Oleh pada 16 Apr 2023 kategori

Bagi masyarakat Islam di Malaysia, tradisi memakai kopiah atau songkok di kepala bukan saja semasa menjalankan ibadah bahkan sebagai corak hidup adalah sesuatu yang biasa kita lihat.

Perbuatan menutup kepala walaupun tidak semestinya berkait dengan sesuatu agama, mampu memaparkan identiti agama yang dianuti pemakaianya dengan mudah dek keunikan rekaannya yang berbeza-beza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain Islam, kepercayaan manakah yang turut mengamalkan pemakaian penutup kepala? Berikut adalah lima jenis penutup kepala bagi lelaki yang diamalkan lima agama berbeza.

1. Kippah/Yarmulke

kippah orang yahudi

Namanya seakan-akan 'kopiah' kan? Kami yakin kedua-duanya berkait istilahnya. 'Kippah' adalah penutup kepala lelaki Yahudi yang mirip dengan kopiah tetapi bentuknya hanya separa kopiah biasa.

Biasanya dipakai setiap masa oleh penganut Yahudi aliran ortodoks, mereka yang berpegang kepada kepercayaan lama percaya pemakaiannya adalah satu amalan wajib.

Ini kerana memakai kippah dilihat oleh mereka, sebagai satu perbuatan yang menunjukkan seseorang itu takiut dengan Tuhan. Selain digelar kippah, penutup kepala ini juga dikenali dengan nama yarmulke.

2. Zucchetto

pope francis changes his white zucchetto

Direkabentuk menyerupai sebuah labu yang memberikan namanya, zucchetto adalah penutup kepala yang digunakan oleh penganut Kristian Katolik bagi menandakan pangkat kumpulan paderi dari sesebuah gereja.

Warna yang berbeza diguna bagi menjelaskan kedudukan individu dalam struktur gereja, dengan tiga warna dipilih; ungu, merah dan putih. Warna putih dikhususkan untuk individu paling tinggi dengan hanya Ketua Paderi atau Pope yang dilantik akan memakai zucchetto berwarna putih.

3. Pagri/Dastar/Patka

orang sikh turban

Pemakaian dastar merupakan satu amalan wajib yang diamalkan mana-mana individu lelaki, penganut agama Sikh yang taat.

Diguna bagi melindungi rambut panjang mereka yang digelarkan sebagai kesh, pemakaian dastar mematuhi salah satu daripada lima arahan utama yang ada dalam aliran agama ini, dikenali sebagai lima kakar atau 5K. 

Rambut dilihat sebagai sesuatu yang suci dan dastar melindungi kesucian rambut mereka. Juga dikenali dengan nama pagri, kanak-kanak lelaki Sikh pula mengenakan variasi penutup kepala berbeza dinamakan patka, yang lebih sesuai dengan saiz kecil mereka.

4. Kalimavkion

religion greek orthodox il 6990

Berbeza dengan aliran Katolik, penganut aliran Ortodoks Kristian mengamalkan pemakaian penutup kepala yang dikenali sebagai kalimavkion.

Diperkenalkan pada abad ke 17, topi berbentuk silinder dengan bahagian atas yang rata ini dipakai oleh paderi-paderi gereja semasa majlis keagamaan berlangsung bagi menandakan pangkat dan status perkahwinan seorang paderi.

Biasanya berwarna hitam, negara yang kuat aliran Kristian Ortodoks seperti Greece, Russia, Ukraine dan Serbia kekal mengamalkan pemakaian penutup ini dalam tradisi keagamaan mereka.

5. Shtreimel

topi bulu orang yahudi

Jika anda gemar membaca berkenaan masyarakat Yahudi, pasti anda pernah melihat topi ini kan? Penutup kepala yang diperbuat daripada bulu binatang ini unik bukan saja kerana rupanya, tetapi saiznya yang agak gedabak berbanding kepala.

Ada dua versi penutup ini, shtreimel yang lebih rendah, lebih lebar dan menyerupai bentuk donat dan spodiks yang lebih tinggi dan menegak. 

Menjadi identiti Yahudi dari aliran Hasidim, bulu binatang yang digunakan biasanya datang daripada beberapa spesis musang atau serigala menjadikan kos pembuatannya tinggi dengan harga minima sekitar RM3500. 

6. Fez

fez masyarakat turki

Dipopularkan di negara kita oleh imej-imej Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang gemar mengenakannya, nama penutup kepala ini adalah fez; bersempena tanah asalnya iaitu Bandar Fez yang kini terletak di Maghribi.

Empayar Islam Uthmaniyah cukup terkenal dengan identiti pemakaian fez, diangkat menjadi antara pakaian seragam rasmi tentera mereka.

Bagaimanapun selepas gerakan reformasi yang dibawa Mustafa Kemal Ataturk mengharamkan pemakaian fez, popularitinya mula berkurangan. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)