Oleh pada 07 Apr 2019 kategori

Netizen mengecam seorang model terkemuka, yang mana telah mencetuskan kontroversi ketika masjis persandingannya.

Dalam majlis tersebut, satu persembahan tarian dilakukan oleh seorang lelaki yang berpakaian seperti wanita dalam keadaan separuh bogel.

Persembahan itu dilakukan di hadapan meja makan beradab dan ia telah menimbulkan kemarahan netizen yang rata-rata mengecam tindakan itu, apatah lagi perkahwinan itu dilakukan dengan tema tradisional Melayu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lain pula bagi tuan punya badan, dia mengeluarkan kenyataan bahawa tidak kisah apa yang difikirkan oleh netizen kerana majlis tersebut adalah majlis perkahwinannya dan kos ditanggung olehnya sendiri, bukan orang lain.

Tetapi, adakah majlis yang mengandungi maksiat seperti ini boleh dihadiri oleh orang Islam?

Hukum menghadiri majlis perkahwinan

Sebelum menjawab persoalan ini, harus kita memahami terlebih dahulu hukum menghadiri majlis perkahwinan sebagai asas perbincangan.

Menurut majoriti ulama dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, hukum asal hadir ke majlis perkahwinan jika dijemput khas, adalah wajib.

Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah S.A.W, dari Ibn Umar R.A:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia. (Riwayat Muslim 1053) 

Hukum ini diambil dari kalam baginda yang merupakan perintah yang membawa hukum wajib secara dasarnya dari sisi kaedah fekah.

amar bahrin dan amyra rosli

(Gambar hiasan: Persandingan Amar Bahrin dan Amyra Rosli)

Manakala, hukum sunat dinyatakan oleh mazhab Hanafi dan satu pendapat dalam mazhab Syafie dan Maliki.

Juga terdapat pendapat lain dalam mazhab Syafie dan Hanbali yang mengatakan bahawa ia merupakan satu fardhu kifayah, dan sudah cukup jika dihadiri oleh sebahagian masyarakat.

Hukum menerima jemputan yang mengandungi maksiat

Menurut kesepakatan para ulama, adalah gugur kewajipan seseorang itu daripada menghadiri sesuatu majlis perkahwinan yang mana diketahui mengandungi unsur maksiat atau haram seperti hidangan arak, sedangkan dia tidak mampu memungkirinya.

Perkara ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

قَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ

Maksudnya: Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. (Surah Al-Nisa’ - 140) 

Perbuatan duduk dalam sesuatu majlis yang mengandungi maksiat dan penghinaan kepada ayat-ayat Allah adalah dilarang sama sekali.

Imam Abu Ja’far al-Thabari Rahimahullah dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata:

وفي هذه الآية، الدلالة الواضحة على النهي عن مجالسة أهل الباطل من كل نوع، من المبتدعة والفسَقة، عند خوضهم في باطلهم

Maksudnya: Ayat ini menunjukkan kepada dalalah yang jelas ke atas larangan duduk bermajlis bersama ahli kebatilan dari segenap jenis lapisan. Dari kalangan ahli bid’ah dan juga golongan yang fasiq, semasa mereka melakukan kebatilan tersebut. 

Sebuah riyawat Nabi S.A.W tentang larangan jelas duduk dalam majlis yang dihidangkan, berdasarkan riwayat dari Ibn Abbas RA:

من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يشربِ الخمرَ من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يجلسْ على مائدةٍ يشربُ عليها الخمرَ

Maksudnya: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat, janganlah dia meminum arak. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak.

Fatwa oleh badan-badan berkuasa

persandingan abam bocey

(Gambar hiasan persandingan Abam Bocey)

Syeikh al-Allamah Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah) mengeluarkan fatwa pada tahun 1979 dengan menyatakan berkaitan majlis yang melibatkan pemberian dan penerimaan dadah, dengan berkata:

"Allah memuji hamba-hamba Nya yang menjauhi majlis yang melalaikan.". Maka Allah berfirman:

وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

Maksudnya: (Ciri orang beriman) adalah mereka yang memalingkan diri dari perkara yang melalaikan.

Dan Abu Daud meriwayatkan di dalam sunannya dari Ibn Umar R.A tentang katanya:

نَهَى رسُولُ الله صلَّى الله عليه وسَلَّم عَنِ الجُلُوسِ عَلَى مَائِدَةٍ يُشربُ عَلَيهَا الخَمْرُ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W melarang duduk pada hidangan yang diminum arak di dalamnya.

Terdapat khilaf di antara hukum menghadiri majlis seperti ini, tetapi pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafie dan Hanbali adalah haram.

Ini berdasarkan hadis Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah S.A.W melarang duduk dalam majlis yang terdapat hidangan arak. 

Manakala, mazhab Hanafi pula menyatakan dengan jelas bahawa seseorang itu tidak perlu hadir jika mengetahui jemputan ke majlis perkahwinan itu mengandungi unsur maksiat.

Akan tetapi, ada satu pendapat dalam kalangan ulama Iraq dalam mazhab Syafie yang mengharuskan perkara ini, bersyarat.

Syarat tersebut adalah seseorang itu memungkiri kemungkaran tersebut di dalam hatinya.

Dalam hal ini, keharusan ini adalah beralasan bahawa kehadiran mereka mungkin membuatkan pihak majlis berasa malu seterusnya mengurangkan atau menghentikan kemungkaran yang dilakukan.

Kesimpulan

Jadi, kesimpulan yang boleh dibuat dalam menghadiri sesuatu majlis yang mengandungi unsur maksiat dan kemungkaran harus dilihat dari 2 sudut berikut:

Pertama, jika diketahui terdapat unsur maksiat, adalah tidak perlu dan tidak wajib bagi masyarakat awam untuk hadir, sekiranya kehadiran itu tidak memberikan sebarang kesan kepada majlis.

Yang kedua, untuk para ulama dan tokoh agama, kehadiran ke majlis sebegini dibolehkan jika kehadiran ini menyebabkan pihak majlis berasa malu yang mana boleh mengurangkan atau menghentikan maksiat sepenuhnya.

Wallahualam.

Rujukan:

1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

2. Yadim

3. TZKRH




Hakcipta iluminasi.com (2017)