Oleh pada 08 Sep 2018 kategori

Tahun lalu kami pernah mengeluarkan satu artikel mengenai kebaikan hati seorang gelandangan yang membantu seorang gadis untuk mengisi minyak kereta dengan wang terakhir yang dimiliki.

Gadis yang bernama Kate McClure itu kemudian ingin membalas jasa gelandangan tersebut, Johnny Bobbitt, dengan membuka satu laman mengumpulkan sumbangan untuk didermakan kepadanya supaya mempunyai kehidupan yang lebih baik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, baru-baru ini pihak polis telah menggeledah rumah pasangan yang dituduh menyalahgunakan dana terkumpul dari laman GoFundMe yang melebihi 400,000 dolar.

Menurut laporan WPVI-TV, pasukan penyiasat kelihatan menyerbu masuk ke rumah Kate McClure dan Mark D'Amico di South Jersey pada pagi Khamis. Pihak berkuasa tersebut kemudian membawa keluar beberapa beg dari kediaman itu. Sebuah kereta BMW juga dilaporkan telah ditunda dan ditahan untuk siasatan.

polis menggeledah rumah pasangan kate mcclure dan mike atas dakwaan menyalahgunakan wang crowdfunding untuk johnny bobbitt

Operasi itu dibuat sehari selepas Hakim Paula Dow mengarahkan pasangan itu hadir ke mahkamah dengan penyata penuh kewangan yang dikumpulkan melalui GoFundMe untuk Bobbitt.

Pihak Pendakwaraya dari Burlington telah mengesahkan kejadian geledah itu berkait dengan dakwaan yang dikenakan kepada pasangan tersebut oleh Johnny Bobbitt sendiri. Bobbitt telah memfailkan satu saman terhadap mereka pada bulan lepas.

Menurut Chris Fallon, iaitu peguam yang mewakili Bobbitt, pasangan itu didapati telah membelanjakan sebahagian besar wang sumbangan terkumpul untuk berjudi, makan angin secara mewah, membeli-belah dan juga membeli sebuah kereta BMW.

Laman GoFundMe yang dimulakan oleh McClure telah tular dan berjaya mengumpulkan $402,706 (RM1.7 juta) yang dikatakan akan digunakan untuk mendapatkan sebuah apartment dan kenderaan bagi membantu veteran marin tersebut.

johnny bobbitt memfailkan saman ke atas kate mcclure dan pasangannya

Walau bagaimanapun, Bobbitt mendakwa dia hanya menerima wang sebanyak $75,000 (RM311,000) sahaja daripada McClure.

Pada mulanya, pasangan itu telah menafikan tuduhan tersebut dan mengatakan mereka telah membayar sebanyak $200,000 (RM830,000) kepadanya. Baki sebanyak $150,000 (RM622,000) masih berada dalam akaun yang dibuka untuk Bobbitt.

Namun, selepas perbicaraan pada 29 Ogos yang lalu, pasangan itu dilaporkan gagal memenuhi arahan hakim untuk memulangkan lebihan sumbangan kepada Bobbitt dalam masa 48 jam. Menurut peguam Bobbitt, dia diberitahu yang wang tersebut telah tiada.

Disebabkan kehidupan Bobbitt kelihatan masih tidak berubah, tiada siapa pun yang tahu ke mana hilangnya wang berjumlah $75,000 yang diterima. Akan tetapi, menurut Forbes, Bobbitt mengaku yang dia telah menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membeli dadah.

kate mcclure dituduh menyeleweng wang sumbangan orang ramai dana gofundme

Kini, Bobbitt sedang menjalani program pemulihan selama 30 hari seperti yang dilaporkan dalam satu berita Philadelphia melalui WTXF-TV.

Dikhabarkan itu adalah punca pasangan tersebut enggan memberikan kesemua wang sumbangan terus kepada Bobbitt. Mereka khuatir wang tersebut akan habis dibelanjakan hanya untuk membeli dadah.

Pasangan itu bertindak sebagai "pengurus kewangan" dan membuat pelan untuk memulakan hidup baru bagi Bobbitt. McClure dan teman lelakinya, D'Amico berjanji untuk membeli sebuah rumah, pakaian baru, sebuah telefon pintar dan juga komputer supaya Bobbitt boleh mendapatkan pekerjaan. Selain itu, mereka juga berjanji untuk membeli trak impian Bobbitt iaitu sebuah Ford Ranger keluaran tahun 1999.

McClure juga mengemas kini laman GoFundMe untuk memberitahu yang dua tabung amanah akan dibuka di bawah nama Bobbitt - tabung amanah pertama akan membolehkannya memperolehi "pendapatan" setiap tahun manakala yang kedua pula merupakan tabung amanah persaraan yang akan dilaburkan oleh pengurus kewangan dan akaun ini boleh diakses oleh Bobbitt dari semasa ke semasa.

Menurut catatan McClure, tabung amanah kedua itu boleh dinikmati oleh Bobbitt apabila tiba masanya dan dia boleh membeli sebidang tanah atau berehat di rumah kabin idaman di kawasan desa.

saat bahagia johnny bobbitt dan kate mcclure sebagai sahabat

Selain itu, sebuah akaun bank di bawah nama Bobbitt dibuka untuk keperluan harian yang akan membantunya sehingga dia berjaya mendapatkan kerja tetap. Akhir sekali, Bobbitt akan mendermakan sebahagian sumbangan kepada beberapa organisasi dan individu yang sering membantunya sepanjang dua tahun yang lalu.

Walaupun rancangan itu bunyinya amat teratur dan baik sekali, namun, akhirnya kedua-dua belah pihak telah diuji dengan hebat. Benarlah bahawasanya manusia hanya merancang, namun Allah yang menentukan.

Semoga kisah ini menjadi iktibar dan pedoman buat kita semua agar tidak mudah gelap mata dengan kekayaan di dunia.

Rujukan:

1. Forbes

2. abc.com

3. Huffington Post

4. Fox7 Austin




Hakcipta iluminasi.com (2017)