Setiap daripada kita pastinya mempunyai kenalan atau ahli keluarga yang kekal kurus walaupun sentiasa makan dalam kuantiti yang banyak. Lebih pelik, mereka yang dianggap unik ini kekal langsing walaupun tidak bersenam dan mengamalkan pengambilan makanan dan minuman yang tidak berkhasiat.
"Untunglah kau, makan banyak tak gemok pun. Aku makan lebih sikit, malas bersenam, mesti cepat je badan naik"
BESARKAN TEKS A- A+
Pernahkan kita terfikir, ke manakah makanan atau minuman tidak berkhasiat yang diambil oleh individu yang kekal kelihatan kurus ini? Bagaimanakah mereka boleh kekal langsing walaupun tidak menjaga pemakanan?
Kebiasannya, kurus atau gemuknya seseorang individu itu diukur dengan menggunakan markah Indeks Jisim Tubuh (Body Mass Index atau singkatannya BMI). BMI dikira berdasarkan jumlah berat badan dan ketinggian seseoran individu itu.
Untuk mengira BMI dan memahami lebih lanjut mengenai BMI, anda boleh lawati laman MyHealth oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Secara umumnya, BMI seseorang individu boleh dikategorikan kepada beberapa kategori antaranya "Kurang berat badan ", "Normal", "Berlebihan berat badan" dan "Obes".
TOFI - “Thin Outside, Fat Inside”
Sekiranya badan anda cepat naik sekiranya tidak menjaga pemakan dan kurang bersenam, ianya merupakan indikator yang boleh digunakan untuk memberi kita motivasi agar mengubah gaya hidup yang lebih sihat.
Berlainan pula dengan individu kurus walaupun tidak menjaga pemakan dan kurang bersenam. Mereka mungkin mengalami satu situasi yang dikenali sebagai TOFI (Thin Outside, Fat Inside) atau dalam bahasa Melayunya kurus di luar, gemuk di dalam.
Situasi TOFI ini menjelaskan mengapa orang kurus tidak semestinya sihat dan juga berisiko untuk mendapat penyakit metabolik seperti kencing manis, darah tinggi, tinggi kolesterol, penyakit jantung dan strok.
Bagi individu yang menhidapi situasi TOFI ini, mereka mungkin tidak cergas, cepat penat dan cepat lesu. Jika diminta berlari 10 kilometer belum tentu mereka mampu. Jika diajak bermain bola mungkin separuh mati apabila terpaksa berlari keliling padang mahu mengejar bola.
TOFI sukar dikesan bagi individu kurus
Individu yang berada dalam situasi TOFI ini sukar dikesan kerana daripada segi luarannya nampak sihat. Malah, individu TOFI ini biasanya adalah mereka yang mempunyai BMI dalam kategori normal.
Akibat pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam, lemak-lemak ini "tersembunyi" bersama organ-organ penting dalaman di tubuh. Lemak degil ini juga dikenali sebagai lemak viseral.
Lemak viseral ini tidak boleh dirasa atau dilihat. Malah, seseorang yang kurus mungkin mempunyai banyak lemak viseral yang membahayakan kesihatannya. Hanya peralatan canggih dan mahal seperti MRI (magnetic resonance imaging) membolehkan doktor mengetahui komposisi tubuh, seterusnya mengetahui berapa banyakkah lemak ini yang ada dalam tubuh ana.
Bahaya lemak viseral tersembunyi bagi orang kurus
Lemak diperlukan oleh tubuh badan untuk berfungsi dengan baik. Namun, lemak yang berlebihan akan memudaratkan tubuh badan. Tetapi jika dibandingkan dengan lemak yang terdapat di bawah kulit anda, lemak viseral cenderung meningkatkan risiko anda untuk masalah perubatan yang serius.
Penyakit jantung, Alzheimer, diabetes jenis 2, strok dan kolesterol tinggi adalah beberapa penyakit yang selalu dikaitkan dengan lemak viseral yang berlebihan di organ dalaman anda.
Para penyelidik mengesyaki bahawa lemak viseral menghasilkan lebih banyak protein tertentu yang merosakkan tisu dan organ badan anda dan menyempitkan saluran darah anda. Keadaan ini seterusnya akan membuatkan tekanan darah anda naik dan menyebabkan masalah lain.
Kajian membuktikan gemuk luaran tapi boleh sihat dalaman
Di Jepun, terdapat sejenis sukan unik yang sudah menjadi identiti negara ini. Dikenal sebagai Sumo, atlet Sumo kesemuanya memiliki tubuh badan yang besar (atau lebih tepat lagi, obes).
Sekumpulan penyelidik dari Imperial Collegetelah melakukan kajian terhadap komposisi lemak para atlet Sumo dengan meletakkan mereka di bawah pengimbas MRI. Penemuan menarik daripada penyelidikan ini mendapati, walaupun atlet Sumo ini secara puratanya mempunyai BMI 56 (kategori obes) dan mengambil makanan sehingga 5000 kalori sehari, mereka mempunyai kurang lapisan lemak pada organ dalaman.
Selain itu, para atlet ini mempunyai kolesterol rendah, mereka mempunyai daya tahan insulin yang rendah dan kadar trigliserida (asid lemak) yang rendah. Dalam erti kata lain. lemak merka hampir kesemuanya disimpan di bawah lapisan kulit.
Diharapkan dengan informasi ini, golongan yang sentiasa kelihatan kurus dan langsing sentiasa beringat bahawa mereka tetap perlu menjaga pemakanan dan bersukan. Kebanyakan golongan ini seringkali tertipu dengan menyangka mereka sihat kerana badan mereka tidak "membesar"seperti rakan-rakan mereka yang lain.
Kredit: