Apabila anda melihat Bumi dari angkasa lepas, anda tidak dapat melihat 241 buah negara dan wilayah yang terbentuk melalui pembahagian oleh manusia. 

Anda tak dapat melihat sempadan yang terbina melalui pertumpahan darah ataupun ideologi yang berbeza dimiliki oleh setiap negara.

Anda hanya dapat melihat seketul "batu" gergasi, rumah kepada spesis yang mempunyai keupayaan untuk menghancurkan tempat tinggal mereka sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selepas Perang Dunia Kedua apabila manusia sendiri menghapuskan 3% daripada populasi dunia, para pemimpin dunia mula membincangkan tentang idea untuk mewujudkan kerajaan satu dunia atau "one world government" untuk mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang sama dilakukan sepanjang 25 tahun ketika itu.

Idea itu gagal dengan begitu cepat tetapi ia mungkin masih dalam rancangan jangka masa panjang.

Jika dunia mempunyai satu kerajaan, apakah masalah yang boleh diselesaikan untuk kesejahteraan bersama?

Siapa yang akan memimpin?

Dan bagaimana ia boleh merosakkan kehidupan manusia serta Bumi?

Ini apa yang mungkin akan berlaku jika satu dunia bergabung menjadi sebuah negara yang sama. 

semua negara bersatu di bawah kepimpinan satu kerajaan 163

Untuk berabad lamanya, para pemimpin mempunyai fantasi dan impian tentang hari di mana dunia yang aman menjadi satu realiti.

Namun selagi negara-negara masih berperang di antara satu sama lain disebabkan perbezaan politik dan agama, hal ini agak mustahil untuk berlaku.

Jadi, bagaimana jika kita ambil semua negara di dunia dan gabungkan menjadi sebuah negara gergasi?

Sudah tentu tiada apa lagi yang mahu dipertikaikan lagi kan?

Tak semudah itu. Ini kerana kita bukan bermula dari awal semula.

Sebaliknya, kita perlu menggabungkan sejarah budaya, prejudis, bahasa dan mata wang yang telah wujud selama beribu-ribu tahun.

Jika ini berlaku, ia akan menjadi salah satu usaha yang paling rumit pernah dihadapi oleh manusia.

Jadi sebelum kita bincang dengan lebih mendalam, adalah lebih baik untuk kita melihat terlebih dahulu akan kebaikan dan keburukan untuk mewujudkan negara gabungan.

Dan adakah ia berbaloi?

Sudah tentu, kita lihat dari sisi manfaat dan kelebihan terlebih dahulu.

Yang pertama, kebaikan yang mungkin diperolehi daripada memiliki sebuah negara dunia adalah kita boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi Bumi pada ketika ini.

pelepasan gas rumah hijau

Perkara yang boleh menerima manfaat terbesar melalui gabungan ini adalah masalah yang dihadapi planet kita mengenai perubahan iklim. 

Sebagai contoh, pada tahun 2015, Amerika Syarikat dan China berikrar untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau mereka secara drastik sebagai sebahagian daripada perjanjian Paris.

Sejak itu, China telah melabur dengan banyaknya dalam sumber tenaga bersih untuk merealisasikan matlamat manakala Amerika Syarikat telah menarik balik semua komitmen mereka.

Kerajaan dunia bersekutu mungkin mampu untuk menghapuskan ketidakselarasan ini dengan membolehkan kita untuk membangunkan pelan global mengenai cara untuk membuat penambahbaikan terhadap keadaan alam sekitar.

Malah, kita dapat memastikan ia akan diikuti oleh semua kawasan di seluruh dunia.

penyebaran penyakit

Yang kedua, kepimpinan bersatu ini juga mungkin bermanfaat apabila berlakunya krisis seperti bencana alam atau penyebaran penyakit

Bencana seperti ini tidak akan memberi kesan begitu teruk kepada negara-negara membangun sebagaimana ia memberi kesan terhadap negara maju.

Sumber-sumber bantuan akan disebarkan bagi memastikan semua bahagian di dunia mempunyai peluang untuk pulih.

Manfaat seterusnya adalah kita mungkin mampu menghalang peperangan  daripada berlaku kerana secara teorinya, punca utama untuk peperangan tercetus adalah hampir tidak wujud jika semua kerajaan bersatu.

Sesetengah pakar beranggapan bahawa penghapusan perang adalah satu kemestian jika manusia mahu terus bertahan hidup.

Dianggarkan terdapat sebanyak 17,000 senjata nuklear di seluruh dunia ketika ini dengan Perancis, China, Amerika Syarikat, Rusia, Pakistan, Israel, India, United Kingdom dan Korea Selatan memilikinya.

perang mungkin tak berlaku jika kerajaan bersatu

Dan jika senjata nuklear digunakan sekali lagi, kita semua akan menderita dengan begitu dahsyat tak kira di mana perang tersebut meletus.

Manfaat ketiga yang boleh dikecapi melalui kerajaan dunia bersatu adalah akan wujudnya keseimbangan yang lebih baik melibatkan kualiti hidup di seluruh dunia.

Jika tiada atau kurangnya peperangan, peruntukan pertahanan yang tersangat tinggi akan dikurangkan dengan begitu ketara.

Ini membolehkan ia digunakan untuk tujuan lain seperti perubatan atau penjagaan kesihatan global.

Selain itu, dengan semua orang melaporkan kepada pihak berkuasa dan mengikuti peraturan yang sama, adalah lebih mudah untuk kita mempertahankan hak asasi manusia dan menetapkan piawaian buruh yang selamat untuk pekerja di seluruh dunia.

Negara bersatu juga bermakna kita akan menggunakan mata wang yang sama, sekaligus membawa kepada pengurangan kuasa ekonomi negara-negara maju seperti China.

mata wang yang sama digunakan jika kerajaan bersatu

Dengan tiada pertukaran mata wang berlaku, China tidak lagi akan mempunyai cara atau keperluan untuk menawarkan perkhidmatan dan barangan ke pasaran dunia dengan harga yang tersangat murah.

Penghapusan ini bermakna ia akan memberikan hak yang sama rata kepada syarikat-syarikat tak kira di mana ia berpangkalan.

Negara membangun juga boleh menerima manfaat tetapi ia tidak akan berlaku dalam sekelip mata.

Akan tetapi, kerajaan global tidak akan dapat menjamin bahawa semua perkara di dunia akan sempurna dan sudah tentu akan wujudnya keburukan.

Keburukan yang pertama dan mungkin yang terpenting bakal kita hadapi adalah terdapat kemungkinan besar untuk pemimpin tertinggi disalah pilih untuk memimpin seluruh dunia.

pemimpin tertinggi dunia

Untuk melantik pemimpin tertinggi, satu undi daripada setiap "bekas" negara diperlukan namun berkempen untuk jawatan ini mungkin masih sama seperti yang kita lihat dalam pilihan raya pada hari ini.

Sudah tentu kita akan berhadapan dengan masalah dan kita tak boleh untuk menidakkan bahawa terdapat kemungkinan berlakunya rasuah untuk mendapatkan jawatan ini.

Dengan ini, pemimpin yang dilantik mungkin mempunyai niat yang jahat dan terselindung.

Sebagai contoh, salah satu daripada asas kepada sistem kepercayaan politik Nazi adalah penubuhan kerajaan global.

Dalam hal ini, ia akan membawa kepada lebih banyak pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan demokrasi di seluruh dunia dalam usaha untuk memaksa ideologi politik mereka terhadap orang ramai.

Jika pemimpin dipilih mengikut usia, sudah tentu Malaysia yang akan menjadi pemimpin dunia.

nazi pernah cuba untuk wujudkan kerajaan bersatu

Masalah kedua adalah idea nasionalisme akan hilang dari muka Bumi.

Nasionalisme adalah perkara yang membentuk dan mengembangkan budaya, di mana ia menjadi pemangkin kepada kemahuan dan keperluan dalam mencapai sesetengah perkara penting seperti kemajuan teknologi.

Cuba fikirkan tentang perlumbaan angkasa lepas antara Amerika Syarikat dan Rusia serta bagaimana ia memberikan kesan kepada kemahuan global untuk menerokai angkasa lepas.

Jika tiada persaingan antara kedua-dua negara ini, mungkin kita tidak akan sampai ke Bulan, atau mungkin kita akan tetap sampai tetapi lebih lewat daripada apa yang berlaku.

manusia pertama mendarat di bulan

Ini belum mengambil kira semangat untuk berjuang dan bertempur dalam sukan antarabangsa yang mana akan pupus.

Tetapi jika dilihat semula, tiada nasionalisme juga boleh memberikan kebaikan kepada kita.

Ketiadaan nasionalisme bermakna kita tidak akan kisah atau bimbang tentang dari mana asal seseorang itu dan lebih menerima perbezaan agama serta budaya.

Ini bermakna potensi untuk berlakunya konflik akan berkurangan.

semangat nasionalisma

Keburukan besar yang terakhir yang bakal berlaku jika semua negara di dunia bergabung menjadi satu adalah keseluruhannya akan menjadi sangat rumit dan mungkin berakhir dengan wujudnya lebih banyak konflik global.

Menjadikan dunia sebagai sebuah negara tunggal dilihatkan sebagai mimpi ngeri dari segi logistik.

Kita semua harus menyesuaikan diri dengan apa sahaja bahasa yang kita tentukan untuk digunakan. Malah, masalah yang tersangat besar akan timbul dalam menentukan satu mata wang yang bakal digunakan di seluruh dunia.

Sampai bila mata wang sedia ada yang digunapakai ketika ini akan masih diterima?

Apa yang boleh dilakukan untuk mengawasi percetakan fizikal dan pengedaran wang baru?

pembentukan kerajaan dunia tunggal mungkin cetuskan perbalahan

Malah, sudah tentu akan wujudnya sebahagian penduduk dunia yang menentang pembentukan kerajaan dunia tunggal ini.

Ya, kita mungkin hidup dan tinggal di bawa satu "payung" tetapi ia mungkin payung yang penuh dengan pemberontakan, rasuah berleluasa dan percanggahan budaya yang mana kita cuba untuk elakkan.

Ia mungkin kedengaran seperti idea yang baik di atas kertas, tetapi memandangkan betapa tidak stabilnya politik dan ekonomi ketika ini, amat sukar untuk meyakinkan semua negara untuk bersetuju dalam membentuk negara bersatu.

Mungkin Perang Dunia Ketiga perlu meletus terlebih dahulu untuk meyakinkan semua orang, namun ia mungkin sudah terlambat. Jadi, apa pendapat anda jika kerajaan tunggal diwujudkan?

Rujukan:

1. Debate

2. Bahai Teachings

3. Whatif




Hakcipta iluminasi.com (2017)