Oleh pada 25 Nov 2019 kategori

Kredit foto: Instagram Adlin Aman Ramlie & Instagram Ria X

   

Aktres Emelda Rosmila memuat naik rakaman respon suaminya, pelakon Adlin Aman Ramlie sewaktu menonton siaran persembahan bintang Gegar Vaganza 2019 (GV2019), Naqiu yang mendendangkan lagu Juwita nyanyian asal Saleem.

Adlin, 47, dalam video tersebut kelihatan sedang khusyuk menonton sebelum menitiskan air mata dek terharu dengan bakat Naqiu yang disifatkannya sebagai pengganti arwah Saleem.

   

gegar vaganza 2019 904

Kredit foto: Instagram Emelda Rosmila

   

"Haritu Mel dengan Adlin tengok siaran ulangan GV2019. Bila dah habis tu dia suruh ulang semula bahagian Naqiu saja.

"Nak tengok dari awal dia mula menyanyi. Terlebih rewind pun tak boleh, dia cakap 'no no nak dari awal'. Tengok dia asyik betul tonton Naqiu buat persembahan. Jadi Mel rakamlah, jarang nampak dia macam ni," tulis Emelda di ruangan kapsyen kiriman video yang dimuat naik di laman Instagramnya itu.

Emelda berkata, suaminya merupakan seorang yang begitu menghargai bakat insan seni.

"Nampak saja keras, dalam hati lembut. Asyik betul dia tengok Naqiu menyanyikan lagu arwah Saleem sampai sedih. Ada pengganti arwah katanya," kata Emelda.

Di akhir rakaman, Emelda bertanyakan kepada Adlin membabitkan punca suaminya itu bergenang air mata.

"Kenapa awak tengok macam tu? Awak menangis ke? Ya awak menangis. Awak kalau suka tengok satu benda (bakat) tu, sampai menitis air mata," ulas Emelda cuba meraih perhatian Adlin.

Suaminya itu bagaimanapun enggan mengulas panjang, sebaliknya melontarkan pujian menggunung sambil mengakui perasaan sebak yang hinggap kerana mengenangkan bakat hebat Naqiu.

"Teringat arwah Saleem. Insya-Allah kita ada pengganti. Baik.. baik.. baik punya Naqiu.

"Orang mati ke meninggal, tak sedih, tapi apabila tengok bakat itu kita tak tahan, memang baik (Naqiu)," luah Adlin sebagai menjawab pertanyaan isterinya.

Terdahulu, Naqiu mempersembahkan lagu Juwita pada konsert minggu keenam program realiti berkenaan.

                




Hakcipta iluminasi.com (2017)