.
Tetapi zaman asrama penulis dan zaman pelajar sekarang terlalu ketara perbezaannya. Sukar untuk seseorang yang sudah dibiasakan dengan dunia di hujung jari mereka, tinggal dalam kelompok yang terputus dari komunikasi sepanjang masa - bagi memulakan hidup ala 'primitif' di asrama.
Dengan lambakan teknologi dan media yang senantiasa aktif setiap masa, tarikan fokus anak remaja zaman sekarang sudah pastilah lebih ke arah penggunaan peranti telefon pintar; yang sudah menjadi sebahagian besar hidup mereka.
Membaca syarat telefon yang dibenarkan dibawa ke asrama saja sudah pasti menyebabkan keluhan kedengaran. Sebagai contoh - MRSM meletakkan syarat agar peranti telefon pelajar yang dibenarkan adalah telefon tanpa sokongan kad memori, bluetooh, kamera, televisyen, GPS, 3G dan 4G.
Jika kami dahulu boleh, kami yakin ramai pelajar yang mampu melakukannya namun kami percaya dugaan yang mereka hadapi, sudah pastilah lebih berat daripada apa yang kami rasai.
Sanggupkah anda sebagai seorang individu, meninggalkan semua kemudahan yang ada untuk membolehkan anda tinggal, belajar di asrama?
Pengaruh ibu bapa membentuk anak
Kenapa kami menekankan peranan teknologi dan media dalam pembentukan minda jiwa remaja? Ini kerana dalam era globalisasi seperti apa yang kita saksikan sekarang, ibu bapa perlulah memainkan peranan yang lebih besar dalam membimbing anak-anak.
Seandainya seseorang pelajar tinggal di asrama, faktor ibu-bapalah yang akan menjadi kerugian besar kepada mereka.
Walaupun guru dan rakan-rakan ada sebagai pengganti, tak ada sesiapa pun mampu menggantikan masakan hasil air tangan ibu setiap hari atau jerkahan lantang bapa yang mahu menegur kesilapan anak mereka.
Generasi muda zaman sekarang sudah terlalu terdedah dengan informasi luar dan sukar untuk kami membayangkan apa perasaan yang akan mereka lalui, apabila kumpulan anak-anak muda ini yang sudah didedahkan kepada kebebasan aspek fizikal dan psikologi, akhirnya disatukan dalam satu kumpulan yang perlu belajar dikekang dalam kedua-dua aspek.
Oleh yang demikian penulis berpendapat agar perubahan yang telah dilakukan pada tahun 2018 dapatlah dikekalkan. Masyarakat juga perlu berhenti melihat sekolah-sekolah elit sebagai sekolah golongan berada, yang layak mengekalkan legasi anak-beranak di sekolah yang sama.
Sekolah asrama sangat relevan untuk dikekalkan asalkan matlamatnya dikembalikan kepada tujuan asal penubuhannya, bagi membantu merapatkan jurang antara masyarakat serta memberi peluang lebih besar pelajar luar bandar kurang berkemampuan belajar dengan sempurna.
Bagi pelajar berkemampuan dan turut cemerlang dari segi akademik, tidak ada apa yang perlu dimalukan untuk anda meneruskan pendidikan di sekolah harian sebaliknya anda patut merasa lebih beruntung kerana tidak perlu terpisah dari ibu bapa, adik beradik, keluarga dan juga sambungan internet anda.
Pastikan anda mampu mengawal penggunaan internet anda, jangan sampai ketagihan pula untuk memastikan anda mampu jadi pelajar berjaya.