bagaimana finland selesaikan masalah gelandangan

Pada tahun 2008, terdapat banyak khemah dan pondok bertebaran di celah-celah pokok di taman di Helsinki, Finland. Ia merupakan rumah sementara yang dibina oleh para gelandangan di tengah-tengah ibu kota Finland.

Lebih menyedihkan mereka ini terdedah kepada cuaca yang ekstrem.

Sejak tahun 1980-an, kerajaan Finland telah berusaha untuk mengurangkan gelandangan yang tiada tempat tinggal dengan membina tempat perlindungan jangka pendek.

Walau bagaimanapun, orang-orang yang tiada tempat tinggal jangka panjang masih terbiar.

Tempat perlindungan kecemasan juga terlalu sedikit dan ramai di antara mereka yang terkesan tidak dapat berjaya keluar daripada masalah ini.

gelandangan perlu diberi bantuan

Dan tanpa alamat rumah, mereka ini tidak dapat mencari kerja. Tanpa kerja, mereka tidak dapat menyewa pangsapuri. Ini adalah satu kitaran yang menyedihkan dan mesti dihapuskan.

Selain itu, mereka mempunyai masalah untuk mendapatkan faedah sosial dari kerajaan. Pendek kata, gelandangan-gelandangan di Finland terperangkap dalam masalah ini.

Tetapi pada tahun 2008, kerajaan Finland memperkenalkan dasar baru bagi mereka yang tiada tempat tinggal. Mereka mula melaksanakan konsep "Housing First", dan sejak itu bilangan orang yang terjejas telah menurun dengan sangat ketara.

Usaha kerajaan sangat berjaya di mana Finland adalah satu-satunya negara Eropah di mana jumlah gelandangan berkurangan.

Bagaimana semua orang diberi tempat tinggal di Finland

salah satu kompleks pangsapuri yang dibina sebagai sebahagian daripada strategi gelandangan kebangsaan finland

(Salah satu kompleks pangsapuri yang dibina sebagai sebahagian daripada strategi gelandangan kebangsaan Finland)

Rumah-rumah bagi mereka yang memerlukan ini disediakan oleh NGO seperti "Y-Foundation".

Mereka menguruskan pembinaan rumah-rumah ini sendiri, membeli rumah pangsa di pasaran perumahan swasta dan mengubahsuai rumah pangsa sedia ada.

Pangsapuri mempunyai satu hingga dua bilik dan di samping itu, bekas tempat perlindungan kecemasan telah diubah menjadi pangsapuri untuk menawarkan perumahan jangka panjang.

Orang-orang gelandangan ini menjadi penyewa dengan perjanjian penyewaan di mana mereka perlu membayar sewa dan kos operasi.

Pekerja sosial yang mempunyai pejabat di bangunan kediaman ini membantu dari segi isu kewangan seperti permohonan untuk mendapatkan faedah sosial.

juha kaakinen y foundation

(Juha Kaakinen)

Y-Foundation yang diketuai oleh Juha Kaakinen menerima pinjaman diskaun dari pihak kerajaan untuk membeli rumah. Di samping itu, pekerja sosial yang menjaga para gelandangan dan penyewa lain pada masa hadapan dibayar gaji oleh kerajaan.

Tak cukup dengan itu, loteri di Finland menyokong Y-Foundation ketika mereka membeli pangsapuri di pasar perumahan swasta.

NGO ini juga menerima pinjaman tetap dari bank yang mana kemudiannya dibayar menggunakan perolehan daripada sewa pangsapuri tersebut. 

Bagaimana konsep Housing First berfungsi

rumah pangsapuri dasar housing first di findland untuk gelandangan

Dasar yang digunakan di Finland dipanggil Housing First ini merupakan bantuan gelandangan yang terbalik daripada bantuan konvensional.

Biasanya, para gelandangan di perlu mencari kerja dan membebaskan diri mereka daripada masalah psikologi atau ketagihan, barulah mereka mendapat bantuan dalam mencari penginapan.

Sebaliknya, Housing First menterbalikkan proses itu. Gelandangan terlebih dahulu mendapat tempat tinggal di pangsapuri yang disediakan, tanpa sebarang prasyarat.

Kemudian, pekerja sosial akan membantu mereka untuk memohon faedah sosial dan berpeluang untuk menerima kaunseling secara umum.

Dalam keadaan yang baru dan selamat, golongan yang dulu gelandangan ini lebih mudah untuk mencari pekerjaan dan menjaga kesihatan fizikal serta mental mereka.

Dan hasilnya sangat menakjubkan, di mana 4 daripada 5 gelandangan dapat kekal mendiami pangsapuri mereka untuk jangka masa panjang dengan Housing First dan menjalani kehidupan yang lebih stabil.

kawasan dalam pangsapuri housing first di finland

(Bahagian dalam pangsapuri Housing First di Finland)

Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, program Housing First menyediakan 4,600 rumah di Finland.

Pada tahun 2017, masih terdapat kira-kira 1,900 orang yang tinggal di jalanan, tetapi terdapat tempat yang cukup untuk mereka di tempat perlindungan kecemasan yang membuatkan mereka tidak perlu tidur di luar lagi.

Kos penyediaan tempat tinggal lebih murah daripada tinggal di jalanan

Mewujudkan perumahan untuk rakyat sudah tentunya menelan kos yang agak tinggi.

Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, sebanyak RM1.24 biliontelah dibelanjakan untuk pembinaan, pembelian dan pengubahsuaian perumahan sebagai sebahagian daripada program Housing First.

Walau bagaimanapun, Juha Kaakinen menegaskan bahawa kos ini adalah jauh lebih rendah berbanding kos gelandangan itu sendiri.

graf menunjukkan penurunan jumlah gelandangan di finland

(Graf menunjukkan penurunan jumlah gelandangan di Finland)

Ini kerana apabila orang berada dalam keadaan kecemasan, situasi kecemasan akan berlaku lebih kerap termasuklah serangan, kecederaan dan kerosakan.

Kecemasan seperti ini seringkali melibatkan pihak polis, penjagaan kesihatan dan sistem keadilan, yang mana juga melibatkan kos. 

Jika dibandingkan, Housing First adalah lebih murah daripada orang dibiarkan tinggal di jalanan dan taman.

Kini, kerajaan Finland membelanjakan hampir kurang daripada RM70,000 setiap tahun bagi setiap gelandangan berbanding sebelumnya. 

Tiada penawar ajaib

gelandangan wanita di finland lebih susah dicapai

Dengan 4 daripada 5 gelandangan yang kekal tinggal dalam pangsapuri mereka, Housing First berkesan dalam jangka masa panjang.

Dalam 20% daripada kes, mereka ini berpindah keluar kerana lebih suka tinggal bersama rakan atau saudara mara, atau kerana mereka tidak dapat membayar sewa.

Tetapi walaupun dalam kes seperti ini, mereka tidak digugurkan dari program ini. Mereka boleh memohon semula untuk sebuah pangsapuri dan disokong kembali jika mereka mahu.

Dan sudah tentu, tiada jaminan untuk kejayaan. Ini terutamanya kerana gelandangan wanita sangat sukar untuk dicapai di mana mereka menyembunyikan situasi kecemasan mereka lebih kerap berbanding gelandangan lelaki.

Mereka kurang tinggal di jalanan dan lebih suka tinggal bersama rakan atau kenalan.

Namun begitu, usaha kerajaan Finland ini sangat membantu golongan gelandangan dan boleh dijadikan contoh oleh negara-negara lain.

Rujukan:

1. CBC

2. Scoop

3. Equal Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)