fobia blue tick anxiety

Telefon anda berbunyi. Dia yang anda cintai menghantarkan mesej. Anda membalas mesej itu dengan pantas, seperti biasa. Selesai menaip, sambil tersenyum anda menambah : "Oh, sebelum terlupa - saya rindu awak tau!"

'Blue tick' Whatsapp dipaparkan menandakan dia sudah membaca mesej itu, jadi anda menghabiskan beberapa minit menunggu balasan. Bosan, anda meletakkan telefon. Sepuluh minit kemudian anda menyemak kembali. Masih belum berjawab.

Sejam kemudian, sekali lagi masih tiada balasan. Pernahkah perkara seperti ini berlaku pada anda tak kiralah apabila melibatkan komunikasi antara pasangan, kenalan, rakan sekerja atau kumpulan-kumpulan Whatsapp yang anda sertai?

Fenomena rasa bimbang dibiarkan terkapai-kapai

whatsapp sebagai alat komunikasi

Tanpa kita sedari, setiap seorang daripada kita mempunyai satu bentuk pemahaman tidak rasmi dalam menghadapi interaksi atas talian zaman sekarang - setiap mesej yang diterima mestilah dibalas sesegera yang boleh; ibarat kita sedang berkomunikasi antara satu sama lain secara berdepan-depan.

Bagaimanapun harus kita akui mengambil keperluan untuk interaksi dilakukan dengan kadar segera dalam aplikasi mesej seperti Whatsapp atau Messenger misalnya, pasti akan mempunyai perbezaan dari segi reaksi serta waktunya berbanding komunikasi secara lisan.

Malangnya apabila 'pemahaman' kita tentang interaksi itu dilanggari maksudnya kita tidak menerima balasan atau jawapan kepada mesej yang telah kita hantar, ini akan menyebabkan wujudnya rasa 'kurang senang' atau 'kurang selesa' sehinggakan akan wujud kebimbangan pada diri kita.

tak reply message whatsapp blue tick jer

Rasa kurang selesa itu pula akan lebih kuat dirasai apabila kita sendiri mengetahui bahawa penerima mesej sudahpun membaca mesej kita, dengan kita mengandaikan penerima sengaja memilih untuk tidak mempedulikan mesej kita. Rasa kurang senang ini akan semakin memuncak sehinggakan ada antara kita akan menghantar mesej secara bertalu-talu, bagi memastikan kita mendapat respon.

'Resit bacaan' menyuburkan rasa gusar masyarakat dunia

mesej berulang minta balasan

Pada ketika ini, majoriti aplikasi mesej popular mempunyai fungsi yang menandakan pada kita status penerimaan mesej penerima. Sebagai contoh Whatsapp dengan dua tanda biru dan Messenger dengan paparan gambar profil penerima sebagai indikator penerimaan serta pembacaan.

Selain itu, kita juga boleh mengetahui bilakah kali terakhir seseorang menjenguk aplikasi mesej lengkap dengan waktunya dipaparkan serta dikongsikan kepada mana-mana individu dalam senarai, sekiranya diaktifkan fungsi itu.

Dua kombinasi fungsi ini yang dicipta untuk memudahkan komunikasi merupakan punca utama menyumbang kepada tahap kebimbangan pengguna yang semakin meninggi - apatah lagi sekiranya pengguna itu merupakan seorang yang lebih bersikap emosional serta terlalu mengambil kira status penerimaan diri sendiri pada pandangan pihak lain.

Pernahkah anda cuba berkomunikasi dengan seseorang secara berdepan tetapi dia memilih untuk tidak melayan anda - menganggap anda seperti tak wujud atau tak berbaloi dilayan? Perasaan yang sama anda rasai pada ketika itu, merupakan perasaan serupa yang akan dialami kita semua selepas menghantar mesej dan tidak menerima sebarang balasan walaupun indikasi sudah menunjukkan mesej dibaca.

Memilih untuk memulaukan seseorang secara digital

ghosting fenomena baru teknologi

Dalam dunia digital yang semakin pesat berkembang penggunaannya, tren 'ghosting' atau sengaja memulaukan seseorang, tidak membalas mesej, email, panggilan telefon dan sebarang bentuk komunikasi digital juga semakin kerap berlaku.

Kebiasaannya, 'ghosting' akan berlaku apabila kita memilih untuk memutuskan hubungan dengan seseorang atau lebih kejam, sengaja melakukannya untuk menyampaikan sentimen kita terhadap seseorang pada ketika itu.

'Ghosting' adalah pemulauan paling ekstrim yang boleh dilakukan dalam era zaman sekarang, kerana kita tahu perasaannya dibiarkan menunggu dan rasa bimbang yang menyerang kita mampu membuatkan sesiapa saja kurang selesa - jadi 'ghosting' dijadikan satu bentuk hukuman dan pengajaran dalam bentuk moden.

Indikator-indikator penerimaan dan pembacaan mesej tak dinafikan ada membantu komunikasi berlaku dengan lebih efektif dalam beberapa cara, namun dalam masa yang sama membentuk tatacara penggunaan yang tidak sihat secara tidak sengaja. Setiap manusia mempunyai tahap kemampuan pengurusan mental yang berbeza dan bukan semua orang mampu meredakan kembimbangan 'blue tick' yang timbul secara tenang dan bersahaja.

Untuk mencadangkan kepada pengeluar aplikasi supaya dimatikan sahaja kedua-dua fungsi 'login kali terakhir' dan 'indikasi terima/baca' pasti sukar, namun kita boleh melatih diri kita supaya memahami cara komunikasi berlaku secara maya dan dalam dunia sebenar haruslah berbeza.

Sekiranya kita masih ada rasa tak selesa, apa kata matikan saja kedua-dua fungsi supaya kebimbangan dan rasa kurang senang yang sering melanda kita - dapat dihentikan secara serta-merta.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel Two Blue Ticks But No Reply: How Messaging in the Digital Realm Can Trigger Deep Anxiety yang diterbitkan oleh Newsweek.



Hakcipta iluminasi.com (2017)