Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan dengan kesihatan awam antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menerbitkan laporan dalam "The Lancet Global Health" pada 5 September yang menggariskan negara-negara yang paling rajin dan malas bersenam, di dunia.
Butiran kajian
Tinjauan terhadap 168 negara tersebut dibuat dengan mengukur tabiat bersenam terhadap peratusan bagi setiap populasi sesebuah negara.
BESARKAN TEKS A- A+
Peratusan tersebut kemudiannya dibandingkan dengan sampel negara-negara lain yang terlibat dalam kajian ini.
WHO mentakrifkan bahasa definisi senaman yang mencukupi adalah senaman dengan sekurang-kurangnya 75 minit aktiviti intensif atau 150 minit aktiviti sederhana setiap minggu, atau kombinasi kedua-duanya.
WHO menganalisis statistik dan trend-trend merentas pelbagai latar belakang ekonomi yang berbeza, dan antara jantina.
Negara paling malas bersenam
Secara keseluruhannya, hanya terdapat 4 buah negara di dunia di mana lebih daripada 50% penduduk tidak melakukan senaman yang cukup.
Negara-negara tersebut adalah Kuwait, Iraq, Amerika Samoa dan Arab Saudi. Dengan itu, keempat-empat negara ini telah ditabalkan sebagai negara paling pemalas bersenam di dunia.
Dan di antara 4 negara paling malas bersenam ini, Kuwait mencatatkan peratusan tertinggi penduduk tanpa senaman yang cukup, iaitu 67% daripada orang dewasa mereka kurang bersenam.
Negara-negara lain yang berada di antara terbawah dalam senarai ini termasuklah Amerika Syarikat yang menduduki tempat ke-143 daripada 168 buah negara.
Seramai 40% penduduk A.S. tidak mendapat senaman yang mencukupi, merangkumi 130 juta rakyat AS. U.K. juga mengalami nasib yang sama, dengan hanya 35.9% populasi mereka bersenam dengan mencukupi.
Negara-negara lain yang tidak aktif termasuk Brazil, dengan 47 peratus, Filipina dengan 39.7 peratus, Singapura dengan 36.5 peratus, dan India dengan 34 peratus penduduk tidak mendapat cukup latihan.
Senarai 10 negara paling malas bersenam adalah seperti berikut:
- Kuwait (67% daripada populasi kurang bersenam)
- Amerika Samoa (53.4%)
- Arab Saudi (53%)
- Iraq (52%)
- Brazil (47%)
- Costa Rica (46.1%)
- Cyprus (44.4%)
- Surinam (44.4%)
- Colombia (44%)
- Kepulauan Marshall (43.5%)
Kedudukan Malaysia dalam senarai ini tidak diketahui, namun negara kita juga berada dalam lingkungan negara yang malas bersenam iaitu di antara 30 hingga 39.9% daripada jantina lelaki malas bersenam, manakala peratusan bagi populasi wanita Malaysia yang malas bersenam lebih tinggi iaitu di antara 40 hingga 49.99%.
Negara paling aktif
Negara dengan populasi tertinggi mendapatkan senaman yang cukup, atau rajin bersenam adalah Uganda. Sebanyak 94.5% daripada populasi Uganda mendapatkan senaman yang cukup setiap minggu.
Dan walaupun sebagai negara dengan populasi tertinggi di dunia, namun China menunjukkan kadar aktiviti senaman yang tinggi, dengan 85.9% daripada populasi mereka mendapatkan senaman yang cukup.
10 negara paling rajin bersenam di dunia adalah:
- Uganda (5.5% populasi tak mendapat senaman yang cukup)
- Mozambique (5.6%)
- Lesotho (6.3%)
- Tanzania (6.5%)
- Niue (6.9%)
- Vanuatu (8%)
- Togo (9.8%)
- Cambodia (10.5%)
- Myanmar (10.7%)
- Tokelau (11.1%)
Trend-trend yang mengejutkan
Menurut hasil kajian, wanita lebih cenderung untuk kurang bersenam berbanding lelaki, dengan perbezaan sebanyak 8% di antara kedua-dua jantina ini.
Organisasi ini juga mencatatkan beberapa trend yang menarik merentasi latar belakang ekonomi yang berlainan.
Secara amnya, penduduk di negara miskin cenderung untuk lebih aktif sebanyak dua kali ganda berbanding penduduk di negara yang kaya dan maju.
(Jumlah lelaki yang tidak mendapat senaman yang cukup di seluruh dunia)
(Jumlah wanita yang tidak mendapat senaman yang cukup di seluruh dunia)
Laporan ini menjelaskan bahawa trend ini boleh dikaitkan dengan fakta bahawa mereka yang berpendapatan tinggi cenderung mempunyai "pekerjaan yang lebih pasif" dan akses yang lebih luas terhadap pengangkutan, mengakibatkan aktiviti fizikal yang lebih rendah.
Boleh dikatakan Malaysia juga tergolong dalam kalangan negara-negara dengan ciri-ciri di atas, menjadikan kita lebih malas untuk bersenam.
Sudahkah anda bersenam hari ini?
Rujukan:
1. IFL Science