Di negara kita, sudah semakin ramai yang nampaknya mahu menjadi ahli kepada pusat-pusat kesihatan yang kini dibuka seperti cendawan lepas hujan.
Wujud kepercayaan yang dengan melakukan senaman lebih kerap, ini akan membantu kita menurunkan berat badan kita dengan lebih baik. Pemikiran ini dibuktikan salah oleh Dr.Michael Mosley, seorang doktor yang mengasaskan kaedah '5:2 Diet.'
BESARKAN TEKS A- A+
Menurut Dr.Mosley, memang benar bersenam membakar kalori, tetapi hakikatnya jumlah kalori yang dibakar lebih rendah berbanding apa yang kita rasakan berlaku.
"Sebenarnya, tubuh kita sentiasa membakar kalori. Ketika kita duduk, kita membakar kalori," kata Dr.Mosley.
Kadar kalori yang diguna itu digelarkan sebagai Base Metabolic Rate atau BMR, yang sebenarnya adalah 60 hingga 70 peratus daripada jumlah tenaga yang kita gunakan setiap hari. Proses penghadaman makanan pula mengambil 10 peratus dari jumlah kalori kita sementara selebihnya pula adalah untuk tindakan-tindakan yang kita lakukan, seperti berjalan, bersenam, bergerak di sofa malahan mengelipkan mata.
Menurut Dr.Mosley, daripada keseluruhan jumlah tenaga yang diperolehi dari makanan kita, aktiviti fizikal hanya mengambil sedikit daripada keseluruhannya, tak kiralah anda adalah atlit, orang yang bekerja berat atau orang kerja pejabat.
Dr.Mosley mengingatkan yang jumlah kalori yang dibakar ketika bersenam selalunya sangat kurang tepat dan kebanyakan orang sebenarnya tidak mampu mencapai kadar latihan yang diperlukan untuk mencapai tahap yang dipaparkan.
"Kajian dah membuktikan, bersenam sahaja tidak menurunkan berat badan," kata Dr.Mosley.
Menurut Dr.Mosley lagi, adalah lebih baik jika orang ramai mengurangkan jumlah kalori yang diambil. Itu sahaja. Pendapat beliau, daripada anda mengambil makanan seperti biasa dan melakukan aktiviti senaman berat, adalah lebih mudah anda membuang atau menukarkan diet anda ke bentuk lain yang lebih rendah kalori.
"Anda mahu berlari selama 30 minit pada kelajuan konsisten 10km/j untuk membakar 372 kalori atau lebih mudah anda tidak mengambil snek atau mengurangkan jumlah pengambilan makanan yang menolak 372 kalori dari diet anda?" hujah beliau.
"Mana satu lebih mudah dilakukan?" soal beliau. "Adalah lebih mudah untuk seseorang itu tahu jumlah kalori makanan yang perlu ditolak berbanding menghabiskan masa berjam di gimnasium untuk berlari."
Bagaimanapun, Dr.Mosley tidak bermaksud yang senaman itu tidak penting tetapi jika anda bersenam hanya untuk mengurangkan berat badan, besar kemungkinan kaedah anda salah.
"Senaman juga membantu mengawal keinginan makan sesetengah orang," kata beliau. "Ini berlawanan dengan fahaman kita selama ini yang percaya senaman membuatkan seseorang jadi mudah lapar."
Dr.Mosley juga menegaskan yang diet, walaupun nampak mudah tetapi sebenarnya susah dilakukan secara konsisten kerana badan kita akan merasa kekurangan makanan secara semulajadi.
"Jika anda suka makan daging tetapi oleh sebab diet anda berhenti makan daging, anda akan gagal mengekalkan rutin diet anda," kata beliau. "Pastikan pemakanan diet anda adalah makanan yang anda mahu terus makan, bukan digantikan dengan makanan yang anda terpaksa makan."
"Diet bukanlah dengan berhenti makan terus, tetapi menggantikannya dengan opsyen lain yang mampu memenuhi nafsu makan kita tetapi mempunyai nilai kalori yang rendah serta amaunnya dikurangkan," kata Dr.Mosley.
Dr.Mosley mencadangkan kepada orang ramai supaya mencuba kaedah Meditteranean Diet yang terbukti berkesan secara saintifik menurunkan berat badan dan pada masa yang sama, mampu membuatkan mereka yang gemar makanan berdaging rasa puas selepas makan.